2

11 3 0
                                    

Kat mana ni?" Doktor Hadrian tersedar dari lenanya. Sekelilingnya terasa asing. Langit berkilauan seperti aurora. Rumput dan tumbuh-tumbuhan berwarna jingga. Bukit bukau kelihatan seolah-olah bergerak sendiri. Doktor Hadrian menghidu bau yang harum dan menyegarkan datang dari angin yang berhembus.

Doktor Hadrian cuba berdiri. Kakinya tenggelam sedikit ke dalam tanah. 'Tanah ni lembut tapi kenyal,' getus hati Doktor Hadrian. Seolah-olah dia berada di atas sebuah belon yang besar.

Sekonyong-konyong, satu sosok lembaga berlari keluar dari belukar berhampiran. Lembaga itu seorang lelaki yang berpakaian seperti ahli magis. Dari jauh dia menjerit sesuatu pada Doktor Hadrian.

Doktor Hadrian tidak memahami apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Akan tetapi nalurinya dapat menangkap isyarat yang diberikan. Dia segera berlari ke arah yang bertentangan. Kenapa aku kena lari ni? Fikir Doktor Hadrian.

Pertanyaannya terjawab seketika itu juga. Dari dalam belukar, keluar seekor naga yang besar berwarna biru. Seluruh tubuhnya seperti dilitupi api. Doktor Hadrian terketar lutut. Dia mempercepatkan lariannya. Tanah yang dijejakinya membantu larian. Doktor Hadrian seperti sedang melompat kijang.

Naga Biru itu sudah berada di langit. Sayapnya yang besar menutupi cahaya langit membuatkan kawasan sekeliling Doktor Hadrian gelap. Naga Biru tersebut seolah-olah sedang mengaum tetapi Doktor Hadrian tidak mendengar apa-apa suara. Naga ni bisu ke?

Lelaki misteri tadi sudah berada di sampingnya. Mengekori langkah Doktor Hadrian dengan rapat. Doktor Hadrian mula terasa mengah. Nafasnya berderu laju.

Lelaki misteri itu menjerit sesuatu pada Doktor Hadrian. Kali ini Doktor Hadrian menunjukkan isyarat tidak faham melalui pergerakan tangan. Lelaki misteri itu menepuk kepalanya dan menggumam sesuatu. Serta merta Doktor Hadrian dapat memahami setiap patah perkataannya.

"Hati - hati!" Laung lelaki misteri itu. Serentak dengan kata-kata itu, Naga Biru menyemburkan api yang sangat panas.

'Habislah aku' Doktor Hadrian pasrah dengan apa yang berlaku. Matanya terpejam rapat menanti saat roh terpisah dari jasad. "Ashadu allah ila ha illallah"

Akan tetapi tiada apa yang berlaku. Rupa-rupanya lelaki misteri itu telah memasang penghadang yang tak terlihat oleh mata. Walaupun begitu, Doktor Hadrian tetap merasakan kepanasan api yang membakar kulit.

"Teruskan larian. Jangan berhenti" laung lelaki itu lagi. "Di depan sana ada gua"

Dari kejauhan, Doktor Hadrian sudah nampak lokasi gua yang dimaksudkan. Sedaya upaya dia memerah keringat untuk segera sampai ke situ. Masalahnya ada sungai di hadapan. Sungai tersebut pula sangat deras airnya.

"Teruskan menuju ke sungai. Jangan berhenti"

Doktor Hadrian memilih untuk mempercayai kata-kata lelaki itu. Tiba sahaja di sungai, lelaki misteri itu membuat beberapa isyarat tangan. Serta merta satu lapisan cermin menutupi permukaan air.

Berang kerana gagal membakar musuhnya, Naga Biru bertindak menyerang penghadang yang tak terlihat. Lapisan cermin di atas air itu mulai retak. Mereka sudah pun berada di tengah-tengah sungai. Jikalau lapisan itu pecah, Doktor Hadrian dan lelaki misteri itu bakal dihanyutkan arus sungai yang bergelora.

"Jangan peduli. Lapisan ni masih boleh bertahan. Cepat!" Gesa lelaki misteri itu. Darah sudah pun mengalir di bibirnya. Kecederaan akibat serangan naga itu bukan sedikit.

Naga Biru sekali lagi mengumpul kekuatan untuk memecahkan penghadang. Ia meluru ke bawah dengan pantas dan melibaskan ekornya. Penghadang tersebut pecah.

Serentak dengan itu, Doktor Hadrian dan lelaki misteri melompat masuk ke dalam gua. Naga Biru berang dan menyemburkan api ke dalam lubang gua. Akan tetapi gua tersebut telah tertutup dengan pintu batu.

Di dalam gua, Doktor Hadrian dan lelaki misteri itu mengambil nafas. Doktor Hadrian merasa hampir pitam. Belum pernah lagi dia berlari sepantas ini. Keringat mencurah-curah keluar dari liang peluh.

"Ambil ni. Minumlah" Lelaki misteri itu menghulurkan sebiji botol berisi cecair biru. Doktor Hadrian teragak-agak mengambilnya. "Jangan risau. Minuman ni halal. Macam Pepsi Blue sikit"

Doktor Hadrian tergamam mendengar kata-kata lelaki itu.

QairiesyaWhere stories live. Discover now