Jodoh Sebelah Pintu

By DeknaLee

69.6K 1.7K 199

Cerita ni diadaptasi ke drama lakonan Emma Maembong dan Kamal Adli. Mona Airawani bakal dijodohkan dengan... More

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 7

3.5K 98 0
By DeknaLee

Bab 7

"SAYA nak awak panggil penjaga awak ke sini sekarang juga! Awak berdua ni memang dah melampau sangat, tahu? Sekarang, ambil ni, telefon mereka suruh datang ke sini. Biar mereka tahu apa yang awak berdua dah lakukan pada saya. Kecil-kecil lagi dah pandai nak jadi gangster ya?" aku menghulurkan gagang telefon pejabat kepada Zahid dan Ariff.

Mereka berdua memandang wajahku dengan takut-takut. Telefon, lambat-lambat Ariff ambil dari tanganku. Muka sedih mula dipamer. Mereka mengaku yang kejadian semalam itu memang kerja mereka. Merekalah yang memancitkan tayar keretaku! Kan betul tekaanku? Siapa lagi yang pro buat kerja macam tu kalau bukan mereka? Huh!

"Nak call siapa?" Ariff menyoalku takut-takut. Aku jegilkan mata dan buat muka garang. Zahid dari tadi tak berkutik. Diam. Ketakutan. Pucat. Kasihan pula aku melihat muka mereka tetapi mereka memang perlu diberi pengajaran! Biar mereka tidak buat lagi di hari yang mendatang. Sejujurnya, aku bukanlah seorang yang garang sangat pun di sekolah. Cuma, bila berhadapan dengan orang senakal ini, darahku automatik naik mencanak.

"Ibu bapa awak ke, pak cik, mak cik, nenek, atuk, aci, bibik! Sesiapa yang rapat dengan awak, awak panggil ke sini. Biar saya nak repot sikit aktiviti awak berdua dekat sekolah ni. Dengan prestasi pembelajaran yang semakin merosotnya lagi. Apa nak jadi dengan awak berdua ni entah?!" aku membebel panjang. Muka mereka terkulat-kulat dan berpandangan sesama sendiri. Mereka berbisik buat sementara. Aku berdiri bercekak pinggang menghadap mereka.

Ariff mendail nombor yang entah apa lalu gagang diletakkan ke telinganya.

"Helo, ha, uncle, datang sini. Cikgu Ariff marah-marah ni. Ada benda yang dia nak cakap dengan uncle." ujar Ariff sayu. Aku menahan senyum. Seorang lagi mangsa. Sesudah giliran Ariff, telefon aku beri kepada Zahid pula. Dia menekan-nekan nombor telefon yang entah berapa-berapa itu lalu ditekap ke telinga.

"Helo... datang sekolah Jay sekarang. Cikgu Jay ma... ma... marah..." alamak! Anak orang ni dah menangis pula! Aku tepuk dahi. Zahid ni cengeng rupa-rupanya. Kalau dalam kelas, nakal mengena. Aku buat muka tak terkesan dengan tangisannya walaupun jauh di sudut hati, aku terasa sayu mendengar tangisannya.

Beberapa puluh minit berlalu. Zahid dan Ariff masih setia di hadapanku. Kami buat perjumpaan di pejabat guru sekolah sahaja. Kedua mereka tertunduk-tunduk dari tadi. Aku berpeluk tubuh dan bersandar. Menanti penjaga mereka datang. Lama pula. Sepanjang penantian yang entah sampai bila itu, aku hanya merenung tajam ke arah kedua mereka sehingga nak mengangkat kepala pun mereka tak berani.

Jari-jari sudah mula mengetuk meja. Menanti dan menanti lagi. Tidak semena-mena mataku tertangkap sesusuk tubuh yang aku kenali sehingga membuat hidungku mengeluarkan dengusan yang kuat. Si Bad! Buat apa dia datang sekolah aku?! Ada apa-apakah yang dia cari kat sini?

Aku tunduk-tunduk hendak menyorok di sebalik meja dengan berpura-pura mengangkat pen yang sengaja aku kuis ke bawah kerana bimbang dilihat Bad. Harap dia blah dari situ. Lagi cepat lagi bagus. Tak nak semakkan kepala otak aku dengan melihat muka dia. Inilah kebetulan paling karut sekali. Tak pernah hayat orang yang aku benci bakal terserempak dengan aku dalam keadaan begini. Di tempat kerja aku pula tu!

"Uncle!" terpa Zahid. OMG! Inilah uncle diorang? Patutlah aku tengok muka macam ada iras! Perangai tu lagilah beriras-iras! Aku tepuk dahi. Kalau uncle Ariff ini, Irfan, memang aku terlentang terus!

"Kenapa ni Jay?" soal Bad prihatin. Aku menjeling. Dia menghampiri. Mukanya begitu terkejut sekali melihat aku.Spontan aku terberdiri dari duduk. Aduhai! Memang malang betul nasib aku hari ini. Memang malang! Nasib aku tak pernah baik setiap kali terpandang muka dia.

"Awak, Kak Fashionista?" soalnya dengan muka serius.

Aku mendengus. Nama itu paling aku menyampah. Dia tak ada adab ke berjumpa dengan cikgu sekolah ni? Aku mengepal penumbuk geram. Kenapa dia tak pernah nak lupa nama tu? Teringin aku nak pinjam alat dalam cerita Men In Black tu. Mesin pemadam memori. Akan aku pancarkan untuk dia sesudah aku memakai kaca mata hitam. Sungguh segak gayaku nanti.

"Yalah saya, kat mana lagi tempat seorang guru harus duduk kalau bukan di sekolah? Di penjara?" soalku sarkastik. Dia tersenyum sinis. Anak muridku tercengang-cengang melihat kami bersinis-sinisan sesama sendiri. Mana aku belajar tatabahasa sinis-sinisan itu?

"Bukan di pentas peragaan ke, Kak Fashionista?" soalnya sinis! Wargh! Terkena balik aku. Malu! Malu! Malu!

"Silakan duduk encik..." aku tak tahu nak panggil apa dia ni. Baik aku biarkan kosong sahaja selepas 'encik' itu.Aku mempelawa dia duduk dan aku pun kembali duduk.

"Badrul Shah." dia menyebut nama penuhnya sambil melabuhkan punggung. Aku angguk sahaja. Oh, jadi itulah nama penuh dia ya? Aku ingatkan nama penuh dia, Badai Di Jiwa! Selalu membadaikan jiwa aku dengan perangai tak matangnya itu. Menyampah tahu?!

"Uncle saya mana, uncle?" sedih suara Ariff bersuara sambil menggoyang-goyangkan tangan Bad. Dia yang menelefon dahulu, dia punya uncle yang lambat sampai. Bad memegang bahu Ariff supaya bertenang. Di sebelah tangannya pula sudah tersorok Zahid yang mula hendak menangis ketakutan.

"Assalamualaikum." satu suara garau menyapa. Aku dan Bad mendongak. Muka kami sama-sama terkelu. Irfan?! Sekarang aku tahu, kenapa anak murid aku dua orang ini berperangai macam saka! Memang aku dah dapat jawapannya!

"Awak?" soalnya teruja. Aku blur... cara mereka terkejut melihat aku berbeza sangat!

Bad terkejut melihat aku dengan muka betul-betul horror dia. Macamlah dia nampak hantu! Irfan pula tersengih melebar macam nampak timbunan berlian dekat depan mata. Aku senyum lambat-lambat. Macam mana nak cerita pada mereka masalah anak buah mereka yang aku baru ajar pada bulan ini? Sudahlah di rumah, aku dibuli mereka. Di sekolah pula, anak buah mereka mengambil alih tugas mereka. Nampak tak? Hidup aku macam dah ditakdirkan menjadi mangsa mereka! Tak aci betul!

