Bab 31 - Tiada Lagi KITA (1)

101 22 10
                                    

TELEFON yang bergetar dari tadi tidak diendahkan. Qaira tahu ramai yang cuba menghubunginya. Bak, ibu, mama, teman-teman di K2. Tentu mereka ingin bertanyakan keadaannya. Keberadaannya.

Dia belum bersedia untuk berdepan dengan sesiapa. Sudah seminggu lebih Qaira berkurung di rumah milik arwah mama. Sepanjang tempoh itu, dia hanya mampu bertemu empat mata dengan Qaleel dan sekali-sekala Balkish. Dia berharap insan-insan lain akan memahami situasi diri.

Telefon bergetar lagi. Respons Qaira tetap sama. Biarlah. Apa yang pasti, dia tahu tiada walau satu panggilan pun daripada suaminya.

Memikirkan Mujahid bagai ada kelaran belati ngilu yang galak menoreh hati. Spontan tangan kiri menyentuh dada yang tiba-tiba dirasakan sesak.

Empat belas hari. Cuma dua minggu jangka masa dia mencicip bahagia kemanisan berumah tangga. Antara suka atau tidak, itu hakikat yang terpaksa diterima. Lancang rumah tangganya hanya mampu belayar aman sesingkat tempoh itu sebelum berantakan diamuk prahara.

Qaira kebuntuan. Dia tidak tahu di mana silapnya. Tidak berjaya menjejak di mana titik asal kemelut antara mereka. Seingatnya, selepas pulang dari berbulan madu dan Mujahid kembali bekerja, kepincangan mula melatari rentak hari yang dilalui.

Mujahid jadi dingin. Banyak berdiam dan menyendiri. Pada awalnya, Qaira bertanggapan Mujahid tertekan dengan bebanan tugas di Rustic Records atau setidak-tidaknya suaminya kepenatan. Namun, apabila semakin lama mereka semakin kurang berkomunikasi, dia sedar wujud masalah yang mencelah di tengah-tengah bahagia.

Tiada lagi rayuan cumbuan cinta, tiada momen mesra yang menghangatkan. Mujahid juga tidak lagi menyentuhnya.

Qaira cuba bertahan. Sedaya upaya belajar menyelami apa yang sebenarnya berlaku. Dia berharap agar keadaan itu cuma satu fasa transisi atau penyesuaian antara mereka. Perlahan-lahan, semua akan bertambah baik seiring beredarnya waktu.

Nyata dia silap. Bukan masalah di Rustic Records. Bukan kerana Mujahid penat. Bukan juga isu sukar menyesuaikan diri.

Masalahnya, memang antara dia dan Mujahid. Dia yang menyanggah kebenaran, acap kali cuba menyedapkan hati.

Bahtera yang dianggap sempurna, mula menzahirkan garis-garis retak yang ketara. Apa sahaja layanan buruk Mujahid yang tidak diterima Qaira. Reaksi hambar, tidak dibenakan, dimarah, ditenung tajam bahkan diherdik.

Sehingga ke suatu tahap, kala berdua-duaan dengan Mujahid  tanpa kehadiran sesiapa, Qaira tidak lagi berbicara. Dia terpaksa membisukan diri. Tutur waima deheman kecilnya pun mampu membangkitkan kemarahan Mujahid.

"For God sake, Qaira. Diam! Diam!" bentak Mujahid berang. "Abang dah tak boleh dengar suara Qaira lagi. Sebelum abang bertindak jauh dan kasari Qaira, lebih baik tutup mulut tu!"

Qaira akur. Sementelahan, apa pilihan yang dia ada?

"Abang bertahan sebab mama ... mama! Jika ikutkan abang ...." Kata-kata berbaur ancaman itu tidak dihabiskan. Tetapi, Qaira tidak bodoh untuk menelah apa yang dimaksudkan lelaki itu.

Menghormati Mujahid dan kehendaknya, Qaira tidak membantah tika Mujahid mensyaratkan dia tidur di ruang lain di kamar beradu mereka. Bukan di katil. Seteruk itu kebencian sang suami terhadap diri.

Hanya lantai dan sofa dua dudukan pilihan yang dia ada. Saban malam, dia akan membentang selimut tebal di satu sudut di tepi dinding, lokasi yang dirasakan paling tersembunyi dan tidak terjangkau dek penglihatan Mujahid. Manalah tahu, kalau-kalau ternampak kelibat dirinya yang sedang tidur, emosi lelaki itu boleh terusik.

Mujahid langsung tidak ambil peduli.

Qaira tidak putus dihujani rasa ingin tahu. Apakah kesalahannya? Pernah beberapa kali diutarakan perkara tersebut kepada Mujahid. Hampa. Tiada jawaban yang diperoleh.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now