" Itukah hal yang merisaukan Tuan Arkea sekarang?" kerlingan lelaki di hadapan itu membuatkan dia terdiam seketika.

" Tuan.." Seorang lelaki lain pula mencelah " Kesihatan baginda semakin hari semakin merosot.Ia bukan rahsia lagi dalam istana."

" Dan itulah yang merunsingkan sekarang ini." Lelaki dalam balutan pakaian sutera biru muda yang bersulam benang-benang perak itu mulai angkat bicara. " Aku yakin Tuan Ares akan mengambil kesempatan dalam keadaan begini."

" Putera Atehius." Celah seorang lelaki yang lain " Ada apa-apa khabar mengenai baginda?"

Mendengar nama itu disebutkan hampir serentak lelaki-lelaki yang berada di dalam bilik tersebut membuang wajah ke arah lain seraya menghela nafas.

" Orang-orang kita sedang menggiatkan pencarian sehingga ke Utara.Tetapi sehingga kini masih belum kelihatan ada tanda keberadaan baginda."

"Ciss !! "

Berang lelaki berbaju biru muda itu dan tanpa sedar dia mendaratkan penumbuknya ke atas permukaan meja.

" Pasti itu sebahagian daripada rancangan mereka.Menghalang Putera Atehius daripada kembali ke istana dan dalam masa yang sama mengusahakan agar Putera Ardius menjadi putera mahkota."

" Dan membiarkan mereka menjayakan rancangan jahat Keluarga Ares? Pertama sekali menggulingkan Permaisuri Adhreya .Lalu menjadikan anak perempuannya sebagai permaisuri." Hampir meledak urat pada dahi lelaki itu apabila mengenangkan semula rahsia-rahsia gelap Istana Darmenta yang tidak pernah diketahui oleh rakyat jelata itu " Lalu apa lagi?? "

Mendengarnya,lelaki-lelaki lain di dalam bilik itu terdiam sekali lagi sementara ada pula yang berdehem melegakan kerongkong yang tiba-tiba terasa pahit.Tuan Hemera menyeluruhi setiap wajah yang ada di situ.Pahit.Tetapi memang itulah yang sedang berlaku di Istana Darmenta.

Bagi rakyat biasa yang tidak tahu apa-apa,istana hanyalah tempat bersemayamnya pemerintah tertinggi Kerajaan Darmenta.Namun,bagi para petinggi kerajaan istana tidak ubahnya bagaikan satu medan tempur yang kejam dan mengamalkan hukum rimba.

Sesiapa yang kuat,dialah yang berkuasa sementara untuk mendapatkan kekuatan itu-politik adalah senjata utama.Tanpa mengira moral dan etika,para penggila kuasa itu akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang mereka kehendaki dan untuk itu,musuh-musuh politik yang tidak sehaluan dengan mereka akan dihapuskan walau dengan apa cara sekalipun.

Bidak diletakkan di mana-mana,strategi disusun-atur dan bermulalah perperangan senyap tanpa senjata yang jauh lebih menakutkan berbanding berperang menggunakan pedang ataupun panah.

Tuan Hemera sebenarnya tidak pernah mempunyai niat untuk mewujudkan pergolakan dalaman Kerajaan Darmenta tetapi mahu tidak mahu dia terpaksa juga melakukan hal yang pada suatu ketika dulu sangat dibencinya itu.Ketamakan Keluarga Areslah yang memaksanya melakukan hal sedemikian.

Dia tahu segalanya-galanya kini seperti sedang berada di dalam genggaman Tuan Ares yang aneh sekali memegang jawatan paling penting istana yakni sebagai penasihat kepada baginda Raja Metheus.

Pada awalnya,percaturan Keluarga Ares tidak terlalu menarik minatnya untuk memerhatikan dalam senyap namun apabila kejadian demi kejadian berlaku secara berturut-turut,tidak syak lagi bahawa Keluarga Ares sedang cuba untuk menguasai Istana Darmenta.

Mungkin sisi paling gelap Istana Darmenta bermula dengan keputusan Raja Metheus untuk mengambil anak perempuan Tuan Ares sebagai isteri kedua baginda berikutan keadaan Permaisuri Adhreya yang sering sahaja jatuh gering dan tidak mampu melahirkan zuriat bagi meneruskan legasi Kerajaan Darmenta.

Entah disengajakan ataupun suatu kebetulan tetapi kejadian itu benar-benar membuatkan Tuan Hemera mulai mengesyaki sesuatu.Seorang demi seorang daripada anak gadis para pembesar yang terpilih sebagai calon isteri kedua Raja Metheus sama ada menarik diri secara sukarela ataupun berakhir dengan tragis dalam kemalangan-kemalangan yang kadangkala pada hemat Tuan Hemera tidak masuk akal sama sekali.