"Sila duduk Encik Amirul Irfan." nama penuhnya aku panggil. Dia mengangguk dan duduk di sisi Ariff. Bolehkah aku bercerita mengenai kes aku dibuli ini? Nampak macam tak logik tapi, bagi aku logiknya mengena sangat!

"Kenapa ya kami dipanggil?" soal Bad dengan kening berkerut-kerutnya.

"Zahid, Ariff, saya nak kamu sendiri beritahu apa yang kamu dah lakukan pada saya. Sejujurnya." aku malas nak cerita panjang-panjang. Baik anak muridku sendiri sahaja yang bercerita supaya kes ini tidak nampak macam aku sengaja mereka cerita. Bad memandang anak buahnya. Zahid tergagap-gagap.

"Jay buat apa pada Kak Fashionista ni?" soalnya dengan muka serius. Aku sudah berbulu di ulu hati. Rasa nak memaki orang tu memang ada. Boleh dia panggil aku 'Kak Fashionista'depan anak buah dia? Benci!!!

"Ariff buat apa pada Cikgu Mona?" soal Irfan lembut. Kepala anak buahnya diusap-usap. Irfan lebih prihatin dan penyayang. Ye ke? Melihat dari mata kepala, Bad mempunyai kelebihan itu apabila dia menyandarkan tubuh kecil Zahid ke dadanya. Melindungi anak buahnya. Macamlah aku nak hentam anak buah dia. Sebelum aku hentam anak buah dia, lebih baik aku hentam dia dulu.

"Kami buat apa yang uncle pernah ajar dulu." selamba sahaja Zahid mengadu sambil mula menangis. Aku ternganga. Uncle pernah ajar dulu?Oh my! Rasa seram mula menjalar ke minda. Oh, jadi pancitkan tayar kereta orang tu memang ajaran merekalah? Memang tak syak lagi, mereka ini ada konspirasi besar dalam mengkhianat orang!

"Ya, uncle. Uncle ajar kami dulu. Itulah yang kami buat pada cikgu." Ariff pula memberitahu sambil menggoyang-goyangkan tangan Irfan dengan muka takut. Muka Bad dan Irfan berpandangan. Berkerut-kerut.

"Yang mana satu?" mereka menyoal serentak. Aku terkejut mendengar soalannya. Macam nak tercabut rahang aku rasa-rasanya akibat terperanjat sehingga ternganga. Boleh mereka tanya 'yang mana satu'?! Banyak sangat ke 'ilmu' yang diturunkan pada budak-budak ni?! Patutlah nakal semacam!! Tok gurunya memang betul-betul hantu rupa-rupanya.

"Jay dah letak gam dekat kerusi guru?" soal Bad meneka. Zahid menggeleng-geleng kepalanya. Rahang aku sudah jatuh ke lantai tanpa dapat ditahan lagi. Sungguh kejam kalah zionis! Dia mengajar anak buah dia buat naya kat guru?! Apa punya uncle ni? Kalau aku ada rifle memang dah 'jalan' empat-empat orang kat depan aku ni!

"Letak paku tekan dekat kerusi guru?" soal Bad lagi dengan muka tak bersalah. Mukaku dah terkejut kalah orang nampak hantu. Di... di... diorang ajar anak murid letak paku tekan atas kerusi guru?? Gi.. gi... gila betul! Mujurlah aku tidak dikenakan begitu oleh Zahid dan Ariff. Entah macam manalah aku nak duduk nanti kalau aku terkena trick mereka yang itu. Sungguh kejam!

"Habis? Jay tabur jarum dekat dalam beg tangan dia?" soal Bad lagi tanpa riak bersalah.

Aku dah mula rasa seram! Gigit kuku jari berkali-kali. Makin brutal ni 'ilmu' yang diturunkan kepada anak buah dia. Tahap ke berapa tu agak-agak? Zahid sekali lagi menggeleng-gelengkan kepalanya. Bukan juga. Jari-jemari automatik terasa ngilu membayangkan kalau tanganku terkena jarum-jarum itu sewaktu mencari barang di dalam beg tanganku. Oh tuhan! Itu penyeksaan yang sangat keji!

