BABAD 3

350 22 5
                                    

ISTANA DARMENTA

Ruang balairong yang menempatkan singgahsana kerajaan Darmenta itu dipenuhi oleh bisik-bisik yang tidak diketahui butir bicaranya sementara ada pula beberapa pasang mata yang saling berbalas pandangan dengan tatapan jengkel.

Balairong Istana Darmenta yang merupakan sebuah ruangan berbumbung kubah dengan tiang-tiang besar menyangga langit-langit serta lantai yang diperbuat daripada marmar putih kemerahan itu gemerlap dalam limpahan cahaya matahari pagi.

Pintu berdaun dua daripada kayu jati yang diukir dengan kesenian halus para tukang kayu terbaik ibu kota bertaut rapat dan ada pengawal bertubuh tegap lengkap dengan tombak berkawal di kedua-dua belah pintu.

Di bawah sinar matahari yang menerobos melalui tingkap yang dibuka serta langsir-langsir baldu yang diikat kemas ke tepi, singgahsana kebesaran Istana Darmenta di apit oleh beberapa tiga buah kerusi panjang pada bahagian kanan dan kirinya dan telah hampir dipenuhi oleh para pembesar negara yang memang akan berkumpul di situ setiap hari untuk menyampaikan apa sahaja yang berlaku di kawasan dan jabatan masing-masing.

Barisan pertama ialah barisan yang menempatkan para menteri yang menjawat jawatan penting kerajaan beserta dua pembantu masing-masing dan baki dua barisan kerusi lagi di belakang para menteri merupakan tempat yang dikhaskan untuk para gabenor yang mewakili setiap daerah juga tanah jajahan Kerajaan Darmenta.

Susun atur kedudukan para pembesar istana jika dilihat sepertinya satu kedudukan yang biasa tetapi semua pun tahu ia bukan sekadar itu. Daripada letak kerusi yang diduduki para pembesar dan permaisuri sendiri, jelas memperlihatkan sesuatu yang tidak biasa.

Takhta kerajaan yang disimbolkan dengan singgahsana berukiran paling kemas dan halus berwarna keemasan itu menempati tingkat paling tinggi dalam susun atur di ruangan tersebut.
Lalu di sisi kanan singgahsana, melambangkan sesiapa sahaja yang menduduki tempat tersebut sekaligus orang kedua dalam hierarki pemerintahan ialah kerusi berwarna keperakan khusus untuk putera mahkota yang bakal mewarisi takhta kerajaan.

Sementara pada sisi kiri, di batasi oleh sehelai sutera yang direntang tegang bagi melindungi susuk tubuh di sebaliknya ialah singgahsana kecil khusus untuk wanita nombor satu kerajaan yakni baginda permaisuri.

Pada tingkat ketiga dari atas-beberapa buah kerusi pula beratur kemas khusus untuk para putera daripada baginda raja yang menepati syarat dan diwajibkan hadir setiap hari ke balairong seri istana bagi mendengar dan menyaksikan sendiri bagaimana seluruh sistem pemerintahan beraja Istana Darmenta itu berfungsi.

Sebaik sahaja kedengaran suara ketua adat istiadat istana mengumumkan ketibaan baginda permaisuri , suasana di balairong seri itu mendadak senyap dan serentak pula mereka menundukkan kepala sebagai simbol hormat kepada para bangsawan Istana Darmenta.

Melihat sudah beberapa kali singgahsana megah keemasan itu tidak diduduki oleh baginda raja, perdana menteri Istana Darmenta itu menghelakan satu keluhan kecil di hujung nafasnya. Begitu juga dengan tempat khusus untuk putera mahkota kerajaan. Kosong.

Apalah nasib yang bakal menimpa kerajaan Darmenta di masa hadapan,keluh Tuan Kreon dalam hati.

Dia tahu malahan bukan rahsia dalam kalangan para pembesar istana bahawa sejak akhir-akhir ini tahap kesihatan Raja Metheus semakin merosot sehingga tidak memungkinkan dia untuk hadir ke balairong seri setiap hari seperti kebiasaannya.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now