KAU SELALU ADA

By karyaseni2u

42.7K 1K 33

Tajuk: Kau Selalu Ada Penulis: Dilla Ahmad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-57-0 Harga: RM23.00 (Seme... More

Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 1

5.6K 100 6
By karyaseni2u

Ammar hanya mendiamkan diri bila Datuk Azhari, papanya sibuk bercerita tentang masalah syarikat dan tentang alangkah baiknya kalau dia mengambil Amanda menjadi isterinya. Bukan sekali papanya memujuk. Namun, hatinya tetap berkeras tak mahu menerima cadangan papanya itu.

Datin Maslina, mamanya yang duduk di sebelah sudah menepuk-nepuk kekura tangannya. Macam nak tenangkan perasaannya. Bukan dia tak tahu. Mama pun nak tenangkan diri sendiri. Mama pun tak berapa berkenan dengan cadangan papa itu.

Amanda kawan baiknya sejak kecil kut. Takkan dia nak ambil Amanda menjadi isterinya pula. Macam terasa janggal aje dia kalau nak anggap Amanda tu isteri dia.

"Tak ada orang lain ke, pa?" tanya Ammar, mendatar saja. Mata menjeling wajah tua papanya. Sebenarnya dia sudah malas nak bertelingkah lagi dengan papanya tentang niat nak satukan dia dengan Amanda.

"Ammar, kamu tentu tahu kan kenapa papa buat cadangan macam ni? Demi kebaikan kamu juga," balas Datuk Azhari, memandang si anak dengan penuh harapan agar anaknya itu menerima cadangannya.

Dahi Ammar sudah berkerut sedikit. Demi kebaikan dia atau kebaikan papa? Ini semua macam tak kena aje. Maksud dia, dia tak akan mengambil Amanda itu menjadi isterinya hanya kerana nak selamatkan Syarikat Prima Teguh papanya itu.

Amanda, kawan baik dia. Amanda itu pun belum tentu hendakkan dia menjadi suami. Lagipun, dia dah lama tak jumpa Amanda. Entah macam mana gadis itu sekarang pun dia tak tahu.

Lagi pula gadis itu berada di luar negara dan sedang menuntut di sebuah universiti di Kanada. Macam-macam boleh terjadi. Macam-macam akan berubah.

"Tak ada orang lain ke, pa?" tanya Ammar lagi. Seboleh-bolehnya nama Amanda bukan salah seorang yang akan menjadi calon isterinya.

"Ada. Tapi anak kawan papa. Kawan lama. Papa memang berkenan dengan anak dia yang nombor empat tu. Apa namanya?" Datuk Azhari sudah berfikir-fikir sambil jari telunjuknya mengetuk-ngetuk dahinya perlahan.

"Hah, Najwa! Nama budak tu Najwa kalau tak silap papa," kata Datuk Azhari lagi.

"Anak Zafran ke, papanya?" tanya Datin Maslina, mencelah tiba-tiba. Ammar menjeling sekilas wajah si mama. Nampak bercahaya aje? Mama kenal ke gadis bernama Najwa ni? Nanti dia buat siasatan sikit.

"Haah, mamanya. Anak Si Zafran tu. Papa baru teringat pasal nak jodohkan Ammar dengan Najwa dulu. Tapi sekarang ni, papa rasa baik kita lupakan janji kita dulu, mamanya."

"Takkan macam tu sekali, papanya. Maksud mama, teruk sangat ke situasi syarikat papa tu?" tanya Datin Maslina dengan riak resah dan bimbang.

Datuk Azhari diam membisu. Kepala ditundukkan seraya mengeluh lemah. Hutang syarikat menjadi berlipat ganda bila projek sana sini terbengkalai. Rakan-rakan yang sama aliran pun tak mampu nak tolong. Dia menghubungi Ammar yang waktu itu berada di London untuk membantunya menaikkan semula reputasi syarikat. Tapi si anak bagi syarat pula. Dia tak mahu berkahwin dengan Amanda untuk menyelamatkan Syarikat Prima Teguh itu.

