Bab 13

2.2K 57 3
                                    

Ammar keluar semula dari bilik selepas membersihkan diri dan melangkah ke dapur. Iman sedang termenung di depan singki. Bibir sudah tersenyum. Kesian pula dia tengok Iman. Itu mesti tengah berfikir macam mana nak masak asam pedas.

"Sayang, abang dah nak balik ofis ni. Dah lambat." Panggilan Ammar itu buat kepala Iman pantas berpaling. Cepat-cepat kakinya melangkah ke ruang tamu mencari Ammar.

Ammar sudah siap menyarung stokingnya dan melangkah ke pintu. Iman berdiri tegak memandang suaminya dan menghulur tangan. Ammar senyum menyambut tangan Iman lalu cik isteri tunduk mengucup tangannya.

"Baik-baik duduk rumah. Masak sedap-sedap tau." Pipi Iman, Ammar kucup lalu membuka pintu. Iman dah nampak macam nak menangis. Terus Ammar ketawa.

"Masak aje kut, sayang. Bukan suruh pergi berperang!" Ammar ketawa lagi. Geli hatinya melihat muka Iman sekarang ni.

"Ni nak berperanglah ni..." jawab Iman dengan memuncung. Lantas bibir itu Ammar kucup ringkas. Tersentak Iman dibuatnya. Ammar masih ketawa sambil melangkah pergi.

Pintu hadapan ditutup rapat dan dikunci. Sunyi. Perlahan kaki melangkah ke dapur semula dan mendekati singki.

"Okey. Mula-mula, call Aida!" Telefon bimbit segera dicapai dari atas meja kaunter dan mencari nombor Aida. Dua tiga kali deringan si kawannya tu tak angkat. Mungkin tengah sibuk bekerja. Talian dimatikan. Nampaknya, kenalah call rumah abah. Nombor rumah abah pula dicari dan dia menunggu panggilan disambungkan.

"Assalamualaikum." Itu suara kak chik.

"Waalaikumussalam, kak chik!" jerit Iman teruja sedikit.

"Uit, kenapa ni, Iman? Ada kecemasan ke?" tanya kak chik pula.

"Haah, ni tengah buat panggilan kecemasan ni. Panggil mak!" pinta Iman.

"Hish, kau ni. Buat terkejut kak chik ajelah. Kejap!" Suara kak chik sudah menghilang. Iman sudah tersengih.

"Assalamualaikum, Iman?" Suara Puan Zulina sudah kedengaran di hujung sana, sayup-sayup.

"Mak, Iman nak minta tolong ni..." Iman sudah pejam mata menahan telinga sekejap lagi bila dia meminta pertolongan emak nanti.

"Tolong apa tu, Iman?" tanya Puan Zulina.

"Errr... Macam mana nak masak asam pedas ikan pari?" tanya Iman, gugup sedikit.

Senyap.

"Helo? Emak?"

Kemudian kedengaran bunyi orang ketawa geli hati. Suara kak chik tengah gelakkan dia. Iman sudah ketap gigi. Kemudian suara emaknya pula ketawa perlahan. Huh, sampai hati emak ketawakan dia. Tahankan ajelah, Iman. Cekalkan hati terima gelakan orang. Padan muka kau!

"Siapa nak makan ni? Menantu emak ke?" tanya Puan Zulina, sambil ketawa. Lawak betul Iman Suffiyah ni.

"Haah, mak. Abang Ammar suruh Iman masak asam pedas ikan pari. Ni, Iman nak tanya emak macam mana nak sediakan bahan-bahannya?" Iman sudah kalut capai pen dan buku nota siap-siap atas meja kaunter.

"Mula-mula ikan pari tu kena rendam dengan air asam dan garam. Kasi buang hanyir. Lepas tu cuci dan rendam dengan air beras..." Emaknya mula mengajar satu per satu. Semua yang Puan Zulina cakap, Iman tulis di atas buku nota.

Habis saja emak bagi arahan, segera Iman memulakan operasi memasak asam pedas ikan pari. Berpeluh dia menyediakan lauk-pauk dia dan Ammar untuk makan malam nanti. Akhirnya, siaplah asam pedas permintaan encik suami dan masakan pertama yang dia pernah masak. Harap-harap Encik Ammar itu tak banyak komen. Komen sikit-sikit tak apa.

Jadi, lepas saja solat maghrib, mereka duduk di meja makan. Iman sudah siapkan hidangan makan malam di atas meja. Kemudian si dia selamba mencedok kuah asam pedas ikan pari itu dengan muka pelik.

"Ini lauk apa, sayang?" Encik suami sudah memulakan sesi Ammar tanya, Iman kena jawab.

"Asam pedaslah!" jawab Iman penuh keyakinan. Muka Ammar berkerut semacam.

"Setahu abang, asam pedas tak macam ni. Kuah cair aje." Mata Ammar sudah pandang dia.

"Macam asam rebus aje!" Ammar sudah tergelak.

Hah? Mata Iman sudah terbeliak sedikit. Asam rebus? Emak salah bagi resipi ke atau dia yang salah masak?

Terus hilang rasa keyakinan Iman tadi. Ammar berdehem bila dah nampak perubahan muka cik isteri. Segera kuah asam pedas itu dicedok dan diletakkan ke dalam pinggan nasinya dan membaca doa makan. Kemudian tangan terus menyuap nasi ke mulut.

Iman memerhatikan wajah Ammar yang sudah buat kerut muka. Dah kenapa pula tu? Ammar seolah-olah memaksa makanan itu masuk ke dalam tekaknya.

"Masamnya, sayang. Ini baru betul-betul asam masak pedas ni!" kata Ammar sambil ketawa mengekek. Iman sudah terkaku di tempat duduknya. Terus hilang rasa lapar tadi. Muka Ammar dia pandang. Sedih pula dia bila mengingatkan apa yang dia buat hari ini sia-sia dan tak menjadi. Kesian juga pada Ammar sebab dapat isteri yang tak reti memasak!

"Kan Iman dah cakap, Iman tak tahu masak!" Iman sudah tolak pinggan sedikit. Marah pada diri sendiri. Ammar tersenyum. Kuah asam pedas itu dicedok sedikit dan sekeping ikan pari turut diambil.

"Abang tak berani nak ambil kuah dia. Masam sangat. Takut sakit perut besok masa kat ofis. Lain kali kalau masak, Iman rasa dulu, ya?" pujuk Ammar sambil tepuk-tepuk kekura tangan Iman yang terletak di atas meja.

"Tak ada lain kali. Iman tak nak masak kalau nanti abang sakit perut!" Iman sudah buat muka masam. Nafas dihela perlahan. Ini kalau emak tahu memang emak marahkan dia sebab tak pandai masak untuk suami. Lagi pula bila suami teringin nak makan itu ini. Iman sudah rasa nak menangis atas kekurangan diri.

"Ini namanya belajar, sayang. Kali ni Iman masak masam dan macam asam rebus. Lain kali, mesti Iman dah beringat dan tahu cara-caranya. Belajar dari kesilapan. Buat lagi dan lagi sampai sayang expert masak asam pedas ni. Sayang masih muda lagi dan masih banyak masa nak belajar masak semua tu. Jangan putus asa. Abang pun minta maaf sebab ketawakan lauk asam pedas sayang ni. I can't help myself..." Ammar ketawa semula.

Iman mengeluh perlahan. Ya, dia masih punya banyak masa nak belajar dan ambil tahu dalam semua perkara. Terutamanya apa yang suami suka makan dan suka buat. Iman merenung asam pedas yang dah jadi asam rebus itu. Nafas dihela lagi.

KAU SELALU ADAWo Geschichten leben. Entdecke jetzt