BABAD 31

87 18 14
                                    

Menunggu beberapa minit sehingga suara salakan anjing benar-benar sayup, Kaii memberanikan diri untuk menjengukkan kepala namun dia segera terduduk semula apabila Athreyu merentapnya kejap.

" Kaii.. " serunya " Tidak apa-apakah tindakan Kaii sekejap tadi? "

Kerana aku telah menyebabkan jalan cerita Babad Saribu Bhyangkara berubah, aku akan mengakhiri cerita ini dengan cara aku sendiri. Hanya dengan cara itu aku boleh keluar dari sini.

" Putera Amadeus akan faham. Lagi pula, saya telah meninggalkan tanda pada kertas itu. Harapnya dia boleh melihat tanda tersebut"

Sahut Kaii yakin lalu kembali menarik perca hitam pada bawah dagunya supaya menutupi mulut dan hidung. Berlari pantas meninggalkan abangnya yang masih terpinga-pinga.

Melihat Kaii berlari pantas antara pohon-pohon kayu dan semak samun dengan busur panah melintang pada belakangnya -walaupun Athreyu tidak menyukai rasa hatinya ketika itu-dia tetap tidak dapat mengelakkan diri daripada rasa aneh kerana merasakan gadis di hadapannya itu bukanlah adik yang dikenalinya sebelum ini.

Kaiiara-langsung tidak ambil perduli ketika ayah mereka mengajarkan langkah seni berpedang ataupun tatkala diajar melepaskan panahan dari busur. Berkuda jauh sekali.

Lama dulu pernah dia berkata kepada ayahnya tentang apalah guna adiknya yang manja dan keletah itu diajari perkara-perkara sebegitu kerana jelasnya dia sebagai abang akan menjaga Kaii semampu yang dia boleh.Ayahnya diam tidak berkata apa-apa dan pada waktu yang lain pernah terdetik pertanyaan mengapa ayahnya tampak sangat berkeras dengan adiknya itu. Malahan sedikit kejam juga pernah.

Alasannya-agar mudah dia mempertahankan diri dan orang-orang yang memerlukannya nanti. Demikian kata sang ayah sambil memasang raut wajah tegas.

Sejak kejadian itu, Athreyu tidak lagi berani macam-macam namun satu tekad lain tumbuh perlahan-lahan di dalam dirinya.

Bahawa dia akan melindungi adiknya sampai bila-bila!

Jujur.Ketika dia melihat bagaimana piawai sekali jari-jemari Kaii menyelitkan anak panah berkepala besi dengan hujung yang diikat pelepah burung itu di antara jari telunjuk dan ibu jari, beberapa saat Athreyu tergamam. Postur tubuhnya.Renungan tajam yang tidak berkedip dan rapi tataan bahu serta bukaan kaki. Tegap. Yakin dan cekap. Lalu kepada panahan tepat yang dilepaskan.

Dia melihat Kaiiara di hadapannya itu seperti seorang asing. Telah dikemanakan adiknya yang merungut tidak suka ketika dipaksa melepaskan panahan ke arah batang kayu yang dibungkus dengan jerami itu? 

Atau, hilang ke mana adiknya yang lebih betah membiarkan kuda tungganggannya meragut rumput sedangkan dia terjenguk-jenguk dari sebalik rimbun belukar untuk memetik kuntum bunga Elsder ketika mereka diarahkan untuk membiasakan diri menunggang kuda melalui lembah dengan kecepatan yang tinggi?

Tetapi kini?

Namun paling pelik antara semua, mengapa adiknya itu bersungguh benar untuk ke ibu kota dalam keadaan mereka sepatutnya tidak boleh dilihat oleh sesiapa lantaran dari sudut pandang hatta ibu bapa mereka sekalipun, mereka berdua telah mati !

Kenapa Kaii dan seluruh kejadian aneh yang berlaku sejak akhir-akhir ini selalu berkaitan dengan Pekan Annara dan juga Putera Amadeus?

*             *            *

Putera Amadeus yang duduk tegak di hujung katil meringis kesakitan ketika Dayang Ghea kembali membersihkan luka melintang pada perut dan rusuknya dengan kain basah. Perca kain ditenggelamkan ke dalam bekas lalu diperah meninggalkan sisa air bercampur darah.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now