31

375 13 0
                                    

Tenang

Zhafik mengucapkan terima kasih kepada pegawai penyiasat dan pasukannya yang datang sebaik sahaja dia menelefon pihak polis. Mereka berjanji untuk menyiasat kes Murni sehingga tertangkapnya dua lelaki yang berniat untuk memperkosa Murni.

Zhafik menghampiri Murni yang sedang duduk di dalam kereta. Gadis itu masih lagi menangis dan kelihatan terkejut. Zhafik menghubungi Hakim dan menceritakan  tragedi yang menimpa Murni.

"Awak okay?" Pandangan matanya jatuh pada wajah Murni. Gadis itu menyapu airmata yang bersisa di pipi. Matanya merah dan sedikit bengkak.

Murni hanya mengangguk. Tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara. Dia mahu mengucapkan terima kasih kepada Zhafik kerana telah menyelamatkan dirinya, namun suaranya hanya bergema dalam hati.

Hakim tiba bersama Puan Sakinah dan Raja Hazman. Sebaik sahaja turun dari kereta Hakim, Puan Sakinah terus mendekati Murni.

Murni turun dari kereta Zhafik. Belum sempat dia menghulurkan tangan untuk menyalami Puan Sakinah, wanita itu terlebih dahulu memeluk Murni.

"Allahuakbar, syukurlah kamu selamat. Alhamdulillah ya Allah." jari-jari wanita itu mengusap perlahan belakang badan Murni. Murni yang baru hendak kering airmata, menjadi sebak semula.

"Malam ni tidur di rumah kami saja. Bahaya kalau kamu tinggal seorang diri macam ni. Nasib baik tiada apa-apa yang berlaku." Raja Hazman bersuara. Puan Sakinah bersetuju dengan kata-kata suaminya itu.

"Terima kasih, bro. Mujur kat cepat sampai." Hakim menepuk bahu Zhafik. Zhafik hanya tersenyum. Waktu semakin menginjak senja, dan sebentar lagi malam akan menjelma.

"Murni, mari ikut kami balik ya." Puan Sakinah masih lagi menggenggam tangan Murni. Sebak dirinya melihat keadaan Murni yang kelihatan tidak terurus.

Mahu tak mahu dia kena juga ikut cadangan Raja Hazman. Memang dia takut untuk bersendirian selepas kejadian itu.

"Tapi saya nak ambil pakaian dan barang peribadi dulu. Rumah pun masih bersepah lagi," ujar Murni sambil memandang Puan Sakinah.

Masa dia terjatuh akibat di tolak, semua barang yang dibeli turut jatuh. Ditambah pula dengan aksi tumbuk menumbuk Zhafik dan lelaki jahat itu, habis semua tunggang langgang jadinya.

"Kalau macam tu, auntie ikut kamu naik atas. Hakim, meh naik dan tolong kemas sekali." Puan Sakinah mengajak Hakim menemani naik ke rumah Murni. Sementara Zhafik dan Raja Hazman menunggu di kereta sahaja.

*****

"Ini bilik untuk Murni. Kalau nak bersihkan diri, di bilik ni ada bilik air." Puan Sakinah menunjukkan bilik tetamu kepada Murni.

"Terima kasih auntie." Ucap Murni. Kini dia rasa sedikit tenang bila berada di rumah Puan Sakinah.

"Sama-sama. Nanti dah siap mandi Murni turun kebawah ya. Kita makan malam sama-sama. Nanti turun je tangga tu, ruang makan dan dapur ada kat sebelah kanan." Jelas Puan Sakinah melemparkan senyuman kepada Murni.

"Auntie turun dulu ya. Jangan segan-segan. Buatlah macam bilik dan rumah sendiri," sambungnya lagi. Murni mengangguk sambil membalas senyuman Puan Sakinah.

Selepas Puan Sakinah beredar, Murni menutup pintu. Beg pakaian di letak di atas katil. Sehelai baju lengan panjang dan seluar panjang di keluarkan dari beg. Di ambilnya tuala mandi lalu dia masuk ke kamar mandi. Selesai mandi dia mengambil wuduk.

Usai solat fardhu maghrib dan qada solat asar, Murni mencapai tudung sarung dan memakainya. Dibelek-belek wajahnya di cermin solek. Selepas berpuas hati, dia bersedia untuk keluar dan turun ke bawah.

Murni menuruni tangga. Dia dapat mendengar suara orang lelaki sedang berbual-bual. Mungkin itu Raja Hazman dan Hakim. Jam sudah menunjukkan ke angka lapan malam.

Murni mencari arah untuk ke dapur. Sempat dia meninjau sekitaran rumah besar itu. Dari situ pandangannya di hala ke arah bunyi suara yang dia dengar tadi. Namun terhalang dinding.

Di pandang pula ke arah ruang yang lain. Dia berjalan perlahan-lahan. Dia sampai ke ruang makan. Di atas meja makan sudah terhidang juadah makan malam. Murni melangkah menuju ke dapur.

"Auntie... " Tegur Murni perlahan setelah dia nampak wanita itu sedang membasuh sesuatu di sinki.

Puan Sakinah segera menoleh. Dia menghentikan kerja membasuh buah-buahan.

"Ha, Murni. Duduklah dulu. Auntie nak potong buah ni kejap." Dia mencapai pisau dan pinggan.

"Boleh saya tolong auntie?" Murni menawarkan diri untuk membantu. Segera dia mendekati Puan Sakinah.

"Dah nak siap dah ni. Murni tolong susun kan buah-buah ni dalam pinggan dan bawa ke meja makan ya." Arahan dari Puan Sakinah di lakukan dengan cermat.

Selepas selesai di dapur, Puan Sakinah mengajak Murni ke ruang tamu. Baru dia perasan Zhafik juga berada di situ.

Aku Dalam Dakapan Dia ✔Unde poveștirile trăiesc. Descoperă acum