Bab 2 - Tempat yang Salah pada Masa yang Salah (1)

233 32 44
                                    

AYUNAN gerak kaki diatur seragam. Ceria bernyanyi riang, sesekali pandangan dijulang ke langit biru. Tompokan awan putih yang melata menghiasi dada langit ibarat sebuah kanvas terlakar indah. Qaira tersenyum lebar menikmati momen itu. Lukisan alam yang amat digemarinya. Tidak pernah gagal membuatkan diri dibuai tenang.

'Cantik sungguh langit hari ini.'

Notifikasi telefon pintar yang berbunyi sengaja dibiarkan. Sejak tadi bertubi-tubi pesanan Whatsapp diterima tetapi tidak diendahkan. Qaira tahu siapa gerangan si penghantar. Sampai kedai nantilah baru dilayan. Lagipun, berjalan di tengah-tengah jalan sibuk dan sesak begitu dia tidak suka leka dengan telefon di tangan. Bakal mengundang bahaya.

Kali ini telefonnya berdering pula. Qaira tersenyum. 'Rindu akulah tu!' Dia masak benar dengan ragam si pemanggil. Jika komunikasi Whatsapp tergantung sepi tanpa respons daripada Qaira, pasti akan ada panggilan yang menyusul. Masuk panggilan ketiga, Qaira terpaksa memberhentikan langkah. Dia mencari teduh di bawah sebatang pokok di pinggir jalan sebelum jari meleretkan butang 'Jawab' di skrin.

"Q, pergi mana? Kenapa abang Whatsapp tak balas? Call pun lambat angkat?" Soalan-soalan Qaleel, abang kembarnya memang sudah diduga.

Qaira gelak kecil. "Saja. Nak bagi abang sakit jantung. Biar abang tertanya-tanya. Siapa suruh abang tinggalkan Q seorang-seorang kat sini," usik Qaira nakal.

"Alah, tinggal sekejap je. Orang pergi berbulan madulah, takkan Q nak jadi third wheel pula?" Qaleel membalas gurauan si adik. "Eh, semua okey? Q okey?"

"Okey je. Ni abang bila nak balik?"

"Minggu depan."

"Minggu depan? Apasal tak tinggal sana terus?" perli Qaira disambut  gamat tawa Qaleel yang pecah di hujung talian. Berbulan madu ke Bali sampai dua minggu! Sudahnya dia yang kebosanan tiada teman hendak dijadikan lawan gaduh.

Di sini, dia cuma ada Qaleel dan Balkish. Bak dan ibu di Johor, selesa memilih menghabiskan sisa-sisa hari tua di kampung mereka. Jauh dari hiruk-pikuk kota. Rasanya beberapa hari ini, dia mula bercakap dengan dinding, dengan perabot dan balang kopi lantaran terlalu sunyi.

"Ada beli apa-apa untuk Q tak?"

"Jangan risau. Kish siap beli satu lagi beg semata-mata nak muatkan oleh-oleh yang kitorang beli untuk Q. Ni Q dekat luar ke? Kenapa bunyi hingar semacam?"

"Ya. Dekat tepi jalan ni. On the way nak ke kedai. Masuk lambat sikit hari ni. Ada coffee challenge pagi tadi. Q buat di rumah, tak nak ganggu operasi kedai," jelas Qaira.

Lama juga mereka berbual. Qaira menceritakan pengalamannya melaksanakan salah satu cabaran pertandingan barista secara atas talian yang disertai. Setiap satu butiran diperihalkan kepada si abang.

Untuk cabaran kali ini, dia dan barista lain yang mengambil bahagian perlu menghasilkan latte art mengikut permintaan spesifik juri. Dia berpuas hati kerana dapat menyelesaikan cabaran dengan baik biarpun tidak begitu sempurna. Masih ada banyak ruang untuk dia memperbaiki kelemahan.

"Okeylah, abang. Selamat menonton tarian kecak!" ucapnya girang sebelum interaksi mereka berakhir. Petang nanti, Qaleel dan Balkish mahu keluar menyaksikan tarian kecak, tarian kebudayaan terkenal masyarakat Bali.

"Bersedialah untuk panas punggung ya. Q dengar satu sesi tarian kecak tu makan dua jam persembahannya. Kirim salam dekat Kish."

"Insya-Allah. Please check your whatsapp. Dengan gaya Q tu, abang hantar pesanan guna burung merpati lagi cepat sampai!" rungut Qaleel.

Selepas tamat panggilan, Qaira memeriksa aplikasi Whatsapp. Qaleel menghantar gambar barang-barang yang dibeli untuknya sepanjang tempoh mereka berada di Bali. Kemeja-T, kain batik, rantai kunci dan yang membuatkan Qaira tersengih-sengih seorang diri, ada kopi! Tiga pek biji kopi berlainan perasa, dua bungkus serbuk kopi produk tempatan, satu kotak coklat kopi dan sebuah pengisar kopi tangan buat dijadikan tambahan koleksi.

"Macam ni pergi bukan madu selalu pun tak mengapa. Janji ingat adik sendiri," ujarnya teruja.