"Ariff, buat apa pada Cikgu Mona? Ariff letak katak bawah meja guru ya?" Irfan menyoal pula.

Ariff menggeleng-gelengkan kepalanya dengan muka yang takut memberitahu perkara sebenar. Dadaku sudah senak! Mata perlahan-lahan jatuh melihat ke bawah meja pejabat. Mujurlah tiada katak! Ini, kalau dibandingkan dengan rejim Israel pun memang tak terlawan kejamnya! Sedikit sebanyak aku rasa lega. Mujur bukan katak yang diletakkan di bawah meja aku dulu sebab aku paling anti dengan katak.

"Habis? Ariff letak tikus kat laci guru?" soal Irfan dengan muka serius. Kanak-kanak itu menggeleng-geleng lagi. Tikus pula dah? Aku sudah tercungap-cungap. Apa pasal mereka ni? Ajaran apa yang mereka bawa? Mana bukunya?! Aku juga nak baca. Mudah aku tahu apa lagi plan yang mereka ada untuk mengenakan guru!

"Letak julap dalam makanan guru?" soal Bad lagi. Julap?!! Kedua kanak-kanak itu menggeleng serentak. Aku menarik nafas baru. Tangan spontan mengurut dada. Astaghfirullahalazim! Semakin sesak nafas aku dibuat mereka semua ini. MasyaAllah! Kejam sungguh ajarannya!

"Haa! Uncle tahu!" Bad terjerit sambil memetik jarinya. Mukanya ceria sungguh. Aku akhirnya boleh tersenyum lega. Tahu pun! Tak perlu lagi aku dengar 'ilmu' mereka yang entah berapa buah kitab itu lagi. Hanya menyesakkan dadaku sahaja mendengar ajaran sesat mereka itu. Memang teruk ajarannya. Haraplah terampun dosa anak buah mereka bergurukan dua ekor kera itu. Nafas lega akhirnya berjaya aku hembuskan.

"Jay dan Ariff letak cacing dalam mee cikgu ya?" saat itu aku sudah nak termuntah. Apa kena dengan keluarga mereka ini? Macam mana boleh turunkan ajaran sesat kalah ajaran Ayah Pin ini kepada budak-budak kecil? Kepala aku sudah berpinar-pinar. Pening teramat sangat! Tahan punya tahan akhirnya kepalaku memberat. Dunia menjadi semakin kelam. Telingaku sempat menangkap, 'Mona!!'...

"MONA, awak okey?" soal Irfan kalut sebaik sahaja aku berjaya membuka mata. Bad tersenyum senget dengan muka sinisnya. Aku mendengus. Kenapa aku perlu tengok lagi muka budak dua ekor ini? Anak murid aku mana? Aku dekat mana ni?

"Saya dekat mana ni?" soalku dengan kepala masih berdenyut-denyut.

"Awak dekat bilik tidur saya." Beritahu Bad tanpa riak bersalah. Mataku membulat. Bilik tidur dia?!! Automatik aku melihat badan. Lega. Masih ada pakaian.

"Hisy! Bukanlah. Kau ni Bad!" Irfan memarahi Bad. Lega aku bukan di bilik tidur Bad. Tak rela sungguh rasanya nak 'menetap' di bilik tidur dia.

Mataku melilau ke sekeliling. Beberapa jururawat sedang lalu lalang bersama pesakit yang berpakaian seragam hospital. Hospital?! Rasa nak terberanak di situ. Macam mana aku boleh ada dekat sini? Aku tengok tangan. Dah masuk air?! Irfan setia duduk di tepiku manakala Bad membelek-belek fail. Pakaian Irfan dan Bad aku tengok silih berganti. Mereka doktor yang merawat akukah? Jangan-jangan mereka dah pakat nak letak racun dalam kantung air ni?!