"Am akan cuba dulu mana-mana yang patut. Papa jangan risau. Abang Amzar pun boleh tolong. Buat sementara ni, Am akan gunakan duit Am dulu untuk buat pusingan modal. Kita cari projek dari kontraktor yang baru nak naik. Nanti Am deal dengan dia orang tu. Papa jangan bimbang, okey?" Bahunya ditepuk si anak, memberi semangat.

Tapi itu kisah dua bulan lalu. Nampak memang ada sedikit perkembangan positif. Tapi Datuk Azhari tetap bimbang. Bila-bila masa saja syarikatnya boleh diisytiharkan muflis. Hai, dekat manalah dia nak letak muka? Nak jumpa kawan-kawan business minta tolong pun dia dah malu sangat.

Seminggu lalu, Tan Sri Syuib ada memberitahunya tentang Amanda. Otaknya pula terus terfikirkan perancangan antara Ammar dan Amanda. Dia mahu menjodohkan mereka berdua dan Tan Sri Syuib juga berjanji akan cuba membantu kalau Ammar mengambil Amanda menjadi isterinya. Tapi si anak pula tak mahu. Pening kepala Datuk Azhari sekarang ini.

"Kita tak boleh batalkan perjanjian tu, papanya." Suara isterinya yang lembut itu buat lamunannya terganggu. Jauhnya dia mengelamun. Kepala diangkat sedikit memandang wajah isterinya.

"Nanti apa kata Zafran? Tak baik mungkir janji ni. Mama pun suka pada Najwa tu. Nampak baik budaknya. Kalau nak ambil Si Iman tu... Budak tu muda sangat lagi," balas Datin Maslina lagi. Mata menjeling si anak sambil tersenyum.

Ammar terkelu. Tak mampu nak cakap apa-apa. Lagipun, bukan ke dia yang suruh mama carikan perempuan untuk dia setelah lamarannya ditolak mentah-mentah oleh kekasihnya, Shila tu dulu?

Najwa? Iman? Dahi Ammar sudah berkerut sedikit. Siapa dia orang ni? Macam mana pula perwatakan mereka? Takkan dia nak ambil kedua-duanya sekali? Ceh! Belum apa-apa dah melalut kau ni, Am.

"Nanti papa cuba tanyakan Pak Cik Zafran kamu tu. Rasanya budak tu masih kosong. Tapi ingat, Ammar. Kita mesti bertindak segera sebelum segala yang papa dan datuk kamu bina selama ini musnah dan hilang macam itu aje," ujar Datuk Azhari lagi, masih mahu melaksanakan perancangannya dengan Tan Sri Syuib itu.

"Apa kena-mengena syarikat tu dengan perkahwinan Am, pa?" tanya Ammar, seraya menghela nafas. Sudah beberapa kali cakap pun papanya masih tetap dengan perancangannya.

"Kamu tak sayang papa? Mama kamu?" tanya Datuk Azhari dengan nada suara yang keras. Mata dah pandang tajam pada anaknya itu. Ammar lantas bangun dan berdiri tegak di hadapan papanya. Matanya memandang wajah papanya tepat-tepat.

"Am akan ikut rancangan papa dan kawan papa tu untuk berkahwin dengan Najwa. About Amanda, we will discuss it later," balas Ammar, sedikit bengang. Dia tak suka dipaksa macam ini. Ini adalah masa depan dia, dia sendiri yang akan tentukan. Bukan papa atau sesiapa. Okey, dia terima Najwa sebab dia tak mahukan Amanda. Titik!

Iman Suffiyah memandang kosong pada orang-orang yang sibuk ke sana sini menguruskan majlis pernikahannya yang baru saja selesai. Abang Izad dan abang ngah pula sedang menolong perancang perkahwinan menurunkan pelamin yang tidak digunakan itu dan oh ya, si dia juga turut ada sekali meringankan tulang untuk membantu yang lain.

Masing-masing sibuk mengemas perkakas majlis yang sudah selesai. Dia menghela nafas perlahan dan mata lelaki itu tiba-tiba bertembung dengan matanya. Tajam. Iman mengalihkan pula pandangannya ke arah ibu-ibu yang sedang sibuk mengagihkan makanan di bawah kanopi untuk diberikan kepada jiran yang datang membantu.

