"Terima kasih. Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan." Usai Mei berpantun, sekali lagi tawa mereka pecah. Entah apa yang menggeletek hati sedari tadi.

"Pandai you bergurau ya." Puji Hannah.

"You pun apa kurangnya." Mei juga tidak mahu kalah berbalas pujian.

Akhirnya, mereka bertukar nombor telefon dan berkenalan antara satu sama lain. Berbagai-bagai cerita dibualkan bagi mengisi masa lapang yang ada sebelum waktu rehat tamat sebelum mereka kembali menjalankan tugas sebagai seorang guru untuk mendidik anak bangsa.


DI DALAM KELAS, Hannah mengarahkan murid-muridnya untuk menyiapkan kerja yang diberikan di papan putih. Latihan membina ayat majmuk. Disuruh mereka menyiapkan dalam masa sejam, jadi masing-masing begitu tekun menyelesaikan latihan yang diberi. Sesekali ada murid yang mengangkat tangan dan menyoal perkataan yang tidak diketahui makna. Hannah mengajar mereka dengan penuh tabah dan sabar. Tidak sedikit pun dia meninggi suara mahupun memarahi meskipun dihujani dengan berbagai-bagai soalan. Malahan dia bertambah suka kerana dia boleh melihat kesungguhan untuk menuntut ilmu dalam diri anak-anak muridnya.

Hannah berjalan mendekati Naufal yang berada di meja yang paling belakang. Dia duduk di sebelah Naufal kerana kerusi itu kosong. Dia sedar bahawa rata-rata kawan sekelas memulaukan Naufal kerana kekurangan serta kelemahan diri yang ada pada dirinya.

Dia memerhatikan Naufal yang seakan-akan tidak sedar dengan kehadirannya di sisi. Budak itu dilihat seperti bersusah-payah hendak membaca dan menulis perkataan-perkataan tersebut atas bukunya. Firasat Hannah kuat mengatakan bahawa Naufal mempunyai disleksia namun dia masih belum mengambil apa-apa tindakan untuk memberitahu kedua ibu dan bapa Naufal. Kanak-kanak yang mempunyai disleksia menghadapi kesukaran untuk belajar disebabkan mereka payah untuk membaca dan menulis.

"Naufal, cikgu nak pinjam buku kamu sekejap ya." Hannah meminta izin lantas dia menulis sesuatu di buku tersebut setelah mendapat izin daripada anak muridnya.

"Saya suka makan nasi." Usai menulis, Hannah menyebut satu persatu kosa kata yang tertera pada buku bergaris satu itu.

"Naufal cuba ikut apa yang cikgu baca. Naufal pandang sini." Jari telunjuk ditunjukkan ke bibirnya. Dia ingin anak muridnya melihat bentuk bibirnya supaya dia mudah mengingati bunyi kosa kata yang ditulis dan disebut olehnya.

Hannah ada bertanyakan Encik Google mengenai cara untuk merawat budak kecil yang mempunyai masalah disleksia. Jalan paling mudah adalah dengan membawa mereka yang menghidap disleksia berjumpa dengan orang yang lebih pakar bagi mendapatkan rawatan. Namun sebagai seorang guru, Hannah cuba membantu sehabis baik apa sahaja yang boleh dilakukan.

"S... a... sa..." Hannah menyebut satu persatu huruf dan membunyikan kosa kata tersebut. Dia menyuruf Naufal memandang bibirnya dan mendengar apa yang disebutkan. Kemudian, dia menyuruh Naufal mengulang kembali apa yang disebutkan. Ini merupakan salah satu cara rawatan untuk penyakit ini. Kelima-lima pancaindera haruslah digunakan sebanyak dan sebaik mungkin bagi menarik perhatian dan minat mereka.

"Y... a... ya..." Sambung Hannah lagi.

"Sa... ya..." Dia menyebut dengan lengkap. Naufal turut sama melakukan perkara tersebut.

"S... u... su..."

"K... a... ka..."

"Su... ka..."

Perkara sama diulang sehinggalah Naufal mampu membaca ayat penuh yang ditulis di atas buku sebentar tadi. Kemudian, Hannah menulis ayat yang lain pula serta menggunakan cara yang sama untuk mengajar Naufal.

"Saya sayang ibu ayah."

"Saya mahu main bola."

Sesekali, kanak-kanak itu tersalah sebut. Ada kalanya dia tersasul. Namun, dia langsung tidak berputus asa. Diteruskan juga pembacaan meskipun sukar. Hannah bertambah seronok untuk mengajar. Meskipun dia perlu meletakkan usaha yang lebih sedikit untuk membolehkan Naufal membaca dengan betul, dia tidak kisah. Apa yang dia tahu, dia inginkan anak muridnya berjaya seperti orang lain dan tidak lagi merendah diri.

Di akhir pengajaran, dia memberikan tepukan gemuruh serta kata-kata pujian kepada Naufal bagi membakar semangatnya di samping berasa teruja dengan perubahan Naufal. Senyuman kegembiraan yang terpancar di wajah Naufal membuatkan Hannah turut sama berasa gembira. Selepas ini, akan ada beberapa cara yang akan dia lakukan. Jika penyakit Naufal tidak pulih, sekurang-kurangnya ada sedikit perubahan yang positif, itu sudah memadai dan membuatkan Hannah suka.

Guru pelita hidup. Memberi cahaya dalam kegelapan umpama lilin yang membakar dirinya.

Suatu kerjaya yang sangat mulia. Terima kasih cikgu!

Selain daripada kisah cinta antara Rayyan & Hannah, akan saya bawakan juga cerita mengenai jerih perih yang dihadapi oleh seorang guru. 

Terima kasih sebab komen dan vote!

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now