"Cabut benda ni sekarang! Awak nak bunuh saya ya?" aku menyoal Bad kasar.

Tangan aku hulur ke arahnya. Minta dia cabut wayar dan jarum yang mencucuk tanganku itu. Dia menjeling sahaja. Tanpa suara.

"Aku cakap cabut!" aku mengamuk. Dia berkerut. Irfan pula mula letak telunjuk di bibir. Syhhhh!! Minta aku diam. Aku ketap gigi. Pesakit lain memandangku dengan kening terangkat. Alamak! Propa lebih pula! Bukannya sengaja aku nak propa, masalahnya sekarang, aku diserang rasa panik yang sangat tinggi. Mereka yang merawat aku!

"Kau orang memang nak aku mati kan? Saja letak racun dalam ni? Kalau anak saudara pun kau boleh ajar buat bukan-bukan, inikan pula kau orang sendiri!" aku menjerkah dengan suara tertahan. Bahasa sudah berubah semakin kasar. Bad tergelak kecil sehingga terhinggut-hinggut bahunya. Dia tidak boleh ketawa lepas, aku tahu itu! Etika seorang doktor di hospital. Irfan bangkit. Mukanya cemas.

"Awak dah salah faham ni, Mona! Mana ada kitorang letak racun. Awak pengsan tadi, itu yang kami bawak pergi hospital. Awak jangan risau, free of charge. Saya kan doktor yang merawat awak." Irfan berkata menyedapkan hati aku.

"Susah saya nak percaya dengan awak berdua ni!Free of charge konon. Jangan-jangan ini jalan pintas saya ke kubur." aku membentak sambil menunjukkan wayar ditangan. Semakin kuat hinggutan bahu Bad. Irfan pula tersengih-sengih. Apa yang kelakarnya? Buat orang pengsan macam ni, tak kelakar ke?

"Awak janganlah ingat kitorang jahat sangat, Mona." Irfan memujukku. Aku mendengus.

"Dah ajar anak murid saya letak cacing dalam makananlah, apalah. Tak jahat ke kalau macam itu?" aku menyoal dengan mata membuntang. Geram! Geram! Mereka tergelak juga akhirnya. Berdekah-dekah. Ekhem!! Jururawat berdeham berkali-kali. Mereka berdua kemudiannya menunduk dan ketawa tanpa suara.

Aku memandang mereka berdua dengan muka bengang. Tag nama di kot doktor mereka aku pandang. Dr. Syah di dada Bad dan Dr. Amirul di dada Irfan. Aku mendengus. Doktor berperangai macam ni? Doktor pakar sakit jiwa pun tak dapat nak rawat doktor dua orang ni. Mental!

"Sampai pengsan aku dikerjanya!" aku membebel sendiri pula. Geram lagi. Mereka gelak lagi dengan cara paling beriman. Irfan tergelak di bahu Bad dan Bad tergelak di bahu Irfan. Nampak tak keserasian mereka tu? Bahu terhinggut-hinggut tanpa suara. Entah apa yang lucu sangat pun aku tak tahu!

"Awak pengsan sebab tekanan darah awak tinggilah, Kak Fashionista! Bukan salah kami. Tapi pelik, dengar macam itu pun boleh pengsan!" dia berkata sambil tergelak lagi. Tanpa suara. Aku mendengus. Tak pernah hayat aku dapat penyakit seumpama itu! Mana pernah keluarga aku dapat penyakit pelik-pelik ni? Dioranglah penyebabnya.

"KENAPA kau balik dengan Abang Bad dan Irfan hari ni?" soal Julia kepadaku. Aku mengeluh.

Di rumah, satu lagi masalah baru. Mujurlah aku sekadar pengsan biasa. Tak demam dan tak sakit teruk. Lalu aku dibolehkan balik pada petangnya. Masalah baru pula muncul apabila si Julia ini seakan-akan tidak mahu melihat aku berbaik langsung dengan jiran monyetku. Dulu, siapa juga yang berpesan supaya beramah dengan jiran-jiran? Dia jugalah orangnya.

