" Anaknda.."

Dia pantas berdiri lalu menoleh demi mendengarkan suara halus itu menyapa indera pendengarannya.Air mata yang bergenang di sudut mata diseka .

" Bonda.."

Melepaskan tangkai penyapu di tangan kanannya,separuh berlari anak dia menghampiri susuk tubuh itu lalu membawanya ke dalam satu pelukan yang panjang.Tanpa suara.Hanya kebisuan tetapi menyiratkan rasa hati yang sangat sarat.

" Bonda sihat?"

" Sihat anaknda.Berapa kali bonda perlu peringatkan? Anaknda tidak perlu mengunjungi bonda jika anaknda ada pekerjaan lebih penting untuk dilakukan.Lagipun tempat ini jauh dan tidak dapat didatangi sebegitu mudah."

Hidup dalam keadaan terbuang sedemikian rupa kesusahan yang dihadapinya tetap sahaja tidak dapat melunturkan karisma dan ketegasan yang tersembunyi disebalik kelembutan kata-katanya membuatkan sang anak mengukirkan senyum perit.

" Terima hormat hamba,Tuanku Permaisuri."

Wanita itu tertawa kecil mendengarkan kata-kata tersebut .Walaupun dia tidak pernah menyukainya,namun tidak sopan jika dia menegah keinginan pemuda yang satu itu.

" Jangan sampai ada sesiapa yang mendengarnya,Panglima Agean.Beta khuatir akan ada kesan yang buruk akan berlaku."

Pemuda yang dipanggil Panglima Agean itu tidak perduli dan terus menundukkan kepalanya sehingga dia merasakan ada tangan yang mencengkam bahunya dan wajah teduh wanita itu menyambut bersama senyuman apabila dia kembali menegakkan tubuh.

" Biarkan sahajalah daun-daun itu di situ.Mari ke mari kalian berdua."

Mendapat isyarat berupa anggukan kecil daripada sang putera,dia menanggalkan butnya lalu menyertai pemuda yang satu lagi bersila di beranda sementara susuk tubuh wanita tadi menghilang sebentar ke dalam lalu keluar lagi dan membawa sekoleh teh serta cicipan-cicipan lain di dalam pinggan tembikar yang kecil.

" Silakan,Bonda."

Sang putera membuka bungkusan yang dibawanya lalu meletakkan ke atas meja rendah di hadapan mereka bertiga.

" Sebelum ke mari,anaknda singgah sebentar membeli kuih pulut berinti kegemaran Bonda."

Hari itu tanggal lima belas dan merupakan tarikh yang paling dinanti-nantikan oleh Putera Amadeus membuatkan dia bangun lebih awal daripada biasa dan berangkat sebelum pagi meninggalkan istana dan menuju ke pondok di tebing tinggi tersebut.

Hanya pada hari itu dia dibenarkan untuk menemui ibunya dan peluang tersebut tidak akan disia-siakan begitu sahaja.Jika bukan pada tarikh tersebut,kawasan tersebut tidak ubah bagaikan sebuah penjara dengan beberapa orang pengawal istana lengkap dengan senjata akan mundar-mandir berkawal di luar pagar rumah tersebut dan sesiapa pun tidak dibenarkan untuk menghampiri pondok itu.

" Tak perlulah anaknda bersusah-payah.Kunjungan anaknda sahaja sudah memadai buat Bonda."

Wanita itu-Permaisuri Adreya-yang pernah menyarung pakaian kebesaran permaisuri Istana Darmenta sekadar tersenyum dan menyeluruhi wajah sang anak dengan kerinduan yang sukar diungkapkan.Tidak puas rasanya dia menatap wajah puteranya itu ketika menanti belasan hari setiap bulan sebelum tarikh tersebut tiba.

" Bonda berehatlah.Biarkan anaknda menyiapkan semua kerja rumah hari ini.."

Apa lagi yang boleh dikatakan oleh wanita itu kerana dia tahu tegahannya tidak akan pernah berhasil.Setiap kali puteranya itu datang mengunjunginya,sepanjang hari akan dihabiskan olehnya untuk membersihkan halaman rumah,memperbaiki atap yang bocor dan menampal dinding yang merekah akibat cuaca panas dan hujan yang silih berganti.

Lalu pada petangnya ,tanpa berehat terlalu lama-sehingga hari menjelang gelap dia akan turun ke bawah untuk mengutip kayu api dan memenuhkan bawah beranda hadapan dengan bahan bakar tersebut untuk keperluan harian sehingga tanggal lima belas datang lagi.

Ataupun paling kurang akan termengah-mengah mengangkut tanah dari bawah sana untuk membuat batas yang baru bagi membolehkan tanam-tanaman dapat tumbuh di halaman rumah tersebut yang sebenarnya merupakan sebuah kawasan berbatu datar di pinggir tebing tinggi itu.

Hari itu pemuda itu bukan seorang putera mahkota kepada Kerajaan Darmenta tetapi dia tidak lebih daripada seorang anak yang sedang melunaskan hutang tanggungjawab terhadap ibu kandungnya sendiri !

Menjelang malam ketika bulan purnama berkalih perlahan-lahan dari langit Timur menuju ke ufuk Barat,seperti kebiasaannya Putera Amadeus suka sekali berlama-lama berdiri menghadap ke arah hutan tebal di bawah gaung sana dan menatap tompokan cahaya terang yang merupakan cahaya daripada istana kota dan seluruh Pekan Annara dengan Panglima Agean setia berdiri di sebelahnya.

" Tidak dapat beta membayangkan bagaimana Bonda melalui malam-malam yang panjang dan sejuk berseorangan di sini sambil memandang istana dari jauh seperti ini."

Ada nada kesayuan yang jelas kedengaran dalam setiap bilah perkataan daripada sang putera membuatkan Panglima Agean menghela nafasnya kasar.Dia faham bukan jawapan yang diperlukan oleh Putera Amadeus ketika itu tetapi lebih kepada kesanggupannya untuk mendengar keluh-kesah hatinya sendiri.

Dia tahu walaupun Putera Amadeus bergelar putera mahkota Kerajaan Darmenta,keadaannya tidak jauh lebih baik daripada apa yang dilalui oleh Permaisuri Adreya .

" Istana.. " suara Putera Amadeus tenggelam timbul menahan rasa " Benar-benar sebuah tempat yang menakutkan!"

*             *             *

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now