Hingga ke saat ini, dia masih tak percaya yang orang itu sudah menjadi suaminya. Pelik? Memang pelik. Bukan sekali otaknya memikirkan apa yang dah terjadi pada dirinya kini.

Tanpa salam, tanpa dia fikirkan, lelaki yang memakai baju Melayu biru laut dan berseluar jean itu tiba-tiba hadir dalam hidupnya dan kini sudah pun menjadi suaminya dengan sekali lafaz akad. Dan orang itu juga telah mengangkat darjatnya ke tangga teratas dalam carta hidup seorang Iman Suffiyah binti Ahmad Zafran. Sebagai isteri kepada Ammar Hafiz bin Datuk Azhari, dalam usia yang terlalu muda begini.

Dah dua puluh tiga tahun, Iman. Memang selayaknya kau kahwin pun. Tidak! Dia belum puas enjoy zaman bujangnya lagi. Belajar pun tak habis tapi dah kena kahwin. Dengan lelaki yang dia tak kenal pula tu!

Ini semua gara-gara kakaknya, Kak Najwa. Dia ingat dengan percutian semester ni, bolehlah dia menghabiskan masa dengan membuat beberapa projek untuk kolej atau jalan-jalan makan angin dengan Aida, kawan baiknya tu. Tapi tiba-tiba emak suruh dia bernikah dengan mamat yang dia langsung tak kenal. Lagi pula orang itu adalah tunang kepada Kak Najwa.

Hampir dua tahun Kak Najwa dan lelaki yang bernama Ammar itu bertunang tapi yang peliknya lelaki itu langsung tak pernah nak tunjukkan dirinya di hadapan keluarga mereka selama bertunang dengan Kak Najwa. Kak Najwa pun macam tak kesah nak ambil tahu siapa tunangnya.

Mungkin masing-masing tak suka kut. Biasalah kalau jodoh pilihan orang tua ni mesti ada yang tak suka. Mesti ada yang tak puas hati. Yup, Kak Najwa dan orang itu sudah dijodohkan untuk bersama sebab abah dan ayah lelaki itu berkawan baik. Iman rasa mamat tu yang tak puas hati!

Tapi bila emak suruh dia menggantikan tempat Kak Najwa, dia rasa kakaknya pula yang cerewet dan terlalu ikutkan kata hatinya. Sebab mamat itu nampak sudah bersedia untuk menikahi Kak Najwa tadi. Tapi Kak Najwa pula tiba-tiba buat perangai tak mahu bernikah dan majlis pula sudah nak bermula...

Emak terus mencarinya yang sedang sibuk menghidangkan makanan di atas meja luar untuk para jemputan dan menyuruhnya bersiap untuk menggantikan tempat Kak Najwa. Buat beberapa ketika Iman cuma terkebil-kebil memandang wajah emak yang nampak kusut dan resah. Fikirannya tiba-tiba jadi kosong. Tak tahu nak buat apa dan tak tahu apa nak difikirkan saat itu. Macam satu mimpi dan dia berharap sangat dia tak ada dalam mimpi itu.

"Iman, anak emak," ucap emak, perlahan sambil menggenggam tangannya.

"Emak minta tolong kali ini aje. Cuma Iman aje yang dapat menutup semua rasa malu emak dan abah ni. Kak Najwa tak mahu bernikah dengan Ammar," kata emak perlahan sambil mengesat tepi mata.

Dia yang masih terpinga-pinga, hanya menurut saja bila kak chik menariknya naik ke dalam rumah dan masuk ke bilik. Sehelai baju kurung putih milik Kak Najwa diserahkan kepadanya. Buat beberapa ketika matanya hanya memandang kosong pada baju pengantin itu.

"Iman..." Suara abahnya pula kedengaran dari luar bilik. Iman Suffiyah menoleh. Abah sedang berdiri di ambang pintu. Mata tua itu sedang merenungnya redup. Ah, abah selalu buat dia rasa sebak dan sayu macam ni. Juga rasa serba salah.

"Iman betul-betul nak gantikan Kak Wa ni?" tanya Encik Zafran.

"Iman sanggup terima Ammar?" Mata tua itu sudah memandangnya tepat. Dalam hati kata tak nak. Tapi bila tengok wajah emak, dia jadi serba salah.

