BAB 24

3K 293 23
                                    


USAI MENIKMATI MAKANAN TENGAHARI, mereka memilih untuk bermain boling. Hannah jaguh dalam permainan boling, begitu juga dengan Rayyan. Jadi, mereka bakal berentap untuk lihat sama ada siapa lebih hebat. Fateh pula akan menjadi juri serta penyokong. Tiada pilih kasih dan keputusan akan diberikan secara adil dan saksama. Siapa yang kalah, kena belanja makan ayam goreng bersalut cheese yang boleh didapati di Kfry terletak KLCC pula. Hari ini penuh dengan makan sahaja.

Sambil berjalan ke tempat boling, mereka menyusuri kedai demi kedai sambil cuci mata. Mata Hannah tertarik pada papan iklan di hadapan Watsons, diskaun sebanyak 50%. Wah, banyak tu! Mata Hannah bersinar-sinar. Tiba-tiba banyak pula senarai barang yang muncul dalam kepalanya untuk dibeli. Pencuci muka macam dah nak habis, sunscreen dan toner pun sama, gincu pula nak beli warna yang lain.

Sedang Hannah sibuk berjalan lenggang kangkug dan berangan memikirkan barang apa yang harus dibeli, Hannah terlanggar bahu seseorang. Habis berterabur barang-barang di tangan orang tersebut.

"Maaf, encik. Saya tak sengaja. Maafkan saya." Berkali-kali Hannah meminta maaf kerana sedar akan kesilapan dirinya. Dia tidak dapat melihat muka lelaki tua itu kerana dia sibuk mengutip barang-barangnya yang berterabur di lantai. Hannah dihuni rasa serba salah, Fateh dan Rayyan turut sama membantu. Beberapa mata orang yang lalu-lalang memerhatikan kerana ingin tahu apa yang berlaku.

Itulah Hannah. Lain kali jangan berangan sewaktu berjalan. Ha, kan dah malu sendiri! Tak pasal-pasal orang lain memandang ke arahnya.

Usai mengutip barang yang berterabur, Hannah bangun diikuti dengan lelaki yang sudah lewat usianya itu.

"Saya minta maaf, saya tak nampak ta..." Kata-kata Hannah terhenti saat dia menghulurkan beg-beg kertas kepada lelaki itu.

"Adik..." Panggil lelaki yang berdiri betul-betul di hadapannya.

Hannah menghela nafas berat. Kenapa dia perlu menghadap muka lelaki ini lagi saat dia masih belum melupakan setiap perbuatan yang pernah dilakukannya dahulu. Hannah menyuruh Tengku Akbar untuk mengambil beg kertas di tangannya dan ingin berlalu pergi.

"Fateh, cucu daddy." Diletakkan beg-beg kertas di atas lantai lantas mendekati Fateh.

Dia menghulurkan tangan kepada Fateh lantas Fateh menyambut huluran tangan tersebut dan menciumnya. Sudah diajar Fateh dari kecil untuk salam tangan orang yang lebih tua apabila bertemu tidak kiralah walau siapa pun dia. Adat orang Melayu itu indah.

"Hannah balik dulu. Jom Fateh, Rayyan." Hannah menjauhkan Fateh daripada Tengku Akbar kerana dia tidak bersedia untuk semua ini. Fateh pun tidak harus tahu tentang tok daddynya. Namun, sejauh mana Hannah lari, mereka pasti akan bertemu jua. Bagai air dicincang tak akan putus, pi mai pi mai tang tu.

"Adik, sekejap..." Tengku Akbar menahan. Bukan selalu dia ada peluang untuk menatap seraut wajah anaknya yang dirindukan itu. Mereka sudah ketepi kerana tidak mahu menarik perhatian orang ramai dan tidak mahu menghalang laluan.

"Hannah sibuk, ada benda nak buat." Dia mengelak untuk bertentang mata dengan daddynya.

"Daddy rindukan adik." Lengan Hannah dipegang.

"Hannah nak balik." Ujar Hannah tegas lalu melepaskan genggaman tangan tersebut. Dia tidak suka. Drama antara ayah dan anak itu hanya diperhatikan oleh Rayyan dan Fateh dari tepi.

"Adik, daddy merayu. Daddy rindukan adik." Air mata mengalir pada pipi yang sudah berkedut lelaki yang sudah dimamah usia itu.

"Balik. Tolong jangan ganggu hidup saya lagi. Seperti mana encik tidak mengaku bahawa saya ni ahli keluarga encik suatu ketika dahulu, saya harap encik faham mengapa saya bertindak sebegini sekarang." Pohon Hannah dengan suara yang semakin meninggi. Dia tidak mahu menangis di hadapan lelaki itu.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now