69

261 12 2
                                    

Mekar

Murni bersama Kak Yati meninggalkan Tanah Tinggi Cameron dengan seribu rasa kepuasan. Ketenangan yang dicari mungkin tidak seratus peratus dia temui, tetapi dia mampu lupakan sedikit tekanan dalam diri.

Kenderaan yang dipandu meluncur laju membelah lebuhraya. Jalan yang pada mulanya agak curam dan menuruni bukit yang banyak selekoh semakin jauh di belakang.

Di tempat duduk belakang, sejambak ros merah segar turut bergerak-gerak mengikut rentak pemanduan.

Anif Zayyan juga menghadiahkan satu bakul penuh buah strawberry yang baru dipetik untuk Murni.

Tadi sebelum bergerak meninggalkan vila, Anif Zayyan muncul dengan lori pikapnya. Mungkin dia baru tiba dari ladang kerana masih dengan pakaian kerja.

Dia yang banyak membantu mengangkat beg pakaian dan barangan yang lain, menyusun kesemuanya dibonet kereta Murni

Sementara Murni dan Kak Yati, hanya memerhati.

"Okay dah siap." Katanya sambil menutup pintu bonet X70 berwarna merah hati milik Murni.

"Kalau nak naik lagi ke sini, jangan lupa bagitahu saya. Kecil tapak tangan, seluruh ladang strawberry dan kebun bunga saya tadahkan untuk menerima kehadiran awak." Seperti biasa Anif Zayyan suka berkata lucu. Murni dan Kak Yati ketawa mendengarnya.

"Amboi Encik Zayyan, lain macam jer bunyinya tu." Sela Kak Yati.

"Untuk  gadis yang saya suka, rasanya tak salahkan." Dia berkata sambil mengenyit mata.

Murni buat tak faham. Walaupun hatinya seperti terasa berbunga dan dalam perutnya seperti ada rama-rama sedang berterbangan.

"Untunglah Cik Murni,"gurau Kak Yati sambil menoleh kearah Murni.

"Haish Kak Yati ni, dia tu kan suka berlawak. Bukan betul-betul pun." Murni segera melangkah ke pintu pemanduan.

"Kalau betul macam mana... awak sudi ke?" Kata-kata Anif Zayyan yang mengekori di belakangnya tidak disambut. Murni buat tak dengar. Terus saja dia memasuki kereta lalu menghidupkan enjin.

Dapat dirasakan wajahnya mula kemerahan.

Anif Zayyan meminta Murni untuk tunggu sebentar. Dari dalam lori pikapnya dia mengeluarkan sebakul penuh buah strawberry. Bakul itu kemudiannya diletak ditempat duduk belakang kereta Murni.

Kemudian dia mengambil pula sejambak ros merah yang sudah digubah cantik.

Dia menghampiri Murni yang sudah pun memasang tali pinggang keselamatan.

"Ini khas untuk awak dari saya." Anif Zayyan menyerahkan jambangan ros merah kepada Murni.

Jambangan itu bertukar tangan.

"Dan ini juga." Sebuah kotak baldu berwarna biru gelap disuakan.

"Apa ni?"  Murni ragu-ragu untuk menerima.

"Ini tanda perkenalan kita. Berapa banyak pun bunga ros dan strawberry yang saya bagi, ia akan layu dan membusuk. Tetapi yang ini ia akan kekal selamanya dengan awak. Terpulanglah cara bagaimana awak nak menyimpannya." Ada kiasan pada kata-kata Anif Zayyan.

Murni meletakkan kotak pemberian Anif Zayyan didalam tas tangan. Jambangan bunga di serahkan kepada Kak Yati yang duduk di sebelahnya.

"Baiklah, saya gerak dulu. Saya ucapkan terima kasih kerana sudi membantu saya dan juga menjadi pemandu pelancong yang tak bergaji untuk kami sepanjang di sini."

"Sikit jer, bukan pertolongan yang besar pun. Hati-hati masa memandu. Moga awak berdua selamat sampai di KL."

Anif Zayyan melepaskan kenderaan Murni beredar dari kawasan vila.

Kini mereka berhenti rehat di sebuah kawasan hentian rehat dan rawat untuk menunaikan solat dan mencari makanan. Waktu semakin menghampiri petang, perjalanan pula masih jauh lagi.

Ketika sedang berehat, Murni membelek telefon genggamnya. Sejak dari mula bercuti, dia lansung tidak membuka laman sembang di WhatsApp. Dia hanya membiarkan sahaja dentingan demi dentingan notifikasi berbunyi tanpa ada rasa mahu membuka dan membaca, malah juga tidak mahu ambil tahu siapa yang mengajaknya bersembang.

Kini,dia mula membuka satu demi satu. Paling banyak dari Hakim. Murni klik 'mark as read' sahaja. Ada juga dari Nana dan Kak Aida. Kesemua nya dia 'mark as read'. Malas mahu buka dan baca.

Pada nama lain, tertera nama Anif Zayyan. Tetapi pesanan itu masuk dua hari yang lepas.

Pantas dia menekan skrin atas nama Anif Zayyan. Dari situ dia menerima kiriman foto yang merupakan foto-foto dirinya yang diambil tanpa disedari. Lebih dari sepuluh keping gambar. Kesemuanya berlatar belakangkan kawasan ladang strawberry dan kebun bunga ros.

Paling kebawah dia menemui kata-kata ini;

'Awak sangat cantik dan saya suka sangat dengan awak. Moga perkenalan akan berterusan dengan izinNya...'

Murni jadi teringat kepada kotak baldu yang diberi oleh Anif Zayyan sebelum bertolak dari vila. Segera dia membuka tas tangan. Kotak kecil dikeluarkan.

Perlahan kotak itu di buka. Isinya adalah seutas rantai leher emas yang diukir dengan namanya dan ukiran kecil berupa sebiji buah strawberry dan sekuntum bunga ros. Ada kertas kecil diselitkan bersama rantai leher itu.

- Hadiah kecil buat gadis yang istimewa di hati Anif Zayyan -

Aku Dalam Dakapan Dia ✔Where stories live. Discover now