Bab 12 - Soalan Kopi (2)

38 8 2
                                    

PINTU K2 ditolak. Sewaktu melangkah masuk, Qaira berpapasan dengan seorang pelanggan yang hendak meninggalkan kafe. Segera dia membuka pintu lebih luas, memberi ruang untuk gadis langsing berpenampilan menarik di hadapannya.

"Have a nice day! Sila datang lagi," tuturnya mesra.

Gadis itu sekadar mengangguk. Namun, apabila lensa pandangan mendarat pada wajah Qaira, derap kakinya terhenti. Kaca mata hitam yang dipakai dilurutkan ke batang hidung. Bola matanya naik turun memerhatikan Qaira. Lama.

"Hmm ... You look familiar!" ucap Layla dengan telunjuk runcing menuding ke arah Qaira. Sesudah gagal mengenal pasti di mana dia pernah berjumpa dengan Qaira, tanpa pamit dia menapak keluar.

Masih bertampang manis, Qaira datang menegur Ariyyan dan Mujahid sebaik sahaja ternampak kelihat mereka di sudut hujung kafe.

Mujahid yang paling teruja. Seperti biasa, wajahnya ibarat disuluh cahaya purnama saat berdepan dengan gadis itu. Perasaan di dalam hati terzahir terus, gagal diselindung.

"Encik Mo dah buat pesanan?" sapa Qaira. Sudah menjadi kebiasaannya dua tiga hari itu mengambil pesanan dan membancuh kopi untuk Mujahid. Sempat dia berterima kasih kepada Ariyyan yang memaklumkan nasi kerabu untuknya ada di belakang.

"Err ... sekejap Qaira. Saya ada sesuatu untuk Qaira." Beg kertas yang dari tadi dibawa kini bertukar tangan.

Qaira membuka lalu mengintai isi kandungannya. Dikeluarkan kotak empat segi yang berisi sebuah syphon.

"Encik Mo nak beri syphon ni pada saya? Mahal ni, Encik Mo." Dia tahu anggaran kasar harga syphon yang dihadiahkan oleh Mujahid. Sekali lagi, dia kurang gemar bilamana lelaki itu menghabiskan duit membeli barang untuk dihadiahkan kepadanya.

"Maaf ya. Saya tak boleh terima." Dia menolak perlahan.

"Tak mengapa. Benda ni dah lama ada di rumah. Saya beli tapi tak pakai-pakai pun. Daripada terbiar mengumpul habuk, baik saya beri pada Qaira," nyata Mujahid.

Qaira membelek sekeping kertas kecil yang turut ada di dalam beg kertas.

"Dah lama ada kat rumah ya?" soal Qaira menyungging senyum penuh makna. "Terima kasih, tapi saya tak boleh terima." Beg kertas diletakkan semula di hadapan Mujahid. Sekeping kertas kecil tadi juga diselitkan di bawah beg tersebut. Menundukkan sedikit kepala tanda hormat, dia beredar pergi.

Mujahid terpinga-pinga. Kertas kecil dicapai. Diamati seketika. Menyedari akan kecuaian diri, Mujahid tepuk dahi.

Bagaimanakah dia boleh terlupa untuk membuang resit pembayaran syphon itu? Jelas tertera tarikhnya semalam. Kertas berkenaan diunjukkan kepada Ariyyan yang sedari tadi menjongketkan kening ingin tahu apa yang berlaku.

"Aisey, kantoi aku menipu!"

Meninggalkan Ariyyan dengan dekah tawanya, gesa-gesa Mujahid mengejar langkah Qaira.

"Okey, maaf. Saya tipu. Syphon ini memang saya beli khas untuk Qaira." Masa untuk membuat pengakuan.

"Lain kali tak perlu susah payah sehingga begitu sekali, Encik Mo. Dahlah mahal, Encik Mo siap reka cerita lagi."

"Tak mahal mana pun Qaira. Qaira boleh guna untuk bru kopi di rumah. Kan Qaira kata suka guna syphon. Mungkin Qaira dah ada macam-macam jenis tetapi saya senang hati nak belikan yang ini untuk Qaira," terang Mujahid. Dalam banyak-banyak syphon yang dilihatnya semalam, dia paling berkenan dengan rekaan yang satu itu. Tampak klasik dan tersendiri.

"Kalau tak mahu guna di rumah, Qaira boleh guna syphon tu di sini," tokoknya. "Please ... ini ikhlas dari saya."

Qaira memandang Mujahid lama. Akhirnya dia mengalah. Ucapan terima kasih diungkapkan tanda penghargaan lantas beg berisi syphon diambil dan disimpan di bawah kaunter.

"Okey, soalan kopi untuk hari ini ...." Ceria intonasi Mujahid mengatur kata. " ... ramuan apa yang Qaira selalu letak dalam kopi?"

Qaira berfikir sebentar. "Saya suka letak mentega atau minyak kelapa untuk tekstur kopi yang lebih pekat."

"Oh, saya pernah rasa kopi mentega. Suprisingly, it's good!" ujar Mujahid. Dia tidak menyangka sama sekali kopi yang dicampurkan dengan mentega tulen akan menghasilkan kopi yang enak. Apa yang menarik, kopi itu kelihatan berkrim seperti latte walaupun pada hakikatnya tidak ditambah sebarang susu atau krim.

 Apa yang menarik, kopi itu kelihatan berkrim seperti latte walaupun pada hakikatnya tidak ditambah sebarang susu atau krim

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

"Kopi mentega ni turut dipanggil bulletproof coffee. Sesuai untuk orang yang berdiet lebih-lebih lagi pengamal diet keto," tokok Qaira.

Selain menggunakan mentega tulen, bulletproof coffee boleh dibuat dengan menggunakan minyak ghee atau minyak kelapa tulen yang disifatkan sebagai lemak sihat. Secawan kopi mentega dijadikan hidangan pengganti sarapan dapat membuatkan si peminum berasa kenyang untuk tempoh masa yang lebih lama, mengekalkan tahap tenaga dan meningkatkan fokus ketika bekerja.

"Okey, lepas ni saya boleh pertimbangkan kopi mentega untuk sarapan. Rempah ... Qaira suka guna rempah apa untuk kopi?"

"Rempah pula selain kayu manis dan halia, saya suka guna buah pala, pelaga dan rosemary. Tapi, tak perlulah esok Encik Mo datang bawa rempah-rempah dan herba tu pula," senda Qaira tersenyum sambil mengikat tali apron di belakang pinggang.

Mujahid tergamam. 'Allah, senyuman itu ....' Senyuman yang terukir di wajah itu berjaya menghentikan detak jantungnya buat beberapa detik. Sedaya upaya dia cuba mengepung rasa indah yang membuak-buak dalam kalbu.

"Okey ... okey, tak. Janji tak." Tangan kanan diangkat seolah-olah membuat ikrar. "Terima kasih sudi jawab soalan kopi saya," lafaz Mujahid setelah pulih daripada 'serangan manis' Qaira.

"Sama-sama. Encik Mo nak minum apa?" tanya Qaira bersedia membancuh minuman.

"Surprise me."

Pagi itu, selain senyuman manis Qaira yang memasung hati, dia turut mencicip manis latte dengan sirap rosemary.

🌸 NOTA GIRANG 🌸

Assalamualaikum semua. Hi 👋

Selamat sambung bacaan. Masuk kelas kopi kita kali ini sebab Mujahid sudah mula lancar operasi pikat Qaira dengan kopi.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now