Bab 1 - Titik Mula

306 34 50
                                    

SALAD di pinggan tidak dijamah. Sekadar dicuit-cuit dengan hujung mata garpu. Layla putus selera. Dia menarik muka panjang. Menzahirkan rajuk.

Dalam resah, sesekali mata melirik tajam pada Mujahid yang duduk di hadapannya. Berharap agar kerenahnya yang diam membisu, tidak riang seperti biasa dapat menangguk perhatian lelaki itu. Namun, hampa. Si dia buat bena tidak bena.

'Ish, tak ambil berat langsung!' getus Layla dengan hati berdongkol.

Mujahid hanya mengerling sekilas. Tanpa mengendahkan Layla, stik dagingnya dipotong kecil-kecil sebelum disuakan ke mulut. Terasa benar-benar nikmat makanan yang dikunyah. Memang dari tadi perut kosongnya meraung minta diisi. Sejak pagi dia tidak sempat menyentuh sebarang makanan. Sibuk berkejar ke sana ke mari melunaskan tuntutan kerja.

Layla mengeluh, melepaskan garpu di tangan. Pandangan dijatuhkan ke bawah. Dengan wajah sugul, jemari bermain-main dengan rantai tangan Pandora yang dipakai. Setiap loket yang terikat pada rantai berkenaan diusik dan dibelek-belek. Tidak cukup mengeluh, seulas bibir itu berdecit kuat pula.

Tindakan Layla membantutkan suapan Mujahid. Dia mengangkat muka. "Kenapa tak makan? Salad tu soggy ke? Eh, bukan you dah minta dressing on the side?" soalnya. Arif dengan ragam Layla yang agak cerewet dan terlalu memilih apabila melibatkan hal makan. Salad kembang, kuah tidak cukup berperisa, tomato ceri terlebih masak, ada sahaja yang dirungutkan.

Geleng. Tidak menjawab. Solekan sempurna yang menata wajah gagal menyembunyikan riaknya yang masam mencuka. Garpu disambar kasar. Beberapa biji tomato ceri di pinggan lembik menjadi mangsa tikaman.

Mujahid meletakkan pisau dan garpunya di sisi pinggan. Kain napkin digunakan untuk mengelap mulut. "Kenapa pula ni? Tadi you yang beria-ia nak keluar makan."

Mengabaikan soalan Mujahid, laju Layla mengajukan pertanyaan. "Betul ke?"

"Betul apa?"

"Betul you tak belikan barang yang I pesan tu?"

"Kan I dah cakap, masa suntuk. I tak sempat singgah kedai tu. Memang tak sempat singgah mana-mana kedai pun. Jalan jam teruk. Nasib baik I tak ketinggalan kapal terbang."

Layla mendengus. Bibir dicebikkan.

"Tak payahlah nak tarik muka kat sini. Malu orang tengok. Lain kali I turun sana, I belilah," pujuk Mujahid. Fokus kembali terhala pada hidangan menyelerakan yang memanggil-manggil untuk dihabiskan.

"Yalah, nak buat macam mana. You ni kan, kalau apa-apa yang I minta, I kirim ... you bukan ambil berat sangat pun." Rajuk si Layla makin meleret. Kakinya dihentakkan ke lantai. Geram.

"Apasal fikir macam tu? Anggap tak ada rezeki sudahlah."

"Yalah, tak ada rezeki! Bersungguh-sungguh I tunggu you balik bawakan benda tu. Kempunan I tau tak!" Kali ini kedua-dua tangan disilangkan ke dada. Layla memeluk tubuh. Memalingkan muka, pandangan dilontar ke luar restoran. Sebal hati dengan sikap Mujahid.

Enggan melayan angin Layla yang kian meleret, sebuah beg kertas yang sedari tadi diletakkan di kerusi sebelah cepat-cepat diangkat. Dihulurkan kepada Layla.

"Nah, berhentilah buat muka cemberut tu!" Andai diikut ritma rajuk Layla, memang melarat sampai berhari-hari.

Layla menjerit keriangan sambil bertepuk-tepuk tangan. Pandangan beberapa pelanggan di restoran itu yang menoleh ke arah mereka tidak dihiraukan. Segera beg kertas yang disuakan kepadanya dibuka dengan teruja. Melihatkan kandungan di dalam beg tersebut, tampang wajah bertukar ceria. Hilang terus raut kelatnya.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now