Perseteruan dalaman melibatkan Keluarga Ares dan Keluarga Niyma mulai marak secara senyap-senyap dan ketamakan Tuan Ares semakin tampak di mata Tuan Hemera.Dan kemuncak kepada persaingan untuk mengukuhkan kuasa di dalam istana semakin meruncing apabila Permaisuri Adhreya disahkan hamil beberapa bulan selepas perkahwinan diraja antara Raja Metheus dengan anak perempuan Tuan Ares berlangsung .

Dan apabila Permaisuri Adhreya dijatuhkan hukuman bunuh kerana didapati melakukan kesalahan terbesar dan paling berat iaitu dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan salah seorang daripada panglima Kerajaan Darmenta,Tuan Hemera segera mengerti ia bukanlah kebetulan melainkan hasil perancangan licik Tuan Ares untuk menyingkirkan Permaisuri Adhreya.

Hanya disebabkan Permaisuri Adhreya melahirkan putera mahkota Kerajaan Darmenta,hukuman bunuh yang dijatuhkan kepadanya diringankan kepada hukuman pengasingan seumur hidup.Dibuang jauh dari istana ke sebuah tempat yang terpencil dengan dibekalkan barang keperluan yang memadai untuk tidak mengakibatkan dia kelaparan.

Dilucutkan gelaran,dicabut segala kehormatan daripadanya serta seluruh Keluarga Niyma dan menyandang gelaran pendosa kepada Istana Darmenta dan seluruh kerabat diraja.

Menambahkan parahnya keadaan ,Putera Amadeus membesar di dalam istana sebagai seorang putera yang tidak dianggap dan tidak diiktiraf keberadaannya.Lahir daripada seorang pengkhianat kepada Istana Darmenta,Putera Amadeus hanyalah putera wayang di mata rakyat jelata yang tidak tahu apa-apa sedangkan pada Tuan Hemera,nasib putera mahkota itu akan bertambah buruk sebaik sahaja Putera Ardius mencapai usia genap dua puluh tiga tahun.

Sudah ada khabar-khabar angin yang bertiup di antara tiang-tiang istana tentang rancangan Tuan Ares untuk mendesak baginda supaya melantik Putera Ardius sebagai putera mahkota bagi menggantikan Putera Amadeus dan hal itulah yang perlu dihalang oleh mereka sebelum terlambat.

Sebelumnya,Tuan Hemera pernah meletakkan harapan kepada Putera Amadeus sebagai orang yang mampu menghalangi Keluarga Ares daripada terus menerus menguasai istana tetapi nampaknya harapan itu punah begitu sahaja.Entah di mana silapnya kadangkala Tuan Hemera tidak mengerti.

Putera Amadeus yang memang lahir sahaja telah dibebankan dengan kesalahan ibunya Permaisuri Adhreya entah bagaimana tidak pernah terlihat untuk cuba mengubah tanggapan seluruh petinggi istana terhadapnya.

Sedangkan Putera Ardius yang hanya berjarak setahun lebih muda daripadanya itu semakin hari semakin menyerlah apatah lagi dengan sokongan padu Keluarga Ares serta keluarga bangsawan lain,Putera Amadeus sebaliknya mempamerkan sikap yang tidak sepatutnya dimiliki oleh seorang putera mahkota.Nampak tidak berminat dengan hal-ehwal istana,gemar berfoya-foya dan berhibur dengan menjemput para pemuzik terkenal di ibu kota.

Maka,setelah mempertimbangkan sebaik-baiknya-Tuan Hemera tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menjemput Putera Atehius untuk segera kembali ke istana.

Hanya Putera Atehius pilihan dan harapan terakhir mereka untuk menghalang Keluarga Ares daripada terus mengukuhkan kuasa .Putera Atehius sedikit sebanyak masih mempunyai sedikit pengaruh di istana sebagai adik kepada permaisuri balu yakni ayah saudara kepada Raja Metheus.

Dengan pengaruh permaisuri balu sebagai ibunda kepada Raja Metheus , walaupun terletak sedikit jauh daripada jalur penggiliran untuk menaiki takhta-Tuan Hemera tahu masih ada dalam kalangan keluarga bangsawan yang masih menghormatinya sebagai ayah saudara kepada Raja Metheus.

Misi kali itu benar-benar seperti misi bunuh diri buat Tuan Hemera.Gagal bermakna hukuman berat sedang menanti kerana dia tahu Tuan Ares hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengenakan seluruh keluarga Tuan Hemera.

Namun Putera Atehius yang menjadi tonggak harapan mereka sudah hilang entah ke mana.Walhal rancangan untuk menjemput Putera Atehius kembali semula ke istana merupakan sebuah rancangan sulit .

Dengan terbongkarnya rancangan tersebut,nyata sekali benar kata-kata yang didengari oleh Tuan Hemera suatu ketika dahulu.Di istana,jangankan para pembantu-bahkan dinding dan tiang istana juga mempunyai mata dan telinga.

Buat masa ini,mereka tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mencari Putera Atehius walau apa sahaja taruhannya !

* * *

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now