"ZULFAN, saya minta maaf kalau saya rosakkan semuanya hari ini," ujar Inara sebaik saja mereka sampai di perkarangan rumah Inara. Seriau saja dia melihat wajah tegang Zulfan. Bahkan, sepanjang perjalanan pulang pemuda itu hanya senyap.

"Awak marah..."

"Awak betul-betul serius ke dengan masa depan kita? Awak betul-betul dah lupakan cinta pertama awak? Ke selama ini, awak terima saya sebab awak nak jadikan saya sebagai alasan untuk awak move on?"

Sontak, wajah manis Inara berubah drastik dengan lontaran soalan sinis daripada Zulfan. Terasa perih di sudut hati Inara bila Zulfan menuduhnya. Tangan yang sedang menggenggam tali pinggang keselamatan dieratkan lagi.

"Apa yang awak merepek?"

"Soalan saya tak pernah merepek. Saya bertanya berdasarkan bukti yang ada depan mata kepala saya sendiri! Kenapa awak selalu saja tak bersedia kalau melibatkan hal perkahwinan kita? Semuanya sebab ada kaitan dengan Aisar, kan? Aisar tu cinta pertama..."

"Sebab itulah saya tak nak awak tahu siapa Aisar dalam hidup saya! Sebab sifat cemburu buta..."

"Saya tak cemburu buta, Doktor Inara! Saya nampak depan mata saya sendiri betapa segarnya awak bila berhadapan dengan dia! Kalau awak boleh korbankan masa rehat awak untuk dia, kenapa pula awak tak boleh berkorban untuk masa depan awak sendiri!" bentak Zulfan tak semena-mena. Dia tercabar bila Inara mengungkapkan soal cemburu buta. Anak matanya sudah melotot memandang wajah tegang Inara.

Seketika, suasana mula dingin. Inara hanya mampu menatap wajah Zulfan dengan emosi yang kecewa. Bibir diketap menahan sebak di dada. Tubir mata mula terasa hangat dengan kemarahan tunangnya itu. Sesak kian terasa.

"Do you still love him?"

"Dia memang cinta pertama saya. Tapi awak... awak datang bila mana saya tengah pulihkan semula kekecewaan saya. Awak buat saya bahagia. Awak buat saya yakin melepaskan perasaan buat Aisar itu satu pilihan yang terbaik. Aisar cuma masa silam saya. Sejarah lama yang tak akan berulang lagi!" tegas Inara. Mengharapkan Zulfan sedar daripada cemburu butanya.

"Aisar sahabat saya. Saya minta maaf kalau awak rasa kita orang terlalu mesra. Saya minta maaf kalau awak sakit hati dengan cara layanan saya terhadap dia. Kalau awak nak tahu, sebelum awak muncul, dia dah terlebih dahulu jadi pelindung saya. Nak lagi lepas arwah abah meninggal. Abang pula ke Kuala Lumpur. Dialah yang jadi pengganti arwah abah dan abang saya," tambah Inara lagi. Pandangan terus dialihkan dari menatap wajah pegun Zulfan. Setitis air mata yang mengalir ke pipi, dikesat lembut.

"Terpulanglah dekat awak. Sama ada awak nak percaya cakap saya atau ikutkan emosi awak. Cuma saya nak tegaskan kepada awak, saya hanya mencintai seorang saja, Zulfan. Hanya awak. Aisar tak ada kena mengena dalam hubungan kita," tegas Inara. Tangan sudah menanggalkan tali pinggang keledar.

"Baiklah, kita awalkan lagi tarikh pernikahan kita. Saya tak nak awak buruk sangka lagi. Persiapkan diri awak. Dalam masa tiga bulan lagi, kita akan jadi suami isteri."

Sebaik saja kata putus diucapkan oleh Inara, Zulfan terkesima. Dia kehilangan aksara. Hanya sorotan matanya saja yang menghantar pemergian Inara. Sungguh, Zulfan kaget. Dia seakan-akan tersedar daripada bisikan syaitan. Zulfan mahu mengejar. Ingin menghapuskan rasa bersalahnya membuat Inara sedih. Namun, sisi ego menegahnya dari berbuat demikian.

¡Ay! Esta imagen no sigue nuestras pautas de contenido. Para continuar la publicación, intente quitarla o subir otra.
AISARA (COMPLETED) ✔Donde viven las historias. Descúbrelo ahora