Terdengar Shafqi merengus perlahan. Kulit putih yang sudah bertukar merah itu ditatapnya sayu.

"Harraz macam mana? Dia nak ke lepaskan awak?" Kini, empat mata saling berlaga.

Lemah Marissa menggeleng. Kepala menekur jalan yang berbatu itu.

"Dia tak nak lepaskan saya. Entahlah Shafqi. Saya pun masih keliru dengan diri saya ni. Hati saya memang sakit sangat, tapi untuk berpisah dengan Harraz, saya tak mampu walaupun mulut saya yang minta untuk diceraikan."

Dalam diam, Shafqi mengetap rahangnya. Bicara wanita itu menusuk dalam. Nampak sangat Marissa masih sayangkan Harraz.

"I know. I can see it through your eyes."

Kepalanya terus mendongak memandang Shafqi. Tergamam dengan kata-kata itu.

"Your eyes can't lie, Marissa." Shafqi meneruskan katanya. Dia senyum nipis. Memang betul, mata hazel itu tak mampu menipu. Dapat dilihat jelas iris Marissa yang sarat dengan rasa cinta terhadap Harraz. Meskipun begitu, Shafqi tetap tak akan mudah berputus asa. Dia yakin, rasa cinta wanita itu terhadap suaminya akan memudar.

Perlahan-lahan bibir Marissa mengukir senyuman hambar. Ya, memang matanya tak dapat menipu. Dan kerana itu, Harraz tidak rela melepaskannya.

Mereka membiarkan hening mengambil tempat. Marissa dengan pandangan jauh yang dilontarkan ke arah kesesakan jalan raya. Macam mana sesaknya keadaan di sana, begitu juga dengan fikirannya.

Sempit. Seolah-olah tidak ada ruang untuk dia berfikir.

Manakala Shafqi pula masih tunak merenung wanita itu. Andai Marissa tahu isi hatinya tika ini, agak-agak boleh tak wanita itu menerima dirinya dan melupakan Harraz?

"Awak tak boleh terlalu ikutkan perasaan sedih tu, Marissa. Kesian baby yang tengah membesar tu. Tercebik-cebik agaknya bibir comel dia dekat dalam tu." Dia cuba berseloroh demi menggembirakan hati Marissa.

"Awak ni, Shafqi..." Lantas Marissa mengulum senyumannya bersama usapan lembut pada perut. Betul, orang mengandung sepatutnya dijaga emosinya. Tidak boleh terlalu ikutkan perasaan. Kerana si bayi juga akan turut merasakan benda yang sama.

"Kan manis bila awak senyum. Saya suka tengok lesung pipit awak. Anak awak lahir nanti mesti ada lesung pipit juga," beritahu Shafqi, lembut. Dia terpanar melihat senyuman manis wanita itu.

"Ada-ada ajelah awak ni." Ketawanya meluncur keluar. Baru tika inilah Marissa dapat bergelak tawa. Jika tidak, penemannya hanyalah air mata.

"Saya nak tanya awak sesuatu boleh?" soal Shafqi tiba-tiba.

"Awak nak tanya apa?"

"Harraz dah tahu yang awak mengandung?"

Marissa menjatuhkan kepalanya beberapa kali. Masih segar di ingatan akan reaksi suaminya tatkala mendapat tahu bahawa dia sedang mengandung. Lelaki itu kelihatan sangat gembira. Mungkin tak sabar mahu bergelar bapa tak lama lagi.

"Dia tahu pun sebab saya pengsan tadi. Kalau tak, saya memang tak nak bagitahu Harraz pasal kandungan ni." Marissa jongket bahunya.

"Kenapa awak tak nak bagitahu Harraz? Itu kan anak dia juga?" soal Shafqi meminta penjelasan. Pelik, selalunya berita gembira ini akan dikongsi bersama sang suami. Tapi Marissa lain pula. Mungkin kerana masalah yang berlaku membuatkan wanita itu tidak mahu suaminya tahu tentang kehamilannya. Teka Shafqi.

1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now