Bukan semua orang tahu dan faham apa itu disleksia. Meskipun mereka daripada golongan profesional. Jika diterang panjang lebar pun masih sukar untuk difahami dunia seorang disleksia. Inikan pula jika tidak diberitahu apa-apa.

"Naufal, janganlah macam ni. Bagi cikgu, Naufal sangat pandai." Hannah cuba memujuk. Kanak-kanak disleksia sangat lain daripada yang lain. Dunia mereka bukan hanya tertumpu pada buku teks sahaja, tetapi otak mereka berfikiran luas dan mereka melihat dunia bukan seperti apa yang orang lain lihat. Ini membuatkan apa yang mereka fikirkan sukar untuk difahami oleh orang lain kadang-kadang.

Ramai tokoh dunia yang dikenali ramai pada zaman ini rupa-rupanya mempunyai sejarah disleksia sewaktu kecil. Antaranya ialah Albert Einstein ahli fizik yang terkenal menghasilkan formula E = mc² iaitu teori kesetaraan jisim-tenaga, seterusnya Thomas Edison, orang pertama yang mencipta lampu, Henry Ford iaitu pengasas syarikat Ford Motor iaitu syarikat kereta kedua terbesar di United States dan juga menduduki carta kelima di dunia. Sebenarnya ramai lagi kanak-kanak yang menghidapi disleksia sedari kecil yang dikatakan mempunyai otak lembap dan lambat belajar yang akhirnya mereka berjaya mencipta sebuah kejayaan yang sangat hebat.

Suka untuk Hannah baca kisah-kisah tokoh-tokoh yang terkenal untuk dia mengetahui lebih lanjut tentang penyakit ini. Contohnya, Steve Jobs pengasas jenama Apple yang terkenal dengan kecanggihan peranti elektroniknya seperti Iphone dan Ipad juga turut menghidapi disleksia sewaktu kecil. Sewaktu di sekolah, dia dikatakan mempunyai masalah lambat belajar dan lebih berminat kepada sesuatu yang menggunakan kemahiran. Jadi, dia dikatakan berhenti dari sekolah lalu bekerja dengan bapanya di garaj rumah mereka berkaitan bidang elektronik. Dari situ, kemahirannya dalam bidang elektronik diasah dan diperkembang sehingga akhirnya dia mampu mengeluarkan peranti elektronik berjenama Apple yang begitu terkenal dan digunakan oleh berjuta-juta orang di dunia ini.

Hannah yakin Naufal juga turut mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang unik. Antara kelebihan Naufal yang dia sedar adalah dari segi bakat melukis. Dia sedar bahawa kemahiran Naufal melukis jauh lebih baik daripada anak-anak muridnya yang lain. Seawal darjah 2, dia mampu menghasilkan sebuah potret manusia. Potret yang pernah dia tunjuk kepada Hannah adalah lukisan wajah ibu dan bapanya. Jika ditunjuk pada orang lain, pasti mereka akan terkejut dan tidak percaya jika lukisan itu dihasilkan oleh seseorang yang berusia 8 tahun.

Ya, perkara itu tidak mustahil. Disleksia bukanlah suatu kelamahan tapi sebenarnya suatu anugerah.

"Naufal, selama ni cikgu bagi Naufal kerja sekolah, kamu boleh siapkan dengan baik. Kamu sudah boleh membaca dan mengira. Cikgu sangat bangga dengan kamu. Anak murid cikgu ni sangat pandai dan kreatif. Kamu jangan rendah diri dengan apa yang orang lain katakan. Kita manusia dicipta berbeza-beza setiap orang. Jangan samakan diri kamu dengan orang lain. Setiap orang ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Hargai diri kamu seperti mana kamu mahu orang lain hargai kamu. Sebab kalau bukan kamu yang hargai diri kamu, tiada siapa mampu sayang dan hargai kami." Hannah memujuk panjang lebar meskipun Naufal mungkin tidak faham sepenuhnya apa yang dia katakana. Dia cuma mahukan Naufal bangga dengan kelebihan dirinya meskipun dia ternyata berbeza daripada orang lain.

Tangisan Naufal semakin reda. Nampaknya dia seperti terpujuk dengan kata-kata Hannah. Hannah menarik nafas lega, sekurang-kurangnya beban yang ditanggung oleh anak muridnya itu berkurang.

"Naufal kena kuat. Kamu jangan pernah putus semangat. Cikgu yakin kamu akan menjadi seorang yang hebat suatu hari nanti. Yang penting, kamu kena yakin dengan diri kamu dan jangan pernah merendah-rendahkan diri sendiri. Boleh janji dengan cikgu, Naufal?" Hannah memandang ke dalam mata anak muridnya.

Naufal mengangguk-anggukkan kepala.

"Sekarang ni, kamu bawa balik buku ni. Cuba buat muka surat yang cikgu tanda. Kalau kamu tak tahu, jangan paksa diri. Esok jumpa cikgu, tunjuk dekat cikgu mana-mana soalan yang kamu tidak tahu, cikgu akan bantu kamu." Arahan diberi.

"Sekarang ni cikgu tak mahu kamu sedih lagi, cuba senyum sikit."

"Baik, cikgu... Terima... kasih... Hari ini... saya akan... bagi cikgu..." Ujarnya susah payah bersama secebis senyuman di bibir lantas dibalas oleh Hannah. Buku di atas meja dimasukkan ke dalam beg sekolah lalu disandang.

Naufal masih belum tahu membezakan antara hari ini dan esok. Baginya esok adalah hari ini. Dia pelik apabila hari akan bertukar esok setelah dia tidur menjelang malam. Contohnya, kalau dia tidur petang, hari masih siang dan masih dikira hari sama iaitu hari ini. Jadi, bagi dia tidur malam, hari masih sama.

Tak apalah, perlahan-lahan Hannah akan membuatkan Naufal faham tentang konsep itu. Tidak mahu dia paksa anak muridnya.

Hannah mengerling jam tangan yang terletak elok di pergelangan, sudah tibanya waktu Naufal pulang. "Mak kamu mesti dah sampai, kirim salam cikgu kepada mak ya. Hati-hati dalam perjalanan."

Naufal angguk dan sekali lagi mengukir senyum.

Naufal bingkas bangun daripada duduk lantas meminta izin untuk berlalu. Hannah sekadar balas dengan anggukan. Hannah melambai-lambai tangannya sehingga Naufal hilang dari pandangan.

Hannah mengukir senyum gembira. Dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya dan orang sekelilingnya. Semoga kesedihan yang dialami oleh Muhammad Naufal digantikan dengan sinar bahagia. Sebagaimana dirinya yang dihantui oleh kesedihan yang berpanjangan selama beberapa tahun dan akhirnya dilimpahkan dengan kebahagiaan. Rasa syukur yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah Tuhan yang Maha Esa atas kurnian-Nya.

HANNAH baring di atas katil. Telefon bimbit yang sudah mula panas diletakkan di sisi katil. Seronok dia berborak dengan mak Naufal, Puan Alia sehingga tidak sedar tempoh perbualan mereka sudah mencecah 1 jam. Dia memberitahu bahawa dia dan suaminya telah membawa Naufal berjumpa pakar untuk melakukan ujian disleksia. Setelah melalui beberapa ujian, Naufal disahkan mempunyai penyakit disleksia. Meskipun umurnya sudah menjangkau 8 tahun, tetapi tahap pembacaan dia seperti kanak-kanak berusia 5 tahun, di mana pemikirannya lambat 3 tahun ke belakang.

Menurut Puan Alia, sebenarnya Naufal sudah menunjukkan ciri-ciri disleksia sejak kecil. Dia mempunyai masalah ear, nose and throat (ENT) di mana dia sering jatuh sakit sedari kecil terutama berkaitan telinga, hidung dan juga tekak. Sejak kecil, dia sudah biasa makan berbagai-bagai jenis ubat. Namun, simptom tersebut semakin berkurang apabila umur Naufal meningkat.

Mak Naufal juga bercerita mengenai perangai Naufal yang sedikit pelik. Antaranya adalah dia tidak dapat membezakan sebelum dan selepas. Contohnya, dia pernah menyuruh Naufal menyorong kerusi ke dalam meja sebelum dia menyusun buku di rak. Naufal menjadi keliru apabila ada perkataan sebelum dan selepas dalam satu ayat. Akhirnya, dia meletakkan buku di atas kerusi kemudian barulah dia menyorong kerusi ke dalam meja.

Ya, hal itu memang pelik. Tetapi Puan Alia tidaklah berfikir apa-apa. Baginya Naufal mungkin sedikit keliru dan tidak dapat menerima arahan dan melakukannya dengan baik. Namun, sangkaannya silap. Perkara-perkara kecil seperti itulah ibu bapa seharusnya ambil berat supaya anak-anak yang berkemungkinan ada penyakit dapat dikesan dan diberikan rawatan lebih awal.

Naufal akan menjalani beberapa rawatan susulan di hospital bersama pakar. Dia juga mungkin akan ditukarkan ke sekolah khas yang menempatkan kanak-kanak istimewa seperti mereka yang mempunyai attention-deficit/ hyperactivity disorder (ADHD), autism dan lain-lain. Namun, mereka masih belum jumpa sekolah mana yang sesuai untuk Naufal.

Meskipun Naufal belum berpindah, Hannah sudah berasa sedih. Dia amat sayangkan Naufal seperti mana dia sayangkan Fateh. Dia berharap usahanya yang kecil dalam membantu Naufal mampu memberikan kesan yang positif dalam hidupnya dan yang apa yang penting sekali adalah supaya dia tidak merasa rendah diri dan lemah semangat.

Hai, Fi dah tukar tajuk novel balik tau. Dari Pujaan Hati Syed Rayyan jadi Her Guardian Angel. Hopefully korang okay. Hihi.

HER GUARDIAN ANGELTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang