Sepasang kekasih hangat dimabuk asmara—dilatari lagu La Isla Bonita. Si lelaki berambut kerinting, sakan bernyanyi mengalunkan irama lagu dansa dengan tangan bersilang menyulang botol araknya tinggi ke udara. Gadis di sebelahnya hanya tertunduk malu dan sesakali memandang ke pinggir jalan yang bergema dengan suara sengau si kerinting.
Malam kemenangan untuk diraikan. Si kerinting melempar botol arak kosong dari bukaan tingkap dan menyambung menyanyi. Walau terdengar menyikatkan di telinganya sendiri, dia terlalu bahagia dan gembira. Gadis yang baru dijumpainya itu, walau bagaimanapun, hanya tersenyum dan melayani sahaja suara sengau Si Kerinting dengan kerelaan hatinya.
Kedua mereka baru bertemu di pekan siang tadi. Dan perkenalan kilat itu disihir berahi yang membawa mereka ke sini. Si kerinting merasa dirinya lelaki yang beruntung sekali di dalam dunia apabila umpannya mengena. Berapa bulan dia tidak pernah bercumbu dengan mana-mana gadis. Mendakap, memegang tangan semulus itu, atau paling tidak, duduk berduaan di tempat yang sunyi sebegini. Ini yang pertama kali dia mendapat habuan berupa seorang gadis muda yang cantik rupawan. Umpama piala sumbangsih buatnya.
Si kerinting melirik, melihat rambut ikal si gadis yang panjang melebat melepasi bahu. Matanya kuyu dan kulitnya yang putih telah dirahmati keajaiban malam dan cahaya rembulan menyerlahkan gebu merah pipi si gadis yang mulus. Persis gadis kampung naif dengan perwatakannya yang lembut dan pemalu.
Gadis itu dibawa si kerinting mengelilingi kota, meronda hingga ke larut malam dan makan di restoran pandu lalu sebelum hentian mereka berakhir di pinggir jalan seperti yang diminta si gadis. Rumahnya dikata tidak terlalu jauh dari situ. Si Kerinting memberhentikan kereta di sebatang jalan yang sunyi—pada laluan di hujung dunia yang difikirnya tidak akan berjejak sesiapa. Hanya bulan dan bintang, rumput dan lalang, kesunyian dan peluang.
Si Kerinting melirik dengan hujung mata, berjanji akan menghantar si gadis sunti pulang selepas menghabisi minumannya. Lagu bertukar melodi. Muzik dansa bertukar blues membuatkan atmosfera menjadi sensual. Si kerinting bergumam mengikuti suara saksafon yang mendayu. Nafasnya dihela panjang, suaranya berdesir membawa bahang hangat dari rengkungnya yang kering. Si Kerinting berpaling melihat gadis di sebelahnya, melirik lekukan dada dari belahan baju kurung yang dipakai. Nafasnya terasa sesak dan romanya menacak di setiap inci tubuh. Hawa nafsu bergelutan di dalam seliratan urat darahnya yang liar memberontak.
Si kerinting menghulurkan botol araknya yang baru dibuka. Gadis itu tidak menolak bahkan menyambut mesra dan mencicip perlahan. Dia melihat lidah gadis itu yang berlendir. Bibir merah lembab terlihat mewah menjilat botol dengan penuh ghairah. Si kerinting menggigit bibirnya dengan mata yang keputihan. Dia memberanikan diri. Jemarinya merayap seperi lelabah yang menjalar ke rambut teman wanita barunya yang mengurai ke bahu. Bibirnya yang terasa pahit memuncung. Si Kerinting memejamkan matanya melabuhkan sauh asmara ke dasar berahi.
"Malam ini, bulan akan bersaksikan kisah cinta kita yang paling romantisssss...." Bisik Si Kerinting.
Gadis itu tertunduk sipu. Wajahnya kemerahan. Dia berpaling ke sisi seakan malu melontarkan pandangannya ke hutan jabun. Perasaan malu itu membuatkan Si Kerinting bertambah berahi.
"Saya nak awak malam ni..." Bisik Si Kerinting, tersenyum. Bibirnya yang terjuih itu semakin panjang. Si Kerinting menutup mata menarik bahu gadis itu merapat ke arahnya. Tiba-tiba dia terbaukan sesuatu yang aneh. Bau membusuk dan nanah yang meloyakan. Bau itu membuatkan dia tersentak dan tekaknya menjadi kembang berlugai. Belum sempat Si Kerinting menelah, satu suara meresik di seluruh arah dan bergema seperti peniti yang menyucuk ke gegendang. Suara itu menjadi kasar, memecah dan terdengar berdesis seperti ular yang bergulungan di atas kepala.
Si Kerinting menyorot perlahan ke sisi. Mata yang tadinya kecil kini terbelalak luas. Tubuhnya tersentak merapat hingga ke pintu kereta. Si Kerinting melolong, menjerit dengan raungan yang kuat. Wajah gadis itu tiba-tiba berubah mengerikan. Bertukar warna, bentuk dan bau yang tengit berlugai. Lelaki itu melihat ke dada teman wanitanya yang membusuk dan mengeluarkan nanah dan darah yang melimpah, mengalir memenuhi ke lantai kereta hingga separa lututnya. Si Kerinting menggelepar ingin keluar namun pintu tidak dapat dibuka walau sekuat mana diasaknya. Dia hanya mampu menangis. Pada waktu yang sama, dia ingin mati dari melihat kejelikan yang paling menakutkan pernah dilihatnya seumur hidup.