Emak memang sayangkan Kak Najwa. Apa saja yang Kak Najwa mahu, diikutkan saja. Sekarang, Kak Najwa tak mahu bernikah dengan lelaki bernama Ammar itu. Emak ikutkan juga dan dia pula yang harus menjadi pengganti pengantin perempuan. Sadis!

"Iman." Dia serba salah hendak menjawabnya. Segala keputusan yang bakal dia buat akan mengubah kehidupannya nanti. Dia tahu abah tak pernah memaksa dan emak pula pasti akan merajuk dan tak mahu bercakap dengan dia untuk beberapa hari. Berdosa kalau dia buat hati emak merasa sedih.

Tak apa, Iman. Sesekali berkorban untuk orang tersayang apa salahnya. Lebih-lebih lagi berkorban untuk ibu bapa kita. Hati berkata-kata cuba membenarkan apa yang akan dia lakukan nanti adalah tindakan yang betul. Redah ajelah, Iman Suffiyah. Kalau kita tak berani nak menempuhnya, sampai bila-bila pun kita akan takut nak hadapi hidup ini. Lagipun, lambat-laun kau kena kahwin juga.

Mesti para jemputan yang hadir tadi merasa terkejut bila ternampak dia yang duduk bersimpuh di atas kusyen bersulam emas itu. Bukan Kak Najwa. Mungkin berbagai persoalan yang bermain dalam minda dia orang tu. Mesti macam-macam versi dan spekulasi yang akan keluar dari mulut orang nanti. Kenapa pengantin perempuan bertukar last minute?

Nah, sekarang dia sudah pun menjadi isteri kepada lelaki bernama Ammar Hafiz itu. Mereka berkenalan pun tak sampai dua puluh minit dan dalam masa dua puluh minit itu hanya beberapa ayat saja yang keluar dari mulut masing-masing. Yang lainnya hanya mata saja memandang dan hati Ammar Hafiz itu mungkin sedang menyumpah seranah dia dan Kak Najwa.

Iman mengangkat tubuhnya dan melangkah keluar. Kaki terus menyarung selipar jepun emak dan menuju ke belakang dapur. Malas nak fikirkan kisah selanjutnya yang bakal dia dan lelaki itu akan alami nanti. Kakak iparnya, Kak Liza dan kak chik sedang mencuci pinggan mangkuk serta gelas-gelas sambil berborak dan sesekali ketawa. Entah apa yang lawak sangat pun Iman Suffiyah tak tahu.

"Weh, kau nak buat apa ni, pengantin?" Suara Kak Liza dah kedengaran bila melihat dia melipat lengan baju kurungnya.

"Nak tolong cuci pingganlah. Takkan nak main masak-masak pula!" jawab Iman dengan muka bersahaja. Tangan terus capai sebuah bangku plastik dan duduk menghadap besen merah yang besar dan penuh dengan pinggan mangkuk yang sudah disabun itu. Tangan terus beraksi lincah membilasnya.

"Tak payahlah. Kau duduk diam-diam aje kat dalam sana," celah kak chik pula, menghalangnya.

"Menghalau nampak?" Iman Suffiyah sudah buat kening Ziana Zain dan buat muka berkerut lagi. Kak Liza dan kak chik sudah berpandangan. Tapi kemudian masing-masing sudah tarik sengih semacam.

"Apa rasanya dah jadi isteri orang ni?" tanya Kak Liza, sambil tangan menyabun pinggan.

"Biasa aje," jawab Iman, masih selamba. Sesekali mata memandang si kakak-kakak yang saling menyengih sambil angkat-angkat kening kat dia. Ni apa hal pula ni? Iman sudah angkat kening sebelah.

"Ala, Iman. Takkan kau tak faham? Kahwin ni best tau." Suara Kak Liza sudah kedengaran ceria aje.

"Ada orang jaga kita, ambil berat pasal kita dan orang yang sayang kat kita," sambungnya lagi. Mata dah jeling kak chik yang tersengih memanjang sejak tadi.