Tiba-tiba, bahu kanan dilanggar kasar oleh seseorang. "Aduh!" Tubuh terdorong sedikit ke hadapan. Mujur telefon di tangan tidak jatuh terpental. Lekas-lekas telefon disisipkan ke poket hadapan beg.

Qaira menggosok-gosok bahu yang sakit seraya membetulkan posisi badan. Orang yang melanggarnya langsung tidak berhenti. Menonong sahaja berlalu. Jangankan ucapan maaf, menoleh ke arahnya pun tidak. Berdongkol hati memikirkan sikap manusia yang tidak beradab begitu.

Namun, ada sesuatu tentang pemuda kurus berketinggian sederhana itu yang memancing tumpuan Qaira untuk terus mengamatinya. Pemuda tersebut meracau-racau seperti orang tidak waras. Cara  berjalan pun sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. 
Sambil meracau, ada kala tangan yang digenggam ditumbuk-tumbuk ke pelipis kepala. Tidak cukup kepala, dada dijadikan landas tumbukannya.

Reaksi beberapa orang yang berpapasan dengan pemuda itu turut diperhatikan Qaira. Seorang wanita yang sedang memimpin anak kecil cepat-cepat menjauh. Tidak kurang juga yang sampai teleng kepala memandang berulang kali, pelik melihat kondisinya begitu.

'Memang tak betul agaknya dia ni,' simpul Qaira. Rasa marah dan bengang surut diganti simpati. Entah apa yang dilalui tuan punya diri. Entah apa perasaiannya.

Mengerling bacaan waktu di tangan, Qaira menderaskan aturan langkah. Bimbang andai dilengah-lengah, lewat pula dia masuk kerja nanti. Ketika itulah dia terperasankan objek berkilat di dalam genggaman pemuda tadi. Meskipun tersembunyi di sebalik jaket yang dipakai, pantulan cahaya matahari terhadap objek berkenaan menyebabkannya terzahir ketara pada pandangan mata.

"Pisau? Kenapa dia pegang pisau?" Minda lambat menghantar input untuk dia benar-benar menimbangkan situasi.

"Pisau ... nak buat apa? Eh, bahaya ni!" Tersentak, Qaira sedar yang dia perlu bertindak! Racauan pemuda itu semakin kuat kedengaran. Emosinya sudah tidak stabil dan dengan tidak semena-mena dia meluru laju ke arah seorang lelaki yang berdiri di tepi sebuah kereta yang terletak di bahu jalan.

"Hey! Hey! Dia ada pisau! Hati-hati! Dia ada pisau!" Sehabis kudrat dia menjerit memberi amaran kepada orang sekeliling terutamanya lelaki di kereta itu.

Dalam sekelip mata, jeritan amaran Qaira menarik perhatian orang ramai yang berada di situ. Suasana bertukar kecoh. Semuanya berlaku terlalu cepat. Satu saat dia nampak lelaki di tepi kereta berpaling cuba menangkap butir bicaranya. Satu saat lagi dia nampak mata pisau ditusuk dalam ke perut lelaki tersebut.

Cedera! Lelaki itu cedera ditikam!

Jerit pekik orang awam bertingkah dalam kekalutan. Mereka bertempiaran lari, khuatir akan keselamatan masing-masing.

Terkejut dengan orak-arik yang tercetus, pemuda dengan pisau itu panik. Pisau yang tertusuk dirodok ke dalam perut mangsanya sebelum ditarik keluar. Kemudian, dia gopoh-gapah melarikan diri, menyelinap dalam kalangan orang ramai. Hilang tanpa dapat dikesan.

Fokus Qaira kini terpasung pada lelaki malang yang menjadi mangsa keadaan. Dia tersandar lemah di badan kereta. Menahan sakit. Perutnya berjejeran darah. Terketar-ketar dia berusaha memeriksa luka yang dialami. Tangan yang kini penuh berlumuran darah pekat diangkat ke paras muka. Ditenung lama.

Mungkin terkejut dengan apa yang menimpa diri, sekonyong-konyongnya, lelaki itu jatuh rebah ke bumi.

"Ya Allah!" Tidak melengahkan masa walau sedetik, pantas Qaira bergegas mendapatkan sekujur tubuh longlai tidak bermaya.

———————
NOTA GIRANG

Hai semua.
Assalamu'alaikum. Salam sejahtera.

Selesai baca bab ini, saya pasti ada beberapa watak yang kalian sudah kenal. Ingat lagi pada Qaleel dan Balkish? Bagi yang belum kenal dengan mereka, jangan lupa baca 'Saksi Kopi dan Cronuts' dalam 'Jumpa di Kafe Joshua'. Dah selamat berbulan madu dah pasangan ini.

Selamat berhujung minggu semua! Hujung minggu ini saya ada urusan yang memerlukan saya merentas negeri. Jadi, mungkin agak sibuk, tidak dapat berlama-lama di Wattpad. Kita jumpa dan sembang nanti ya!

Kisah Qaira sudah bermula! Semoga terhibur!

❤️ Girang Fashali

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now