EPISOD 18

2.9K 266 172
                                    

TUGASAN terakhir yang dipertanggungjawabkan ke atas Doktor Nur Inara diakhiri dengan memantau pesakitnya yang berada di wad pediatrik.

Kelihatan, pesakit yang terdiri dalam kanak-kanak sedang berehat di atas katil masing-masing. Ada yang sedang bermain, ada yang sedang merengek sakit dengan ibu mereka, ada juga yang sedang menonton kartun di telefon pintar penjaga.

Tergaris senyuman manis di bibir Inara tatkala melihat telatah para pesakit. Dia sukakan kanak-kanak. Disebabkan itulah, usai saja dia bergelar doktor bertauliah, Inara menyambung lagi pengajiannya dalam bidang pediatrik selama tiga tahun. Sekali gus, memberikan kelayakan untuk bergelar seorang doktor pakar pediatrik.

Langkah Inara terbejat di hadapan katil seorang kanak-kanak lelaki. Pesakit berumur sembilan tahun yang baru saja dimasukkan ke dalam wad akibat apendiks.

"Assalamualaikum. Doktor datang ni sebab nak check Afi. Afi jangan takut," ujar Inara. Memujuk kanak-kanak yang kelihatan ketakutan itu. Wajahnya pucat dan mendung.

"Doktor nak cucuk Afi lagi ke? Afi tak nak. Sakit macam kena sengat lebah," adu Afi. Ngeri tatkala teringat jarum dicucuk ke lengannya sebelum dia dimasukkan ke dalam wad pembedahan.

Inara menggeleng. Sebiji gula-gula lolipop dihulurkan kepada Afi. Serta-merta, wajah Afi bertukar ceria menerima pemberian doktor yang sudah merawatnya. Laju saja tangannya mencapai huluran Inara.

"Cakap apa dekat doktor?"

"Terima kasih doktor," ucap Afi. Menurut perintah ibunya. Tangannya ligat membuka bungkusan lolipop.

Inara hanya tersenyum. Rambut Afi diusap lembut. Kemudian, Inara mencatat laporan pesakit yang tergantung di depan katil. Senang hatinya tatkala Afi sudah beransur pulih. Pandangan Inara terus bersatu dengan Puan Mariam. Jelas, ada keletihan di sebalik wajah wanita yang kelihatan sebaya dengannya itu.

"Puan jangan risau. Pembedahan laparoskopi ke atas anak puan tak akan memberikan kemudaratan. Malahan, kesakitannya hanya dalam jangka masa pendek. Mujur, puan cepat bertindak menghantar anak puan ke hospital. Kalau apendiks tu dah melarat, boleh mengakibatkan nanah disebabkan bakteria yang membiak dalam usus," jelas Inara. Sesekali, anak matanya memandang Afi. Kanak-kanak itu sudah kelihatan sedikit aktif.

"Anak saya selalu mengadu sakit perut dekat bahagian kanan. Sekali dengan demam panas. Sebab tu saya risau. Tak tahu pula anak saya ada apendiks," ujar Puan Mariam. Ada nada kesal di sebalik suaranya. Sebagai seorang ibu, sudah tentunya dia tidak tega melihat anaknya meraung sakit.

"Kalau macam tu, saya sarankan puan berikan makanan berkhasiat kepada anak puan. Misalnya seperti protein, gula dan juga serat. Lagi satu, dua hari lagi Afi boleh balik. Lepas seminggu pembedahan, puan bawa semula anak puan ke sini. Kami akan melakukan penilaian selepas pembedahan dan keadaan kesihatan Afi masih perlu diperiksa," jelas Inara dengan lebih mendalam.

Usai saja memeriksa keadaan pesakitnya, Inara meminta diri. Tangannya sudah mengusap tengkuk yang terasa lenguh. Inara sudah lelah setelah seharian bekerja tanpa rehat. Jam di pergelangan tangannya ditatap Sudah pukul 12 pagi. Suasana hospital juga mula kelihatan sunyi.

Saat itu juga, anak mata Inara turut menatap seutas gelang bertuliskan AISARA di pergelangan tangannya. Keluhan berat terlepas dari bibir gadis itu.

"Dah 13 tahun kau tinggalkan aku. Kau tak rindukan Aisara ke? Kau memang... dah buang aku dari hidup kau, kan? Aisar Mumtaz, kalaulah kau ada saat ini... aku cuma nak cakap yang aku dah berjaya capai cita-cita aku. Macam mana dengan kau pula?" desis hati Inara. Seakan-akan, figura Aisar terpampang di depan matanya saja.

Tanpa Inara sedar, seorang pemuda berjas coklat sudah terkaku tatkala melihat raut wajahnya. Pemuda yang berselindung di sebalik dinding itu kelihatan kaget. Tidak menyangka, kehadirannya untuk mencari sepupunya berakhir dengan pertemuan buat julung kalinya bersama Inara.

AISARA (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now