Bukan aku nak berbaik pun. Dah mereka hantar aku ke hospital menaiki kereta Bad, nak tak nak, balik sekalilah aku dengan dua ekor monyet tu! Sepanjang perjalanan pulang ke rumah tadi, mereka menceritakan sebab musabab kenapa mereka mengajar anak buah mereka berperlakuan 'zionis' seperti itu.

Barulah aku tahu, rupa-rupanya, Ariff dan Zahid sebenarnya sering dibuli oleh cikgu dan rakan di sekolah lamanya sehingga trauma untuk kembali ke sekolah. Disebabkan itu, mereka dipindahkan ke sekolah di mana aku mengajar sekarang.

Lebih parah lagi, Zahid dan Ariff dahulu asalnya pelajar yang skema dan sangat-sangat lurus bendul. Tidak sanggup melihat anak buah mereka dibuli dengan kejam oleh rakan-rakan sekolah dan cikgu juga, mereka akhirnya menukar sekolah dua orang kanak-kanak itu. Bukan itu sahaja, sempatlah mereka mengajar anak buah mereka supaya jangan terlalu mengikut telunjuk orang. Memang lurus budak dua orang tu. Tak ikut langsung telunjuk orang. Telunjuk aku ni sekali diorang tak ikut. Aduhai anak muridku!

Malang betul kau orang ada uncle yang prihatin sangat sampai macam ni tahapnya! Kasihan aku melihat muka mereka yang bengkak-bengkil dipukul dan dibuli di asrama sewaktu Irfan menayangkan gambar mereka kepadaku. Sebab itulah pada pendapat aku, budak-budak kecil tak berapa sesuai duduk di asrama. Aku macam tak percaya aje bila cikgu pun membuli sama. Cikgu jenis apalah yang tak berhati perut sangat tu?! Buat buruk nama cikgu lain aje.

Bila terkenangkan semula peristiwa di mana Zahid dan Ariff dirotan oleh guru besar dan akhirnya mereka memancitkan tayar guru besar dahulu, barulah aku tahu. Memang mereka tidak buat tetapi telah dituduh mencuri. Aku percaya pada mereka sebab mereka bermati-matian mengaku tidak bersalah sampai menangis teresak-esak. Dah macam kena hukum gantung pula.

Sebagai seorang guru, sepatutnya, kajilah dulu sahih ke tidak benda yang terjadi itu. Mentanglah budak dua orang tu selalu buat masalah dalam kelas setiap guru, dia terus tarik budak itu dan menuduh mereka mencuri. Tapi, sebenarnya barang yang kononnya dicuri itu, ada dalam biliknya. Dia yang tersalah letak. Memang aku bengang sangat. Sebab itulah aku buat tak tahu sahaja bila ternampak mereka berdua pancitkan tayar guru besar. Kalau boleh, waktu itu aku teringin nak tumpang sekaki dengan mencalarkan keretanya yang berkilat molek itu.

Tapi cara Irfan dan Bad mengajar anak buah mereka itu sangatlah tak betul! Aku ni habis terkena. Mujurlah tayar kereta sahaja dipancitkan. Kalau dia letak sesuatu dalam makanan aku ke, paku payung atas kerusi aku ke, tak ke naya aku?

Bad akhirnya tergelak apabila aku membebel mengenai tayar kereta aku yang dipancitkan budak dua orang itu. Irfan mahu bertanggung jawab tapi aku menolak. Tidak mengapalah. Aku sudah sediakan pam angin di dalam keretaku pagi tadi. Sekarang, keretaku sekali lagi tersadai di sekolah. Aduhai.

"Cukuplah kalau awak berdua cakap dekat anak saudara awak tu supaya belajar rajin-rajin dan ikut cakap cikgu dia. Kalau cikgu dia buat naya barulah betul! Ini, dalam kelas sudahlah nakal tak terampun! Bila disuruh berdiri dekat depan dia tonggeng-tonggeng punggung dekat kita.

