"It's none of your business."

Marissa tahu dia dah melampau. Tapi dia kesah apa? Memang layak pun suaminya dilayan sebegitu.

"You're my wife. So, abang ada hak untuk tahu sayang nak pergi mana. Kalau abang tak izinkan, sayang tak boleh keluar. Now tell me, sayang nak ke mana? Abang boleh hantarkan." Tenang saja Harraz mengawal keadaan. Dia berpeluk tubuh sambil menjongketkan keningnya. Kuasa vetonya digunakan.

"Baru sekarang nak ambil berat pula? Dua hari awak dekat Johor tu, ada awak tanya khabar saya? Ada awak kesah pasal saya? Oh lupa, busy dengan 'kerja' lah katakan." Sarkastik Marissa membalas semula. Dia senyum sinis. Perkataan kerja sengaja ditekankan.

"Sayang, boleh tak kita tak payah cakap pasal hal ni? Abang tak nak kita bergaduh. Sayang tak penat ke asyik cakap pasal benda yang sama aje?" Harraz mengeluh lagi. Dahinya dipicit-picit. Bosan dengan topik yang masih tidak berkesudahan ini.

"Boleh! Saya tak akan cakap pasal hal ni kalau saya tak nampak muka awak! Sebab setiap kali saya tengok awak, hati saya sakit! Terlalu sakit!" hamburnya lantas memalingkan muka. Benci dia melihat wajah lelaki itu.

"Daripada saya duduk kat dalam rumah ni, lebih baik saya keluar! Saya tak perlu hadap muka awak, awak tak perlu hadap muka saya! Tepilah!" sambung Marissa seraya menolak tubuh Harraz yang menghalang jalannya.

"Abang tak izinkan Ris keluar." Harraz bertegas. Intonasinya juga kedengaran begitu keras.

"Awak izinkan atau tidak, saya tetap akan keluar." Harraz dijeling lantas pemegang pintu ditarik. Namun tak sampai sesaat, kedengaran suara Harraz yang melengking.

"Marissa Jasmine!"

"Apa?!" Matanya menikam tajam Harraz. Sontak, tubuhnya dipusingkan menghadap suaminya.

"Don't you dare to step out of the front door." Harraz memberi amaran keras. Mata helangnya juga memanah tajam sang isteri. Kalau Marissa masih mahu berkeras, dia juga tidak akan teragak-agak untuk mengangkat wanita itu naik ke bilik dan mengunci isterinya dari dalam. Jangan dicabar kesabarannya yang kian menipis.

"Kalau saya keluar juga, awak nak buat apa? Nak pukul saya? Atau awak akan ceraikan saya? Baguslah tu! Memang itupun yang saya nak! Ceraikan saya!" Dicabar suaminya itu. Dapat dilihat muka Harraz yang sudah bertukar rona. Tidak pasti sama ada lelaki itu sedang bergelora marah atau sedang menahan sabar dengannya.

"Tak payah merepek! Pergi naik atas sekarang! Now!" Jari telunjuknya laju menghala ke atas tangga. Dia tidak boleh termakan dengan kata-kata isterinya. Silap cakap sikit, tak pasal-pasal jatuh talak nanti. Sabarnya juga ada had.

"Ceraikan akulah! Aku benci tengok muka kau! Aku jijik!" jerit Marissa seperti orang gila. Menitis-nitis air matanya jatuh. Buku lima dikepal kuat. Sesak dadanya saat menutur bicara itu.

Harraz tergamam beberapa saat. Kakinya kaku di atas marmar putih itu. Lidahnya kelu.

Jantungnya bagai dicucuk dengan belati tajam. Ini kali pertama dia melihat Marissa setekad ini. Manik jernih yang lebat jatuh itu membuatkan sangkar rusuknya sesak. Dadanya terasa sempit.

"Benci sangat ke Ris pada abang?" Dari getaran nada suara itu, Marissa tahu Harraz sedang menahan tangisannya.

"Ya! Aku benci kau!" Tidak teragak-agak Marissa berkata tanpa sikit pun menjaga perasaan suaminya.

Tak, Ris tipu! Ris tak benci abang! Ris masih sayang pada abang. Tapi Ris tak kuat selepas apa yang dah jadi antara kita. Ris terluka. Hati Ris sakit.

Kata-kata itu hanya terluah di dalam hati. Walaupun berat keputusan yang diambil, tapi inilah jalan penyelesaian yang baik untuk mereka berdua.

Gugur juga air mata Harraz. Lemah sungguh dia tatkala koklea disapa dengan kejujuran itu. Hatinya bagai dirobek-robek.

"Takkan disebabkan satu kesilapan abang, Ris sanggup hukum abang sampai macam ni sekali? Bencilah abang. Abang tak kesah. Tapi untuk bercerai, abang tak mampu, sayang. Abang tak mampu lepaskan Ris. Abang tak boleh hidup tanpa Ris di sisi abang. Abang sanggup kalau Ris nak benci abang sampai bila-bila. Hukumlah abang dengan cara apa sekalipun. Tapi tolong, jangan minta abang ceraikan Ris. Itu satu-satunya perkara yang abang tak mampu tunaikan."

Harraz tarik nafas dan menggelengkan kepalanya.

"Tapi kalau Ris tetap bertekad nak abang lepaskan Ris, abang tak boleh nak paksa Ris lagi. Mungkin keputusan yang Ris buat ni akan membahagiakan Ris. Apa saja yang membahagiakan isteri abang, abang cuba tunaikan walaupun abang tahu, abang tak mampu, sayang." Harraz senyum tawar. Hiba menyelebungi sanubarinya.

Marissa diam. Hanya esakannya saja yang berlagu tika ini.

"Cuma abang nak tanya, tak ada peluang kedua ke untuk abang? Tak ada cara lain untuk abang tebus kesalahan abang? Anak kita. Macam mana dengan dia nanti? Ris tak kesiankan dia?" Nada suara yang sayu itu menyentuh dasar hati Marissa.

"Tak semua orang layak untuk dapatkan peluang kedua, Harraz. Hati saya dah mati untuk awak. Tak ada cara lagi yang mampu untuk pertahankan hubungan kita ni. Soal anak, awak jangan risau. Saya tak akan pisahkan dia dengan awak. Walaupun tadi saya nafikan awak sebagai bapa kepada budak ni, tapi saya tahu hakikatnya awak tetap papa dia. Lepaskan saya. Dengan cara tu je awak dapat tebus balik kesilapan awak." Tersekat-sekat Marissa menuturkan kata. Mulut ditekup menahan sebak. Air mata kian bertali arus.

Harraz angguk perlahan. Benarlah, hati Marissa sukar untuk dipujuk lagi. Meskipun dia melutut di kaki wanita itu, Harraz tahu, isterinya tetap berkeras untuk berpisah dengannya.

"Baiklah kalau itu yang Ris mahukan. Abang tak akan paksa Ris lagi. Tapi abang harap, hubungan kita masih baik walaupun kita dah berpisah nanti. Kalau Ris tak sanggup, fikirkan demi anak ni." Perut Marissa disentuh.

Terhinjut-hinjut bahu Marissa menahan pilunya. Harraz pejam mata. Sisa kekuatan cuba digali dalam. Seketika, matanya dibuka dan wajah sembab wanita itu ditenung lama.

"Marissa Jasmine, aku ce..."

_______________


1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now