Mata Iman Suffiyah sudah memandang wajah si kakak ipar yang tersenyum-senyum itu. Yalah tu, kenal dengan orang tu pun tidak, dari celah mana pula datang sayang tu? Iman Suffiyah sudah menggeleng. Pelik sungguh dia dengan kata-kata isteri Abang Izad ni.

Agaknya, Encik Ammar itu pun macam dia. Janggal. Kekok. Macam tak percaya dia dah jadi isteri orang. Apa agaknya Aida dan Mila akan cakap kalau dia orang tahu dia dah kahwin?

"Kau tak percaya cakap Kak Liza ni ke?" Suara kak chik membuatkan Iman Suffiyah memandang kakaknya.

"Tunggulah malam nanti!" sambungnya sambil ketawa miang.

Kak chik ni memang mulut tak ada insurans! Cakap ikut suka dia aje. Muka Iman Suffiyah sudah sebal. Bukan dia tak faham maksud kata-kata kak chiknya tu. Faham sangat. Tapi, takkan dia dan orang tu nak kena ehem-ehem pula sedangkan mereka saling tak mengenali? Ngeriii...

"Bercinta selepas kahwin ni best tau, Iman. Tersentuh sikit ke banyak ke tak apa. Dah halal. Nak buat apa pun boleh!" Kak chik masih bercakap tentang hal rumah tangga. Iman Suffiyah dah rasakan sekarang ni dia macam nak tampal aje pelekat kat mulut kakaknya itu. Biar senyap!

Apalah yang dia tahu pasal alam rumah tangga ni? Masak pun tak lepas lagi. Bila ingat balik, memang geram dia dengan Kak Najwa tu! Besen di tangan dihempas ke permukaan air hingga memercik ke mukanya sendiri. Kak Liza dan kak chik sudah ketawa bila melihat dia meraup muka yang basah.

"Nak marah pun tak ada gunanya, Iman. Perkara dah jadi," pujuk Kak Liza, bagai mengerti perasaannya sekarang ini.

"Tapi kan, Iman. Kenapa Najwa tak nak kahwin dengan Ammar tu, ya?" tanya kak chik yang banyak mulut itu. Iman hanya jongket bahu sedikit, tak menjawab walaupun dua pasang mata sedang memandangnya tak berkelip. Dia tahu apa sebabnya. Tapi dia malas nak bercerita apa-apa. Bukan dia orangnya nak bercerita itu semua. Biarlah Kak Najwa saja yang memberitahu abah, emak dan yang lain-lain.

"Entahlah, kak chik. Iman pun tak tahu. Iman ni kan anak paling muda dan comel. Jadi kenalah ikut perintah orang paling tua walaupun hati tak merelakan," balas Iman, menyengih.

Kak chik dah menjelirkan lidah padanya. Meluatlah tu. Terus air di tangan direnjiskan ke muka Iman Suffiyah. Basah lagi muka dia! Iman sudah buat celang mata kat kak chik. Buat-buat marah.

Senyuman kak chik tiba-tiba mati. Mata dah pandang-pandang dia sambil tersengih-sengih. Kemudian tersipu-sipu pula. Dah kenapa dengan kakak-kakak dia ni? Makin pelik dia bila tengok Kak Liza pula tersenyum manis. Kat siapa? Ada seseorang kat belakang dia ke?

"Tolong cedokkan air tu sikit. Abang nak cuci tangan." Tak sempat nak menoleh, satu suara garau dan dalam tiba-tiba menegur di sebelahnya.

Iman menoleh dan terpandangkan orang itu sedang menghulurkan tangan sambil bibir terukir senyuman sejemput. Iman Suffiyah menoleh sekilas pada kakak-kakaknya yang sudah tunduk. Tapi bibir masing-masing masih tersenyum simpul. Macam nak kenakan dia dengan Encik Ammar ini aje. Iman buat muka bersahaja.

Air dicedok sedikit lalu dicurahkan ke tangan yang menghulur itu. Iman Suffiyah pun tak berani nak pandang lama-lama walaupun dah jadi suami sendiri. Bulu roma terasa tegak aje di tengkuknya bila mata hitam itu menjelingnya dengan ekor mata. Muka dah rasa panas semacam. Memang teramat rugilah Kak Najwa tu. Mamat ni kacak gila kut!

"Boleh kita bercakap sekejap?" tanya Ammar, perlahan. Mata memandang gadis muda yang sudah menjadi isterinya itu. Mata bulat itu tak berkelip bila dia bertanya begitu. Macamlah dia ada cakap, jom masuk bilik pada cik adik ni.

"Abang tunggu kat bawah pokok tu," bisiknya lagi lalu badan ditegakkan. Tangan dikesat dengan baju saja. Kaki melangkah beberapa tapak ke depan. Tapi dia menoleh semula bila dilihatkan Iman Suffiyah masih duduk di situ dan masih tak berkelip memandangnya. Nampak macam blur pun ada.

"Iman, pergilah cepat!" gesa Kak Liza pula, mengejutkan Iman yang masih blur itu.

Iman Suffiyah memandang si kakak ipar. Kemudian tangan dicuci bersih-bersih dan dilap dengan hujung baju kurung. Kakinya perlahan melangkah menghampiri Encik Ammar Hafiz yang sedang menantinya.

Iman Suffiyah segera mengikut suaminya itu dari belakang. Sesekali menoleh memandang orang ramai di halaman rumah sudah mula menurunkan kanopi-kanopi dan mengemaskan meja dan kerusi. Tiba-tiba dia terlanggar belakang badan Ammar yang sudah pun berhenti melangkah.

Aduh, kemik batang hidung dia. Dahlah badan mamat ni keras macam kayu balak!

Ammar menoleh ke belakang lantas tersenyum memandang cik adik yang baru dinikahi sebentar tadi. Memang dia langsung tak menyangka yang dia akan berkahwin dengan Iman Suffiyah. Bukan Najwa Alisha. Hatinya tiba-tiba terasa pelik bila pertama kali diperkenalkan dengan cik adik ini tadi. Dada sudah bergetar halus bila melihat sepasang mata bundar itu memandang tepat ke matanya bila dia meminta izin untuk melihat bakal pengantinnya.

Bila Pak Cik Zafran memberitahu yang dia akan menikahi Iman Suffiyah dan bukan Najwa, hatinya tiba-tiba jadi panas sebab terasa ditipu. Papanya pula sudah nak melenting dan bertanya kenapa boleh jadi begitu pada Pak Cik Zafran. Segera Pak Cik Zafran membawa papanya ke sudut rumah dan bercakap sesuatu. Mungkin menerangkan perkara tersebut.

Ammar memejamkan mata dan cuba bersikap rasional dalam keadaan yang sangat tegang tadi. Mungkin salahnya juga sebab langsung tak pernah nak menjenguk atau mengambil kesah pada bakal isteri dan bakal keluarga mentuanya. Mungkin sebab itu juga Najwa mengambil pendekatan sedrastik ini.

Di saat matanya terpandangkan wajah comel ini tadi, hati yang panas tadi terus terasa sedingin salju. Mata bulat dan hitam itu sedang tepat memandangnya seolah-olah meminta dia bersedia dengan segala tanggungjawab yang bakal dipikul nanti di bahunya. Dan, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

Dahi Iman Suffiyah berkerut sedikit melihat mata lelaki di hadapannya itu sedang tunak merenungnya. Tak berkalih walau sedikit pun. Tangan diangkat lalu memegang pipinya.

"Ada apa-apa kat muka saya ke?" tanya Iman, seraya menggosok-gosok pipinya. Kut-kutlah ada kesan hitam dari periuk yang dia cuci tadi. Soalannya itu membuatkan lelaki itu ketawa. Iman semakin pelik. Apa yang lawak sangat?

"Tak ada apa pun. Abang tengok comel aje."

Ammar tersenyum pula kini. Mata masih tak puas memandang wajah bersih itu. Nampak macam budak sekolah menengah aje. Alahai hati, janganlah buat perangai nak menggedik pula. Iman sudah gosok-gosok lengannya bila terasa bulu romanya meremang melihatkan senyuman lelaki itu.

Abang? Kening Iman sudah terangkat sedikit. Panggilan itulah yang lelaki kat depannya ini menggelarkan dirinya. Okey, mamat tu dah gelarkan dirinya abang, Iman. Jadi kena hormat. Suami tu... Suami. Jangan nak panggil mamat-mamat lagi.

Ammar mengambil tempat di atas pangkin yang terletak di bawah pokok. Kemudian ruang sebelah yang kosong ditepuk. Mengajak Iman duduk sekali. Teragak-agak pula isterinya mendekati dan duduk di sebelah. Ammar membetulkan duduknya lalu menghadap wajah Iman Suffiyah.

Buat beberapa ketika mata hitam itu meneliti wajahnya. Jantung Iman Suffiyah sudah huru-hara di dalam. Mamat ni nak bercakap ke atau nak pandang muka dia aje ni? Adoi, mamat lagi! Tangan Iman hampir nak tepuk dahi sendiri. Tapi takkan nak buat macam tu depan Encik Ammar Hafiz ini. Nanti kena tanya yang bukan-bukan pula karang!

"Awak percaya pada jodoh, Iman Suffiyah?" Ammar memulakan mukadimahnya.

Iman sudah menggaru-garu kepala yang tak gatal. Soalan apa ni? Soalan yang memerlukan jawapanlah, Iman! Otak ligat berfikir nak jawab apa.

"Errr... Percaya kut," jawabnya kemudian. Bibir dah tarik sengih bodoh.

"Macam tak aje." Ammar sudah menyeringai. Comel pula dia tengok bila budak kat depan dia ni buat aksi macam itu. Garu-garu kepala. Lepas tu buat sengih macam tu.

"Abang tahu kita saling tak mengenali. Jadi abang harap, dah ada hubungan yang suci ni kita akan saling berkenal mesra. Macam suami isteri lain juga." Ammar meneliti wajah yang nampak kosong saja itu.

"Abang tak nak Iman rasa kekok dengan abang. Iman malu dengan abang ke?" tanya Ammar, menyoroti wajah itu tanpa jemu. Ah, dah kenapa hati dia macam ni? Rasa gembira aje. Satu perasaan yang sudah lama tak dirasai. Bahagia!

Iman tidak menjawab. Bibir saja tersenyum tawar. Kekok? Ya. Malu pun ya. Maklumlah baru kenal beberapa jam tadi. Tapi dia tak adalah nak senyum tersipu menggedik macam filem Melayu dulu-dulu tu!

"Abang ajak berbual dengan Iman ni sebab abang nak beritahu yang abang nak balik KL sekejap lagi," kata Ammar, memandang pada jiran-jiran yang mula beransur pulang. Ada yang mengangkat tangan ke arahnya dan dia membalasnya kembali. Peramah sungguh Encik Ammar ini.

"Abang ada meeting malam nanti dengan business partner abang," sambungnya lagi, berpaling memandang wajah Iman kembali.

"Jadi, Iman pun kena balik dengan abang petang karang," kata Ammar lagi. Mata bundar itu dah tak berkelip memandang Ammar.

Sekarang ke? Otak Iman sudah ligat berfikir. Boleh tak kalau dia tak nak ikut balik? Dia masih nak duduk kat kampung ni dengan emak dan abah. Dia tak mahu tinggal dengan lelaki ini. Dia nak lari jauh-jauh dari semua ini! Hati sudah menjerit-jerit kat dalam.

Continue Reading

You'll Also Like

400K 23.4K 62
[MALAY FICTION] 5th Wattpad Story by _ljskwb. Bagi Shin, Ayen itu adik. Adik sebelah pintu yang dia akan pandang sebagai adik sampai bila-bila. Tap...
5.9M 238K 49
[ 1st BOOK = ARS ] ___________________ Dia berbahaya. Dia penuh dengan misteri. Dia penuh dengan muslihat. Dia... Danny Asyraf Lee. Mafia yang digeru...
Anthem By hlovate

General Fiction

92.7K 4.7K 77
Everybody has a past. Everybody lives a present. And everybody deserves a future. Published April 2013, ISBN 9789670508629 Goodreads : https://www.g...
36.3K 263 13
"Nama kau Kudin ya?" "Apasal kau gelak?" "Kudin nama kau? Memang sesuai sangat dengan kau. Nama kau sama buruk dengan baju kau tu!" Si Edrina ni mema...