"Ya?" Marwah mula berdiri lalu bersalaman dengan wanita dihadapannya.

"Saya Nur, adik abang Wais."

Ayden yang baru muncul membuatkan seisi rumah memandangnya.

"Nur adik saya, maaf tak beritahu."

Marwah terus mempelawa Nur minuman sebaik sahaja gadis itu duduk.

"Saya kena balik dululah Ustaz, nak beraya rumah lain pula." Pak Samad meminta diri diikuti Cik Idah dan Indah.

"Baik-baik jalan tu." Sempat Puan Arwa berpesan pada mereka

"Bye ciecer!" Laung Indah sambil melambai ke arah Marwah.

Kini hanya tinggal mereka berlima. Ayden memandang Tasya.

"Umur berapa?" Ramah Puan Arwa bertanya.

"Baru 19 tahun, makcik."

"Lah, muda lagi. Wais pun tak bagitahu ada adik, kalau tak boleh raya sekali.."

Ayden hanya tersenyum. Mata pula menjeling Tasya, budak ni memang sial. Patut Farhad beritahu dia tak suka akan Tasya.

Sebab budak ni semak.

"Jomlah ke dapur, kita makan-makan sikit." Ajak Marwah.

Tasya pantas membuntuti langkah Marwah begitu juga Ayden. Ustaz Malik dan Puan Arwa meminta diri untuk ke rumah jiran.

"Sekarang Nur tengah belajar ke?" Soal Marwah sambil membuka tudung saji.

Kecur air liur Tasya melihat makanan di depannya. Ada ayam masak merah, lemang, rendang daging, nasi briani, sate dan banyak lagi.

Patutlah Ayden tak nak balik, bisik Tasya di dalam hati.

"Nur?"

"Apa tadi soalan akak? Terleka pula tengok makanan banyak-banyak ni." Tasya menghadiahkan senyuman kepada Marwah.

"Lah, makanlah. Tadi akak tanya Nur tengah belajar ke sekarang?"

Tasya yang sedang mencedok nasi briani terhenti.

"Belajar?" Tasya memandang Ayden.

"Ya, Nur masih belajar." Belajar untuk jadi pembunuh professional. Sambung Tasya di dalam hati.

"Kos apa?"

Melihat Tasya tidak boleh menjawab pertanyaan Marwah, Ayden pantas mencelah.

"Kau datang sini, kenapa?"

"Saja, Nur nak melawat abang. Tak boleh ke?"

"Lagi pun abangkan tak reti nak balik? Kesian papa tunggu abang." Tasya sempat menghadiahkan senyuman buat Ayden.

Bagi Ayden itu senyuman sinis. Papa yang dimaksudkan Tasya ialah Tuan Ran. Ikutkan hati mahu sahaja dia pijak-pijak gadis itu. Sabar Ayden, sabar.

"Ouh ya, papa suruh Nur tinggal dengan abang dekat sini." Beritahu Tasya selamba sambil mengunyah nasi briani bersama ayam masak merah.

"Tak boleh."

Mana mungkin dia akan benarkan Tasya tingal serumah dengannya. Sudahlah gadis ini sejenis suka jaga tepi kain orang. Tak ada privacylah dia nanti.

"Tak apa, Nur boleh tumpang tidur sini." Celah Marwah.

Tasya sempat tersenyum sinis kepada Ayden sebelum makanan dijamu. Budak ni, sumpah sial gila.

***

Hazril menyelak langsir, pantai menyapa matanya.

"Selamat hari raya Ril! Bagi duit raya Awa cepat."

Wanita itu sungguh ceria. Tahun ini mereka mengenakan baju raya warna sedondon iaitu biru.

"Awak dah besar, jadi tak boleh." Jawapan dari Hazril membuatkan mata Marwah membesar.

"Berani Encik tunang cakap macam tu!"

"Eh mestilah berani.."

Hazril tersenyum lalu satu sampul diambil dari poket baju melayunya. Sampul bercorak upin dan ipin.

"Nah, untuk Cik tunang saya."

Pantas Marwah mencapai pemberian Hazril. Teruja bukan kepalang wanita itu.

"Tahun ni, saya tak raya pun Awa." Baju melayu berwarna biru digenggam.

"Tak ada yang nak minta duit raya dekat saya."

"Saya minta maaf Awa."

Air mata dikesat sebelum langsir ditutup semula. Ikutkan hati mahu sahaja dia keluar dari gudang ini dan berjumpa dengan Marwah.

Tetapi dia juga tersepit antara jasa dan cinta. Tanpa Tuan Ran, mungkin kini dia sudah mati ditangan Ah long.

Dia antara orang pertama yang membina nama Organisasi Hitam bersama Tuan Ran. Hanya dia dan Tuan Ran sebelum Ayden dan yang lain diserap masuk.

Nafas dihela berat. Lupakan Marwah, hanya itu pilihan yang dia ada.

***

Thriller : Wais Ayden ✓Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon