"Sebab aku tak suka tengok Encik Harraz dan Marissa bahagia!" Penuh emosi, dia menjawab. Lontaran ayatnya penuh dengan dendam.

Terpempan Natalia seketika. Melihat muka lembut yang sudah bertukar bengis itu, pantas Natalia teguk liurnya.

"Tapi... Kau nampak baik je? Tak sangka kau pun ada sifat dendam tu."

Lalu, bergemalah ruang di koridor itu dengan gelak tawa daripada wanita tersebut. Sambil melontarkan pandangan ke luar koridor ofis, dia menghamburkan tawanya. Kuat dan sinis.

"Natalia, Natalia. Jangan jadi bodoh! Kau ingat semua manusia dalam dunia ni baik ke? Kau pernah dengar istilah 'don't judge a book by its cover?' Satu pasal kehidupan ni Talia, kau tak boleh percaya pada orang dengan mudah. Depan kau, memang nampak baik. Muka suci je bila depan kau, tapi dekat belakang? Dialah manusia yang bertalam dua muka. Musuh kau dalam selimut tanpa kau sendiri sedar."

Rasa berdengung gegendang telinga Natalia. Kata-kata yang penuh tersirat itu berlalu di halwa telinganya. Sungguh, dia memang tak sangka wanita itu juga mempunyai hasad yang sama dengannya. Tujuan mereka sama. Tidak mahu melihat kehidupan Marissa dan Harraz bahagia.

"Jadi, kau nak aku buat apa dekat diorang?"

Wanita itu palingkan wajahnya. Mata melinggas kiri dan kanan sebelum bibirnya menutur bicara.

"Yang itu aku akan fikir kemudian. Tapi, yang pasti, kita akan buat mereka bercerai-berai." Natalia dijeling dari ekor mata.

"Bercerai? Kau tak rasa kejam sangat ke?" Terkejut Natalia mendengar omongan perempuan itu.

"Kejam? Hei, abistu yang kau nak rampas Harraz daripada Marissa tu tak kejam ke? Helo, kau tu perempuan, sama macam Marissa. Takkan kau tak tahu sakitnya bila suami sendiri dirampas oleh perempuan lain? Apa yang kau nak buat tu, tak kejam?" Dengusan kasar dilepaskan.

Boleh tahan dungu juga si Natalia ni!

"Kalau kau rasa kejam, aku malas nak tolong kau lagi. Aku dah bagi pertolongan, kau pula banyak cekadak," ujar wanita itu, menyampah. Dia berpeluk tubuh.

"Okey-okey! Aku ikut apa yang kau suruh." Natalia akhirnya mengalah. Risau juga dia kalau wanita di hadapannya ini sudah tawar hati hendak menolongnya.

"Good." Sepatah perempuan itu membalas.

"Kau nak pergi mana?" soal Natalia tatkala matanya menghantar derapan kaki wanita itu.

"Buat kerjalah. Kalau orang lain nampak kita dekat luar ni, tak pasal-pasal aku dengan kau kena buang kerja sebab curi tulang!"

"Rancangan kita tu macam mana?"

"Kau sabar sikit boleh tak, Talia? Jangan gelojoh sangat! Kita buat kerja kena ada perancangan yang baik. Macam menarik rambut di dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berserak. Aku tahulah apa yang aku nak rancang nanti. Apa-apa, aku call kau." Tidak menunggu lebih lama, dia membuka langkah pergi dari situ. Dibiarkan Natalia terkontang kanting seorang diri di koridor itu.

Dari jauh, Natalia perhatikan bayang-bayang wanita itu yang semakin menghilang. Keluhan berat dilepaskan perlahan.

Tapi tidak lama, bibir merahnya mula naik melukis satu senyuman kepuasan. Di mindanya tika ini, dia sedang membayangkan betapa bahagianya dirinya nanti apabila Harraz sudah jatuh di dalam genggaman.

Natalia terbayang-bayang momen-momen indah yang bakal diciptanya bersama Harraz nanti. Pasti seronok dan bahagia dirinya saat itu.

Tapi Natalia lupa satu perkara.

1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now