"Papa..." Fateh menggumam. Suaranya sayup-sayup namun masih jelas untuk mereka berdua dengar.

"Ya, Fateh..." Rayyan sekadar melayan sahaja.

Beberapa kali Fateh menyebut papa dan setiap kali itulah disahut 'ya' oleh Rayyan sebelum dia diam dan akhirnya tertidur semula. Rayyan mengusap lembut kepala anak kecil itu. Dia memastikan Fateh selesa di pangkuannya. Belakang badan diusap dan ditepuk perlahan-lahan. Terkumat-kamit mulut membaca selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhamad S.A.W

Saat ini, Hannah baru sempat hendak menilik Rayyan. Pakaiannya yang santai, T-shirt polo biru tua dipadankan dengan jeans berwarna hitam. Topi adidas di kepala dan kasut sandal yang dipakai oleh Rayyan menambah gaya kemaskulinan lelaki itu. Rambutnya yang lurus dibuat gaya messy. Kacak sungguh ciptaan Tuhan yang satu ini.

Hati Hannah berasa sesuatu. Sukar untuk dia gambarkan apa yang dia rasakan saat ini. Dalam tegasnya lelaki yang dia kenal, ada baiknya. Dalam beku dirinya, masih ada terselit sifat penyayang. Mereka bukan sesiapa, tiada apa-apa pertalian darah, malah mereka juga tidak pernah mengenali sesama sendiri sebelum ini. Namun, mengapakah lelaki ini sering muncul saat dia benar-benar memerlukan pertolongan? Mengapakah lelaki ini sanggup bersusah payah demi dirinya sejak pertemuan mereka di banglo usang itu.

Rayyan bukan bapa kandung Fateh tapi mengapa dia melayan Fateh seperti anaknya sendiri. Langsung tidak kekok. Pertama kali Fateh berjumpa dengannya, perkataan pertama yang keluar dari mulutnya adalah 'Papa'.

Raut wajah Rayyan diperhatikan. Sepatutnya lelaki itu sudah lena di rumahnya, namun dia gagahkan diri menemani dirinya hingga ke saat ini. Terpampang wajah lesu apabila sepasang mata helang itu semakin kuyu, namun tiada satu keluhan pun yang keluar dari mulut itu.

"Hello." Rayyan memetik jari di hadapan Hannah. Jauh sungguh perempuan itu mengelamun. Dari tadi dia panggil, langsung tiada sahutan. Entah apa yang dikhayalkan, sukar untuk ditebak.

Hannah tersentak daripada lamunan panjang. Mukanya serta merta merah. Lama betul dia bermonolog sendiri sambil merenung anak teruna orang. Eeee apa yang kau fikir ni, Hannah oi!

"Hah?" Hannah tayang muka blur. Tidak tahu hendak memberikan reaksi macam mana.

'Berangan rupanya minah ni. Patutlah panggil dari tadi dia buat dek je.' Gumamnya dalam hati. Rayyan herot bibir ke tepi, tawanya yang hampir pecah ditahan saat melihat wajah wanita di hadapannya itu bertukar merah bak warna tomato. Kantoi la duk tenung aku dari tadi. Kacak sangat ke?

Syed Rayyan Danial perasan sendiri. Ceit!

Tanpa mengeluarkan sebarang kata, bibir Rayyan memberi isyarat ke satu arah. Mata Hannah memandang ke arah yang ditunjukkan. Nombor yang terpampang pada papan digital itu menunjukan angka 5797. Dia menjeling sekilas kertas nombor yang dipegangnya sedari tadi, nombornya adalah 5799.

"Sorry." Hannah menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"For?" Sepatah dibalas balik.

"For everything." Jawab Hannah.

"Sorry sebab call awak tadi minta tolong, sebab susahkan awak malam-malam ni kena teman saya dekat hospital. Sebab awak kena jaga Fateh dari tadi. Mesti awak lenguh kan?" Soal Hannah, hatinya dipagut rasa serba salah.

Rayyan buat tidak endah dengan apa yang dikatakan oleh Hannah. Pandangan ditalakan ke hadapan. Sukar sungguh untuk ditelah hatinya. Riaknya tenang tapi penuh misteri. Air mukanya sukar untuk dibaca apatah lagi apabila dia kurang bercakap. Apabila ditanya sepatah, dijawabnya hanya sepatah. Jika dia cakap berpatah-patah seperti tadi, itu sudah dikira bernasib baik. Untung nasib badan jika jongkong emas di dalam mulut dikeluarkan hanya seketika. Jika tidak, dapat kerlingan pun sudah bernasib baik. Namun, lagi seronok kalau pertanyaan atau apa-apa sahaja yang dikatakan dibiarkan berlalu sepi tanpa balasan. Seolah-olah bercakap dengan batu, tiada jawapan. Jika batu itu keras, keras lagi lelaki di hadapannya.

"Awak balik lah dulu. Terima kasih sebab tolong saya. Nanti kalau urusan saya sudah selesai, saya dengan Fateh balik naik grab je." Sambung Hannah lagi. Dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu lagi. Cukuplah kebaikan dan pertolongan yang telah dihulurkan selama ini.

Rayyan langsung tidak menunjukkan sebarang riak. Kalih muka pun tidak!

Hannah bungkam. Ish, dia ni kan... Sombong betul, minta maaf pun tak ada jawapan. Ajak berborak pun dia diam aje... Bagi cadangan pun buat tak tahu aje...

"Awak..." Panggil Hannah lagi.

Rayyan akhirnya berpaling kepadanya, namun apa yang diterima hanyalah pandangan tajam dari sepasang mata helang helang hazel itu. Dahinya dikerutkan tanda tidak mahu diganggu.

"Awak..."

Baru sahaja Hannah ingin meneruskan usaha untuk berborak dengan lelaki itu, nombor mereka dipanggil. Lantas mereka bersama-sama berjalan masuk ke bilik rawatan untuk berjumpa doktor.


Sombong kan Rayyan ni? Saya sendiri rasa nak marah dia. 

Thank you yang sudi read, vote and comment! 

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now