BAB 52

3.4K 200 13
                                    

KEESOKAN paginya, mereka menikmati sarapan pagi di restoran yang berdekatan dengan apartmen yang diduduki. Sekadar mengambil makanan ringan untuk mengisi perut yang kosong sedari malam. Selepas itu, Rayyan meneruskan sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Lalu dia memarkirkan kereta di tempat parkir yang berdekatan dengan London Bridge yang terletak terletak di sungai Thames.

Jari-jemari mereka bersulam antara satu sama lain. Setelah jauh berjalan, mereka melabuhkan punggung di suatu kerusi yang berhadapan dengan sungai. Pemandangan di situ sangat indah dan mampu mengujakan hati sesiapa sahaja yang memandang.

London Bridge yang menjadi mercu tanda Kota London kini terbentang luas di hadapan mata. Sangat cantik dan unik reka bentuknya. Cuaca pada pagi itu amat nyaman. Meskipun matahari memancar terik, angin yang bertiup amat menenangkan. Sesekali kelibat orang lalu-lalang melintasi tempat yang mereka duduki.

Sesaat Hannah melabuhkan dagunya pada lengan Rayyan sambil sebelah tangannya memeluk erat pinggang Rayyan. Sudah beberapa hari suaminya itu bersikap dingin. Sungguh, sifat beku Rayyan terhadapnya membuatkan dia berasa tidak senang duduk.

"Abang," panggil Hannah.

"Hmmm..." Sesekali Rayyan melirikkan mata ke arah Hannah yang memeluknya erat. Ingin sahaja diturunkan egonya lalu membalas pelukan sang isteri tetapi tubuhnya menegah.

"Do you have anything to tell me?" Tidak berani hendak memandang ke arah Rayyan, jadi Hannah hanya menebarkan seluruh pandangannya ke arah pemandangan yang terbentang luas di hadapan mata.

"Do you have anything to say?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Saya nak minta maaf kalau saya banyak buat salah dengan abang sepanjang kita berkahwin. Saya tahu kadang kala perangai saya melampau. Saya minta maaf sebab saya tak tahu menghargai lelaki sebaik abang." Kolam mata bertukar hangat saat menutur kata. Dia marahkan dirinya kerana dia sangsi dengan suaminya sendiri.

"Saya tahu saya bukan wanita yang sempurna dan banyak sangat kelemahan..." Dada dihimpit rasa sebak. Mungkin betullah apa yang Rayyan beritahu kepada Hannah bahawa dia bukanlah ayah kandung Fateh. Mungkin betullah lelaki yang dia nampak dalam gambar tempoh hari hanyalah pelanduk dua serupa kepada Rayyan. Walaupun hakikat yang dia perlu dia terima itu agak sukar untuk dipercayai, tetapi separuh hatinya mempercayai Rayyan.

"Abang nak bagitahu sayang sesuatu." Sesaat dagu Hannah diangkat agar mata mereka bertentangan. Di sebalik renungan Rayyan, tiada lagi api-api cinta. Pandangannya kosong. Jantung Hannah berdebar dengan rentak yang tidak menentu. Apakah kebenaran yang hendak disingkap oleh Rayyan?

"Abang ialah ayah Fateh." Bagai dihempap oleh batu yang sangat besar, dunia Hannah terasa gelap untuk seketika. Kenyataan yang baru sahaja dikeluarkan oleh Rayyan membuatkan Hannah meneguk air liur kesat.

"Apa?" Dia tidak salah dengar, bukan?

"Ya, abang ialah ayah Fateh." Dengan yakin Rayyan menjawab tanpa ada ragu-ragu. Mata hazelnya tajam menikam anak mata Hannah.

Tidak mampu mengeluarkan sebarang kata, Hannah bertindak untuk bangun dari bangku yang mereka duduki dan terus berlalu dari situ. Kakinya melangkah tanpa arah tuju. Sesekali dia mendengar suara Rayyan sayup-sayup memanggil dari belakang, namun tetap diteruskan langkah. Dia mahu lari dari situ. Dia mahu lari dari realiti. Air mata merembes keluar tanpa henti. Dada yang sakit dipukul-pukul supaya sakitnya hilang.

"Ya Allah." Ditekup mulutnya agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Tidak dipedulikan mata-mata yang memerhati lantas diboloskan diri di sekumpulan manusia yang turut berjalan di laluan yang sama. Sehinggalah suara Rayyan tidak lagi menerjah ke gegendang telinga dan dia yakin Rayyan sudah hilang jejaknya.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now