Bab 5 - Usah Memberi Harapan

229 33 52
                                    

LOCENG ditekan berkali-kali. Panjang leher Layla terintai-intai dari balik pagar. Mengesan andai ada sebarang tanda pergerakan dari dalam rumah. Negatif.

'Aik, takkan tak ada orang? Kereta semua ada ni,' desis Layla sambil pandangan dikelintar ke sekeliling rumah. Kereta Mujahid dan adik beradiknya yang lain ada terparkir di garaj kereta. Resah menunggu, loceng ditekan lagi.

Sekejapan itu barulah nampak kelibat Ayash Muzamil membuka pintu.

"Ucu, kenapa lambat sangat buka pintu? Naik kebas dah jari akak tekan loceng," rengek Layla. Bibir sengaja dimuncungkan.

"Kitorang semua kat dapurlah. Tengah sarapan. Kak Layla datang pagi-pagi ni kenapa?"

"Tengah sarapan?" Wajah Layla bercahaya. Soalan Muzamil tidak dibenakan. "Great! Akak ada bawa sarapan ni. Nasi kerabu, nasi dagang, soto ayam, pulut dakap ...." celotehnya seraya meluru ke dalam rumah.

"Assalamualaikum, mama," sapa Layla mendapatkan Aishah sebaik sahaja memasuki ruang dapur. Tubuh wanita itu dirangkul.

"Rindunya kat mama!" Kedua-dua belah pipi Aishah dicium mesra. Dia melempar senyum kepada Aqmal Farihin, Amar Firdaus dan pasangan mereka yang turut berada di meja makan.

"Hai, handsome!" Layla menegur Mujahid.  "You apa khabar hari ini?"

Mujahid yang sedang menghirup kopi sekadar mengacungkan ibu jari tangan kanan ke atas, membuat isyarat bagus.

"I bawa makanan kegemaran you. Makanan lain pun ada. Banyak ni!" Ceria Layla mengunjukkan bungkusan makanan yang dibeli. "Oh, mama ... mama suka makan kuih talam, kan? Ini ada kuih talam ubi dan talam jagung."

"Terima kasih. Mari duduk sarapan sekali, Layla," pelawa Aishah. Pagi Ahad begitu memang menjadi kemestian keluarga mereka untuk bersarapan bersama-sama. Walaupun Aqmal Farihin dan Amar Firdaus tinggal di tempat lain kerana masing-masing telah berumah tangga, waktu sarapan pagi pada hujung minggu kerap dijadikan ruang masa bagi mereka sekeluarga berkumpul.

"Kejap, mama. Layla nak masukkan soto ayam ni dalam mangkuk untuk Mujahid," balasnya. Aishah mengangguk. Dibiarkan gadis itu berlalu ke kabinet untuk mengeluarkan mangkuk. Lagipun, Layla sudah biasa dengan keadaan di rumah itu. Farina, isteri Amar Firdaus turut membantunya.

Selesai sarapan, Layla menuruti Mujahid ke bilik kerja. "Mr. Isaac ada hubungi you?"  soal Layla. Punggung dilabuhkan di atas kerusi bertentangan dengan Mujahid.

"Ada. Minggu depan dia datang pejabat."

"You dah masuk kerja balik masa tu, kan?"

Angguk. "It's OK. Jangan risau. Nanti I suruh Brian atau Budi yang ambil alih. You already have too many things on your plate," ujar Mujahid memahami situasi Layla yang belakangan ini terbeban dengan timbunan kerja di pejabat ekoran ketiadaannya.

"Aww, so thoughtful of  you," ucap Layla manja. "I really appreciate that. Baguslah. I pun dah tak tahan nak kena hadap artis baru yang Mr. Isaac angkut tuh."

Tertarik dengan rungutan Layla, Mujahid mengangkat muka. Dokumen yang dibaca diletakkan di atas meja.

"Kenapa? Buat hal masa rakaman ke?"

"Urgh! Cannot stand her! Attitude teruk! So diva!" cemuh Layla sambil mempamer muka sebal.

"Cantik?" duga Mujahid.

"So-so lah. I cantik lagi kot," tutur Layla bersungguh-sungguh.

Mujahid menyungging senyum. Arif benar dengan perangai Layla. Pada dasarnya, gadis itu seorang yang sangat profesional dalam menangani kerja-kerja. Malah, boleh dikatakan Layla merupakan orang kuat syarikat yang mampu diharapkan oleh Mujahid.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now