EPISOD 27

2.4K 222 110
                                    

"KAKAK... Nina nak jumpa mak. Kenapa... mak tak datang... lagi? Nina dah... penat nak tunggu... mak."

Langkah Inara keluar dari hospital semakin longlai, tatkala permintaan terakhir Nina terngiang-ngiang di kotak memori. Angin malam yang mencengkam tubuh dengan kedinginan, seolah-olah merobek hati Inara. Pandangannya semakin kabur. Tubir mata terasa hangat tatkala perjalanan Nina sebagai seorang insan berakhir pada hari itu.

Perlahan-lahan, Inara menghenyakkan duduknya di atas bangku. Anak matanya tunak memandang persekitaran taman hiasan hospital yang kelihatan lenggang. Waktu melawat sudah tamat. Hanya tinggal staf dan pesakit yang menghuni Hospital Bima Sakti. Secara tidak langsung, membibitkan kesunyian di kawasan itu.

Inara hanya mahu menenangkan dirinya setelah Nina pergi di atas pangkuannya. Gadis bertudung selendang hijau itu memerlukan udara malam. Tika itu, wajah sayu Nina seakan-akan sumpahan yang membuatkan Inara dihempap rasa bersalah. Gadis kecil itu hanya mahukan ibunya saja.

Namun...

"Maaf Nara. Berita yang aku nak sampaikan tentang mak Nina sudah tentunya berat untuk diterima. Tapi... aku kena bagi tahu juga. Mak dia... dah meninggal dunia akibat ketagihan yang melampau. Aku harap... kau kuat untuk sampaikan semuanya kepada Nina. Dia berhak tahu pasal mak dia."

Ya.

Ibu kandung Nina sudah pergi buat selamanya tanpa memberikan kasih sayang buat Nina. Tiga hari sebelum Nina meninggal dunia, khabar duka yang disampaikan oleh Aisar sudah sampai kepada Inara. Melihat keadaan Nina yang semakin lemah akibat HIV, membuatkan Inara tidak tega menyampaikan khabar duka itu.

Semakin jiwanya dihurung dengan kesedihan, jiwa Inara semakin terasa sesak. Seolah-olah nafas yang dihembus tidak terasa lagi. Seluruh tubuh Inara seakan-akan menggeletar dengan kesedihan yang melampau. Akhirnya, setitis demi setitis air mata Inara turun jua. Kepalanya terus tertunduk menekur tangan yang sudah digenggam erat.

"Maafkan kakak... Nina. Maafkan kakak sebab tak mampu... nak... tunaikan permintaan... Nina," ujar Inara sebelum esakannya mula pecah. Entah mengapa kes Nina benar-benar menusuk hati Inara dengan dalam. Seakan-akan ada luka yang akan meninggalkan parut.

Saat itu juga, angin malam semakin kencang. Sesekali, guruh berdentum kuat. Awan yang berarak mula menutupi bulan. Rintik-rintik hujan gerimis yang bagaikan mutiara akhirnya turun. Seakan-akan menjadi dendangan lagu kesedihan buat Inara.

Inara kaku di atas bangku. Badannya seakan-akan lumpuh untuk bergerak. Mencari tempat perlindungan dari kehujanan. Inara benar-benar terhukum dengan pemergian Nina. Gadis kecil yang hanya sempat dirawat selama seminggu.

"Doktor Inara..."

Mendengar saja namanya diseru, Inara terus memanggung kepalanya. Kaget tatkala seseorang sedang melindunginya dengan payung. Terpampang wajah seorang pemuda bermata galak yang memegang payung dan menghulurkan sehelai sapu tangan kepada Inara.

"Menangislah kalau itu boleh ringankan beban yang kau pikul. Menangislah kalau kau rasa lelah. Menangis tak bererti yang kau lemah. Cuma satu... kau tak bersalah dalam hal ini. Allah ambil Nina sebab Allah nak hentikan kesakitan Nina. Ini takdir yang sudah ditulis oleh Allah, Doktor Inara," ujar Aisar. Ada ketegasan di sebalik nada suara pemuda berjas hitam itu.

Sungguh, omongan Aisar benar-benar meruntun hati Inara. Mulutnya terus ditekup menahan esak. Perlahan-lahan, Inara menundukkan pandangannya semula. Tidak mampu memandang tatapan Aisar yang begitu tajam. Sudah terlalu lama Inara tidak melepaskan kesedihannya di hadapan orang lain.

Tangisan seorang Inara benar-benar meruntun hati Aisar. Sahabatnya tidak pernah berubah. Inara tetap Inara. Sering saja menyembunyikan kesedihannya di hadapan khalayak. Hanya di hadapan Aisar saja Inara akan melepaskan segalanya. Hal itulah yang membuatkan Aisar sentiasa ingin menjadi bayang yang melindungi Inara.

AISARA (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now