4

2 1 0
                                    

Istana Velichesten

Qairiesya mengambil angin di balkoni luar. Menghirup udara segar dari perbukitan. Sudah hampir 20 jam Qairiesya tidak tidur. Setiap kali malam menjelma Qairiesya akan berasa takut dan tidak tenteram.

"Kamu tak tidur lagi ke Valerie?" Sapa Permaisuri Marvis dari arah belakang. Beliau risau melihat keadaan puterinya itu.

"Bonda. Anakanda takut untuk tidur. Mimpi itu selalu menghantui anakanda. Apa yang harus anakanda lakukan bonda?" Sahut Qairiesya atau Puteri Valerie seraya meminta nasihat ibunya.

"Bonda pun sudah tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukan. Evan yang hebat itu pun tidak dapat menyelesaikan masalah anakanda. Akan tetapi, Bonda selalu berdoa kepada Sang Dewata Tunggal agar anakanda akan pulih seperti sediakala" Permaisuri Marvis memanjatkan pengharapan kepada Yang Maha Kuasa.

"Anakanda bermimpi berada di dalam bilik yang serba putih. Bilik itu mempunyai tingkap yang kecil. Dinding dan lantainya lembut seperti baldu. Seketika itu juga nafas anakanda terasa berat seperti dihimpit seolah-olah ruangan tersebut mengecil dan menghempap anakanda. Akan ada sekumpulan manusia berpakaian putih yang muncul dari pintu dan memegang anakanda dengan kuat. Salah seorang daripada mereka mencucuk kulit anakanda dengan sejenis besi halus. Pandangan anakanda terus kelam" Qairiesya mengulang kisah mimpinya berkali-kali sejak setahun yang lalu.

Permaisuri Marvis tetap setia mendengar dan tidak menyanggah walaupun sekali. Masih jelas di ingatan puterinya itu menghembuskan nafas yang terakhir dalam dakapannya. Betapa luluh dan hancur hatinya ketika itu. Bagaimanapun, pada hari pengebumian Puteri Valerie, seluruh Wilayah Aramaik gempar apabila anakandanya hidup semula.

Permaisuri Marvis dan Raja Archer gembira bukan kepalang. Akan tetapi Evan si Ahli Magis Diraja mengatakan Puteri Valerie itu bukan anaknya tetapi roh asing yang telah menduduki jasad Puteri Valerie yang telah kosong.

Evan mahu mengambil nyawa Puteri Valerie tetapi dihalang oleh Permaisuri Marvis. Beliau tidak mahu kehilangan anaknya lagi tambahan pula dia yakin itu adalah anaknya kerana Puteri Valerie sedar dan kenal siapa dirinya.

"Bonda menangis ke? Maafkan anakanda kerana membuat bonda bersedih" Qairiesya mengeluarkan tisu sutera dan menyapu air mata yang mengalir di pipi bondanya.

"Bonda tak apa-apa anakku. Bonda tak apa-apa," balas Permaisuri Marvis dengan lembut. "Tidurlah anakku. Barangkali kamu akan beroleh ketenangan malam ni"

Qairiesya merebahkan diri atas tilam empuk yang diperbuat daripada sulaman sutera. Matanya masih segar walaupun sudah dua puluh jam tidak tidur. Secara tiba-tiba, sesuatu telah membuatkan pelupuk mata Qairiesya menjadi berat dan Qairiesya terus tertidur.

Qairiesya mendapati dirinya berada di sebuah taman yang luas. Terdapat berpuluh-puluh jenis bunga pelbagai warna dan haruman. Terasa sangat indah dan menyegarkan. Jiwa dan perasaan Qairiesya berasa tenang. Kedamaian itu sudah lama tidak dirasakannya.

Cahaya merah kekuningan menghiasi segenap penjuru angkasa persis senja di Bumi. Sedang Qairiesya bersiar-siar mengambil angin, dia terpandang satu kelibat berupa seorang lelaki di sebuah pohon rendang tidak jauh dari tempat dirinya berdiri. Lelaki tersebut membelakanginya. Pakaiannya seperti seorang putera raja.

Qairiesya cuba menghampiri lelaki tersebut walaupun hatinya sedikit gusar. Akan tetapi, langkahnya terasa panjang. Lelaki itu seolah-olah menjauh dan terus menghilang. Pemandangan tersebut sirna dan Qairiesya terjaga dari tidurnya.

Keesokannya, Qairiesya bermimpi berada di taman yang sama. Seperti malam sebelumnya, Qairiesya cuba menghampiri lelaki tersebut tetapi langkahnya terasa panjang. Lelaki itu semakin menjauh dan terus menghilang.

QairiesyaWhere stories live. Discover now