Dia orang berdua tu tak ada kena buli pun kat sini. Cikgu dan anak murid yang lain yang kena buli dek diorang. Siap dengan guru besar lagi kena buli. Suruh diorang behave pulak ya? Abang Long kawasan budak dua orang tu. Saya pun tak berani nak cari pasal dengan diorang." aku membebel. Otai sangat anak saudara diorang. Huh! Menakutkan.

Irfan dan Bad ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kataku. Aku rasa, mungkinlah Bad dengan aku memang berbulu sesama sendiri. Tetapi, dia dah kurang sikit menyakat aku melainkan panggilan Kak Fashionista dia tu. Itu tak mahu hilang. Pelik juga aku kenapa. Tapi, bila datang angin kuat menyakat dia tu, aku yang duduk kat belakang ni rasa macam nak katuk kepala dia dengan tukul besi. Sebab dia yang memandu, aku batalkan niat aku. Aku tak nak mati lagi!

"Nanti, kalau awak rasa diorang teraniaya, awak buat tak tahu aje eh bila diorang balas kat orang yang aniaya mereka tu ye?" Irfan berpesan padaku.

Aku memikir dua tiga kali juga. Irfan buat muka menagih simpati sambil memandangku di belakang ini. Aku akhirnya mengangguk. Bagus juga. Aku yang bekerja sebagai cikgu ini pun asyik kena buli dengan cikgu lain. Apalah salahnya sekali sekala aku berkompromi dengan budak dua orang tu? Wah, jahatnya aku!

"Tapi ada syarat." aku berkata sambil tersenyum.

"Apa?" soal mereka serentak.

"Saya nak awak senaraikan jenis-jenis buli yang awak dah ajar mereka. Saya nak tick satu-satu dengan aduan yang kami dapat nanti." aku berkata. Mereka berdua tergelak serentak.

"Panjang berjela, Mona! Larat ke awak nak baca semua tu nanti?" si Irfan bersuara dalam tawanya. Aku tersenyum.

"Larat sangat. Setakat list-list macam tu, saya peduli apa?" aku berkata bongkak. Aku tulis novel beratus muka surat langsung! Sambungku di dalam hati. Astaghfirullah. Riak... riak...Tanpa sengaja, aku tersenyum. Besok, in shaa Allah masalah aku dengan si Zahid dan Ariff akan selesai. Irfan mempelawa untuk menumpang mereka besok tapi aku menolak. Malam nanti, aku nak ambil kereta aku di sekolah dengan Julia memandangkan kereta Julia dah ada di hadapan rumah.

وKz


Continue Reading

You'll Also Like

64.5K 6K 24
𝐔𝐧𝐝𝐞𝐫 𝐌𝐢𝐥𝐢𝐤 𝐃𝐢𝐚 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬 𝐕𝐨𝐥 𝟐 𝐍𝐮𝐫𝐞𝐞𝐧 𝐑𝐚𝐮𝐝𝐡𝐚𝐡 | 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐙𝐚𝐲𝐫𝐚𝐧 "𝐓𝐚𝐤𝐡𝐭𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐮𝐧𝐠𝐠...
1.5M 49.3K 66
Afiq Khairul X Ain Solehah. Mereka berdua diibaratkan seperti kucing dan tikus. Sejak kecil sehingga meningkat dewasa, mereka berdua tidak pernah '...
246K 16.3K 41
[ ON- GOING] Dia... Leftenan Zar Uzair, pemegang amanah yang teragung, pada fikiranya ini jalan yang dipilih, tanggungjawab yang dipikul asbab mengap...
521K 18K 69
( In editing process...) 𝐀𝐑 - 𝐑𝐀𝐘𝐘𝐀𝐍 - "I'm looking for the right one, Nadra. Then, I'll straight off to propose her, marry her and treat her...