Bab 8

1.2K 23 2
                                    

Awal pagi lagi Jimin sudah sampai di pejabat. Di pejabat kecil itulah, dia dan Hisyam akan memulakan kerja sekiranya ada tawaran atau projek baru. Kalau tawaran melibatkan tempoh masa singkat, pasukan Hisyam akan pergi sebab selalu hanya melibatkan tempoh masa seminggu.

Hisyam hanya perlu cek dan menyelia hasil kerja pasukan pengimpal di bawahnya. Bila ada tawaran jangka panjang satu bulan lebih, Jimin sendiri rela hati untuk pergi. Selalu kalau melibatkan joint welding di bawah kapal, Jimin memang kemaruk nak ke laut. Boleh jumpa duyung kut!

Hari ini Jimin perlu kemas kini segala dokumen yang diperlukan untuk projek. Bukan itu sahaja, setiap peralatan yang akan digunakan untuk kerja perlu ada kelulusan, malah ada sesetengahnya perlu melalui pemeriksaan berjadual yang ditetapkan dan mesti dalam keadaan baik ketika mereka menggunakannya. Sebab itu urusan dokumen dan senarai semak berjadual mesti tepat.

"Jumpa sudah calon isterimu." Alai berdiri tercegat di pintu bilik. Jimin menoleh ke belakang. Oh, abang sengal rupa-rupanya. Sehari tak jumpa, tak sah kalau tak memerli orang.

"Bodoh juga kau ni, bah. Itu pasal tiada sumandak suka sama kau, kan? Hahaha!"

"Aku tunggu anakmu, bah. Bolehkah?" balas Jimin mengajuk Alai dengan dialek Sabah. Alai tersengih. Kelakar bunyinya.

"Nda la aku mahu menantu tua. Anak aku baru dua tahun, bah. Comel pula itu... Mana ngam sama kau!"

"Kalau kau tak mahu, duduk diam-diam. Bagus kalau kau tolong aku," cadang Jimin.

Alai mula menggaru bawah dagu yang tak gatal. Bukan tidak mahu menolong, tapi Alai memang tak cekap bab membuat semakan. Alai seorang air diver yang dahulunya pernah berkhidmat dengan jabatan polis. Sekarang Alai lebih berminat dengan kerja-kerja kimpalan di laut dalam dan senang bergerak sendiri.

Alai sangat suka cabaran. Apabila Jimin mengajaknya untuk siapkan kerja-kerja membaiki kapal, Alai terus bersetuju. Walaupun ada cabarannya, tapi tidaklah sehebat ketika di offshore dahulu. Selepas Alai berumah tangga, dia lebih selesa bekerja di syarikat Jimin. Walaupun masih baru, dia yakin, rezeki sentiasa ada. Ini kerana pengalaman mereka berpuluh tahun membuatkan syarikat tempatan berminat mendapatkan khidmat mereka.

"Jam berapa esok?" Alai bertanya.

"Macam biasa. Nanti di sana, aku briefing sekali sebab ada welder baru masuk team kita."

"Dari mana? Philippines, Thailand... Indonesia?" Alai berminat ingin tahu. Kalau ada welder luar, boleh bertukar ilmu dan pengalaman.

"Sini. Sama macam kita. Ala, sekitar sini. Buat apa nak bayar lebih untuk kerja yang orang kita pun boleh buat."

Alai mengangguk.

"Siapa namanya?" soal Alai lebih lanjut.

"Banyak soalan pula kau, ya? Berminat ke?"

"Ya la. Asyik nampak muka kau saja, Jimin. Bosan aku! Kalau ada macam Janna Nick, semangat sikit ba. Muka kau handsome ba, tapi kalau tengok kau saja, aku macam mahu muntah."

Jimin membuat muka. Mulut tak ada insurans mamat Ranau nih. Jimin mula mengenali Alai ketika mereka sama-sama di offshore. Alai team air diver, tapi kalau tidak menyelam, Alai lebih banyak menghabiskan masa dengan Hisyam dan Jimin. Di sana, Alai belajar cara memotong besi guna api, cara menjahit besi pun Alai pandai lakukan. Siapa lagi kalau bukan Jimin budak setan yang mengajarnya.

"Belum lagi sampai sana. Aku sudah rasa mahu muntah tengok kau, Alai," balas Jimin.

Alai membuang ketawa.

"Kau memang budak setan. Suka mengata orang!"

"Esok jangan lupa singgah ambil aku di rumah. Jangan kau lajak terus pula," pesan Jimin.

Single Terlalu Lama!Where stories live. Discover now