BABAD 29

74 16 11
                                    

Berada beberapa hari di perkampungan Suku Marais -Kaii menjadi letih dan semakin tidak perduli dengan perlakuan para warga permukiman yang menjaganya seperti dia merupakan sebongkah emas paling berharga.

Walau ketika dia sedang memandangi aliran sungai di lembah sambil menjernihkan kusut fikirannya dengan semua kejadian tersebut, dia tahu akan ada sahaja mata yang memerhatikannya dari kejauhan. Athreyu sudah pasti dan selebihnya adalah para pemuda yang siaga menyandang pedang terutama sekali Ren.Menjaganya seakan-akan dia melarikan diri dari tempat tersebut sebaik sahaja mereka alpa.

Bahkan ketika dia berkeras untuk kembali ke ibu kota hanya dengan ditemani oleh Athreyu,sama ada Neleus ataupun Oileus berkeras agar Ren dan beberapa orang pemuda mengikuti mereka.Kaii tidak mempunyai pilihan lain selain membenarkan sahaja kerana dia sudah terlalu letih untuk mengatakan bahawa dia bukanlah Orakulus Agung seperti yang dikatakan mereka kepadanya.

Jika menafikan hal tersebut tidak berkesan, langkah terakhir akan dilakukannya. Membiarkan mereka sendiri membuktikan bahawa dia bukanlah Orakulus Agung - orang yang telah ditunggu sekian lama.

Dan untuk itu dia perlu bertemu dengan lelaki tua di Pekan Annara tersebut kerana entah mengapa dia merasakan hanya lelaki itu sahaja yang tahu semua kebenaran tentangnya dan juga tentang Saribu Bhyangkara.

Lalu, di situlah dia. Menunggu dengan gelisah Ren dan Hatra yang berkeras untuk mencari lelaki itu dan akan membawanya ke tempat tersebut . Bukan sahaja menggunakan alasan bahawa dia dan Athreyu tidak boleh dilihat oleh para anggota Balai Temenggung kerana mereka sepatutnya sudah 'mati' tetapi lebih daripada itu, Ren dan yang lain-lain melakukannya sesuai dengan perintah Neleus yang mengatakan mereka wajib melindunginya daripada sebarang bahaya.

Bukan hanya dia, Athreyu juga sudah lama tidak senang duduk sejak pemergian Ren dan Hatra ke Pekan Annara. Enuma yang berkawal di pondok tersebut seperti biasa senyap dan tidak banyak tingkah. Dia bertanggungjawab memastikan Kaii selamat sementara Ren dan Hatra mencari lelaki tua tersebut sesuai permintaan gadis tersebut.

Pondok tersebut terletak jauh di pinggir Pekan Annara.Berdiri separuh senget di tengah-tengah sebuah kawasan padang rumput yang luas.Menunggu di pondok tersebut  dan membenarkan Ren, Hatra juga Enuma mengikutinya sebagai syarat daripada Neleus bagi membenarkan dia kembali semula ke ibu kota.

Ketika mendengar ringkik kuda dari kejauhan, Kaii pantas berdiri dan segera menyelit keluar dari celah daun pintu pondok tersebut yang sudah reput dimakan anai-anai. Dalam remang sinar unggun api, sebuah pedati mendatangi tempat tersebut.

Semakin lama semakin jelas memperlihatkan Ren yang memacu kuda di sebelah pedati kayu sementara Hatra mengenderai haiwan tunggangan tersebut melalui jalan yang berbatu-batu. Keriut roda pedati berselang-seli dengan bunyi ladam kuda menapak jalan tersebut.

" Nineveh.. " Ren tunduk hormat sebaik sahaja kakinya menyentuh semula ke permukaan tanah.Hatra menyertainya kemudian setelah kuda yang menarik pedati kayu tersebut berhenti sepenuhnya.

Kaii menganggukkan kepalanya sekilas. Dia tidak mahu ambil tahu walau apa sahaja nama dan gelaran yang diberikan kepadanya oleh orang-orang Marais kerana dia tahu dirinya bukanlah orang yang layak menyandang gelaran tersebut.

Tanpa mengatakan apa-apa, Enuma melangkah ke arah pedati dan hanya sekali cekup, susuk tubuh berbungkus kain itu sudah disangkutkan ke bahu lalu dipanggulnya seperti memikul guni beras. Sebaik sahaja gudukan tersebut diletakkan ke atas permukaan tanah, jelas ada suara yang menggumam petanda mulut lelaki tersebut disumbat dengan gumpalan kain.

Ketika serkupan kain ditanggalkan dan perca yang menutupi mata lelaki tersebut dibuka, Hatra sepantas kilat menghunus pedang dan meletakkan mata pedang tersebut ke leher lelaki itu sehingga menbuatkan dia berengsot ketakutan.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now