Dan disebabkan oleh hal tersebut,dia mengeraskan hati walaupun pemergiannya ke ibu kota bersama Athreyu mendapat bantahan keras terutama sekali daripada sang ayah.Dia perlu mengikuti pemuda tersebut bagi memastikan semuanya tidak apa-apa.Kaii tahu.

Semenjak dia menyedari bahawa dia sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam perkembangan cerita Babad saribu Bhyangkara,dia sudah bertekad untuk mengambil langkah berhati-hati dalam setiap tindakannya.Dia bimbang jika alur cerita yang mencetuskan konflik besar-besaran dalam cerita tersebut tetap akan berlaku walaupun disebabkan oleh punca yang lain.

*              *               *

Dalam masa yang sama,Putera Amadeus yang sedang berdiri menghadap gerbang utama istana kota itu mencerunkan penglihatannya.Memerhatikan simpang-siur para warga yang keluar-masuk ke istana tersebut dengan senyap .Melalui balkoni kamar peraduannya yang terletak di sebelah kiri istana,segala pergerakan di bawah sana jelas dalam pemerhatiannya.

Pedati-pedati yang membawa hadiah ,ketibaan rombongan duta dan wakil daerah yang menjadi jajahan Kerajaan Darmenta malahan riuh-rendah para pembantu istana dalam usaha untuk menyiapkan segala keperluan menjelang sambutan hari keputeraan Putera Ardius tidak terlepas dari jangkauan pengllihatannya.

Hari keputeraan Putera Ardius seperti mengapungkan kemeriahan yang aneh di dalam istana.Dinding dan lantai luar biasa gilapnya.Langsir yang menutupi tingkap-tingkap tinggi mencecah siling bertukar wajah digantikan dengan langsir baldu yang baru.

Sementara itu, pasu-pasu bunga di lorong-lorong dan anjung istana mendadak bertambah bilangannya.Lampu hiasan juga berganda jumlahnya secara tiba-tiba dan tanglung dari kertas papirus pelbagai saiz bergantungan di segenap sudut istana.

Mendengar daun pintu diketuk dalam ritma khusus yang hanya diketahui oleh orang-orang rapat dan dipercayainya, Putera Amadeus menoleh lalu mengisyaratkan kepada salah seorang daripada gadis penghibur yang berada di dalam bilik tersebut untuk membukakan pintu.

" Tuanku. " Panglima Agean menyapa sambil menundukkan kepala. Mengunci semula pintu lalu menapak menghampiri Putera Amadeus yang sudah melabuhkan duduknya di atas permukaan kerusi.

"Katakan. "

" Menurut Tabib Doire serbuk bunga Azalea mempunyai kesan penawar untuk pelbagai jenis racun, tuanku. "

" Setakat ini tidak ada apa-apa yang mencurigakan di rumah tumpangan Phinny. " Efra,salah seorang daripada empat orang gadis yang berada di dalam bilik tersebut menyahut dan dalam masa yang sama meletakkan Lyre ke atas meja " Tetapi Tuan Avez.. "

" Tuan Avez dari jajahan utara? "

" Benar sekali Tuanku. " Gadis tersebut menganggukkan kepala walaupun sedikit hairan bagaimana Putera Amadeus mengetahui hal tersebut lebih dahulu " Sudah dua atau tiga kali berjumpa dengan seorang pedagang herba di Pekan Annara"

" Dan? "

" Patik dapat tahu Tuan Avez membeli banyak akar Agave kering daripada penjual tersebut. "

" Bukankah akar Agave merupakan herba biasa yang diseduh sebagai salah satu daripada ramuan teh Ayuda? " Panglima Agean menyeluruhi wajah Efra di hadapannya itu.

Suasana kamar peraduan Putera Amadeus ketika itu hanya dipenuhi oleh bunyi petikan tali Lyre yang mendayu-dayu antara larian jemari lentik Azka.Menyenandungkan syair dengan lantunan suara lembut dan memukaunya.

Barangkali benar ada orang yang dilahirkan untuk menjadi ketua.Bukan semata-mata kerana mereka lahir sebagai pewaris takhta ataupun anak tunggal sebuah keluarga bangsawan yang ternama tetapi sebaliknya kerana mereka sememangnya termasuk dalam kalangan yang terpilih. Terpilih untuk berhak mendapatkan penghormatan daripada para pengikutnya.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now