Si Kerinting mengasak lebih kuat dan pintu kereta akhirnya terbuka mementalkan dirinya ke tanah. Air nanah dan darah berlumba mengikutinya, melimpah keluar dari kenderaan hingga ke tubir jalan. Si Kerinting terdampar dan mendongak melihat ke atas, pada bayang-bayang yang berpusing ligat di awangan. Si Kerinting, yang separuh mati ketakutan merangkak laju sehingga ke perdu dan memeluk batang pokok dengan erat. Kakinya tidak mampu untuk melangkah lebih jauh. Segalanya tampak kelam dan hitam di pandangan.
Kegelapan itu kemudiannya disinari cahaya terang yang muncul di sisinya. Si Kerinting terpempam dan terlongo. Melihat seorang lelaki yang berjalan keluar dari cahaya tersebut dan berdiri bertentangannya. Lelaki itu hanya tegun berdiri seakan mencari sesuatu namun dia kelihatan tenang dan bersedia. Si Kerinting memanggil dan melaung-laung, cuba meminta tolong dalam suaranya yang teresak-esak. Lelaki itu seakan tidak memperdulikannya, melainkan melihat si gadis—yang kini telah bertukar menjadi lembaga berupa mengkarung yang melompat lincah di satu pohon ke pohon yang lain.
Lelaki itu, yang bernama Sufi keluar dari bebayang cahaya dan membiarkan si Kerinting terus menangis. Matanya menikam tepat di atas bumbung kereta apabila si mengkarung berhenti melompat setelah menyedari kehadirannya. Tubuh makhluk itu kini jelas kelihatan dari sinaran cahaya bulan yang terang. Badannya bersisik dengan lidah yang panjang menjilat nanah yang menitis di dagunya. Si Mengkarung menyeringai namun senyumannya itu terhenti tatkala melihat Sufi yang mengeluarkan sebuah kiub kristal dari gengaman tangannya.
Kiub kristal Akaren itu ditakuti seluruh makhluk halus dan menjadi penjerat yang tidak akan dapat dilawan. Ia mengeluarkan cahaya putih yang kecil. Semakin rapat musuh berada dengannya, ia akan mengeluarkan cahaya yang lebih terang dan merebak seperti tangan yang merayap dan menarik musuh masuk ke dalam. Sesaat mereka tertangkap, maka tiada lagi jalan keluar dari Akaren tersebut.
"Menyerah atau kau akan mendapat nasib yang buruk lepas ni." Kata Sufi, menggenggam kemas Akaren di tangannya. Wajah si mengkarung berubah cemas. Dia berpaling dan melihat sekitar seperti mencari sesuatu sebelum tertawa kecil. "Kau seorang? Kau? Hahaha..."
"Aku boleh menghapuskan kau, iblis..."
"Kau? Hahahaha..." Ketawa Si Mengkarung semakin galak dan menjengkelkan.
Sufi menggenggam kuat Akaren di tangannya membuatkan Si Mengkarung berhenti tertawa. Lidahnya yang bercabang terjelir panjang merasai hembusan hawa Sufi yang bertiup di udara.
"Aku dapat hidu nafas kau yang berbau kematian." Kata Si Mengkarung dan terus menerkam Sufi sesaat itu juga. Sufi melompat dan menghaibkan diri, muncul di belakang Si Mengkarung namun kepantasan makhluk itu tidak terduga. Si Mengkarung sempat mengelak apabila cahaya Akaren hampir mengenainya. Belum sempat Sufi menyusun langkah yang lain, Si Mengkarung melibaskan ekornya hingga Sufi jatuh bergelantang di tanah. Makhluk itu ketawa mengekek dan merabat ke sebatang dahan dengan kepala terjuntai ke bawah.
Sufi bingkas bangun, berdiri dengan wajah berang mengesat darah yang mencalarkan bibirnya.
"Aku akan kunci kau dalam ni...."
XXX
"Kau kunci cintaku di dalam hatimu,
Meronta hatiku menangis kernamu,
Kau kunci cintaku di dalam hatimu,
Sehingga ku lemas bila kau tiada di sisikuuuu..."
Lima gadis cantik berpakaian seksi berkepit di sekeliling Khalis. Lagu mendayu, dilatari suara gadis muda bergema di bilik suite karaoke Augustine. Gadis itu berdiri berseorangan dan terus bernyanyi dengan suaranya yang paling tak sedap didengar menyanyikan lagu Ramlah Ram. Dia tetap menyayi mengeluarkan suara itiknya.
Khalis ketawa besar, merangkul pinggang gadis di kiri dan kanannya dengan kegembiraan. Dua orang gadis di hujung berkucupan, seorang terdampar di lantai kemabukan dahysat dan tidur mengangkang di sisi meja.
Khalis bangun, menguis gadis yang terbaring dengan kakinya. Dia merampas mikrofon dan menyambung nyanyian dengan suaranya yang kemabukan. Gadis yang menyanyi ditolak hingga terjelepuk ke sofa. Khalis melihat ke kaca TV, melodi yang janggal di telinga, merenung barisan perkataan yang kembang dan berombak. Dia menarik topi ke belakang, baju versace suteranya diperkemaskan dan menyuruh semua orang di belakang senyap untuk sejenak. Khalis menyanyi. Sebenarnya membaca dengan suaranya yang garau dan terdengar lucu. Gadis-gadis di belakangnya menahan ketawa sehingga wajah mereka merah padam. Khalis terus menyanyi di rangkap korus. Tekaknya rasa terbakar dan perit melihat Ramlah Ram di kaca TV yang seakan cuba lari darinya.
YOU ARE READING
Macho
FantasyKhalis dan Sufi, lelaki bunian yang mengawal keharmonian alam manusia dan mahkluk halus sejak berabad tahun yang lalu. Mereka yang juga digelar MACHO bergerak bersama di bawah pemerintahan Raja Abrah (Raja Bunian) dan menjadi pasangan pemburu makhlu...
