Mata Evel mencerun ke arah Fidz. Tanpa sebarang kata, terus sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah milik Fidz itu. Anna pula yang serba-salah di tengah-tengah. Perlahan-lahan, langkah Evel dituruti.

"Abang, jomlah masuk ikut kakak-kakak cantik. Hannah panas." adu Hannah sambil baju bahagian dada abangnya ditarik-tarik perlahan.

Fidz tersenyum nipis melihat wajah polos Hannah. Genggamannya pada plastik dikuatkan seraya nafas ditarik dalam. Langkah mula diatur masuk. Sebaik sahaja sampai di dalam, matanya disaji dengan wajah tegang Evel dan Anna yang sedang membelek-belek majalah di sofa.

Tubuh Hannah diturunkan. "Adik masuk dalam bilik dulu eh. Nanti abang siapkan makanan."

Hannah mengangguk laju. Seketika, kepalanya dipalingkan ke arah Evel dan Anna lalu tangan kecilnya melambai penuh semangat, "Bye, kakak-kakak cantik! Nanti kita makan sama-sama tau!"

Evel menganggukkan sedikit kepalanya manakala Anna pula membalas lambaian si kecil itu penuh teruja. Tiga pasang mata di situ mengekori langkah Hannah yang terlompat-lompat memasuki biliknya. Sebaik sahaja figura kecil itu hilang, suara Evel kedengaran,

"Lama kau hilang, Arfidz Hayler."

Fidz menunduk. Tubuhnya terasa kaku apabila berhadapan dengan dua gadis itu sekarang, apatah lagi riak Anna turut sama mula bertukar tegang.

"Macam mana... Miss tahu aku tinggal kat sini?" soal Fidz, takut-takut. Sudah tiga hari dia berpindah ke kawasan perumahan usang ini bagi melarikan diri daripada semua orang. Kemunculan Evel dan Anna benar-benar mengejutkannya.

"Kitorang tahu ni rumah lama kau. Lagipun, bukan susah nak siasat kedudukan kau. Kalau kau dah mati pun, kitorang tetap akan cari mayat kau." Anna membalas sinis. Dia bangun dari duduk lalu tubuh Fidz didekati. Tangannya mencengkam kuat bahu lelaki itu lalu ditolak mendekati sofa berhadapan Evel. Tubuh Fidz ditolak ke bawah agar melabuh duduk.

Jelas dapat dia rasakan getaran dari tubuh Fidz. Heh, dah buat hal baru nak ketar?

Duduk dilabuhkan pada pemegang sofa yang diduduki Fidz. Tangan kirinya pula sengaja melilit tengkuk lelaki itu dah direhatkan pada bahu. Kepala didekatkan pada telinga Fidz. "Aku dengar, kau orang pertama yang tahu Sylvia kena bunuh. So, aku tertanya-tanya juga, kenapa kitorang tak terima apa-apa laporan dari kau eh?"

Sepi.

Anna melagakan lidahnya dengan lelangit mulut, jengkel akan kebisuan Fidz. Hanya getaran tubuh itu sahaja yang bertambah kuat, namun tiada apa yang keluar dari mulutnya.

Anna menjatuhkan tangannya dari tengkuk Fidz lalu tangannya mula menyeluk belakang pinggang. Sepucuk pistol dikeluarkan lalu muncungnya ditekan tepat pada belakang tengkuk Fidz. "Kalau kau nak bisu sangat, aku boleh tolong!"

"Fidz, aku tak beri manusia peluang ketiga." Suara mendatar Evel membuatkan Anna tersenyum sinis. Semakin kuat muncung pistolnya ditekan pada tengkuk Fidz.

"Mm... Miss... Aku..." Fidz tergagap-gagap cuba mempertahankan diri namun otaknya benar-benar terasa kosong. Dia bersalah dan mustahil masa dapat diputar semula. Kalau dia tidak mengkhianati Evel, semua ini takkan terjadi. Kalau dia tidak jatuh dalam perangkap Ace, Sylvia pasti masih hidup.

"Apa yang Reaper tawarkan kat kau?" soal Evel. Dia masih duduk tenang di sofa.

Fidz menggigit kuat bibir bawahnya. "Dia janji nak bagi aku pangkat dalam Mighty Amonic dan hidup aman. Syaratnya, aku kena bawa Sylvia sekali."

"Bawa Sylvia? Heh, bawa ke alam lain." sinis Anna. Giginya sudah diketap geram.

"Dia janji yang kat aku yang Hannah dan Sylvia akan selamat. Aku tahu aku bodoh sebab percaya tapi aku terdesak! Aku tak nak Hannah terus jadi sasaran musuh. Jadi aku cuba..." liur ditelan kesat. Perbuatannya ini memang terlalu teruk, tak dapat diterima! "...aku cuba hasut Sylvia untuk khianat korang. Tapi, dia tak nak. Ace kata, dia akan tangkap Sylvia dan hasut sendiri. Jadi, malam tu aku yang bocorkan kedudukan Sylvia pada Ace. Tapi, tiba-tiba je dia bunuh Via. Aku punca Sylvia mati, aku... Kalau aku tak bocorkan maklumat malam tu... Aku, arghhh!"

Árulás [Betrayal] Opowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz