Bab 2

1.9K 33 1
                                    

Langit sedikit kelam. Pancaran matahari tidak lagi terik. Dari kejauhan, matahari perlahan-lahan menyimpan cahaya siangnya. Jimin betul-betul rasa nyaman. Jimin masih tersandar pada kereta. Suasana yang nyaman tadi kembali canggung kerana kedua-dua insan masing-masing mengunci mulut.

Diam.

"Awak." Hanim memulakan bicara.

Masih diam. Hanim menoleh. Jimin masih dalam kedudukan yang sama.

"Awak... Dengar tak ni?" soalnya tanpa memandang wajah penat Jimin.

"Cakap la... Saya dengar ni." Jimin bersikap acuh tak acuh. Bukan tak kenal dengan perangai Si Hanim. Asal ajak berjumpa, mereka akan bergaduh. Memang meletihkan kalau lebih banyak bergaduh dari bercinta. Jimin cuba bersabar dengan Hanim, tapi ada saja yang tak kena di mata Hanim.

"Kita ni macam mana sekarang? Awak ni sayang ke tak dengan saya... Mak dah bising tau. Liza dah nak kahwin... Kita berdua ni, dah setahun berlalu... Macam itu juga."

Jimin tersenyum. Bukan dia tak sayang dengan Hanim, tapi mak Hanim memang tak pernah suka hubungan mereka. Mana dia pandang setakat budak macam Jimin. Tak ada masa depan. Hanim bakal guru, dia pula baru mula berjinak dengan dunia kimpalan. Kalau mahu pinang Si Hanim, mesti hantaran tinggi. Jimin bukan cari alasan, tapi bukan mudah untuk cari duit dalam masa singkat. Dia pun ada cita-cita nak dikejar. Dia ada matlamat. Kahwin pun salah satu matlamat, tapi bila didesak selalu, naik rimas pun ada.

Jimin menjongket bahu.

"Entah. Tak pernah terfikir nak kahwin." Laju tangan Hanim mendarat di bahu Jimin. Geram dan sakit hati. Jimin memang sengal dan suka mengundang rasa marah. Lelaki bab menggatal nombor satu, tapi bab ambil tanggungjawab pakat beri seribu alasan.

"Sakit la. Tangan awak tu kalau tampar orang, rasa pedih tau... Sampai ke tulang... Nanti dah jadi cikgu, jangan suka hati tampar anak orang... Nanti bapak dia mai serang awak dengan parang."

Wajah Hanim masam mencuka. Jimin masa belajar dulu bukan tak pandai, tapi terikut-ikut minat Zabidi berkaitan dunia kimpalan, dia pilih untuk belajar kemahiran. Itulah yang menjadi masalah sekarang. Mak Hanim nak lelaki yang stabil kerjanya. Jimin pula setapak demi setapak baru nak meningkat. Memang tak padan langsung dengan Hanim.

"Bergurau sikit pun tak boleh." Wajah Hanim dipandang lama. Itulah cinta pertama dia. Eh, bukan pertama, sebab Hanim yang mengurat dia dulu. Bila dah mula berkawan, baru melekat terus.

"Apa dia?" pintas Hanim ingin tahu bila sedar dirinya lama diperhatikan. Jantungnya berdegup kencang. Perlahan-lahan, Hanim mengalihkan pandangannya ke hadapan. Renungan Jimin boleh menghentikan masa, mampu mengacaubilau sesaat dua perasaan si gadis. Banyak sebab yang membuatkan dia jatuh hati pandang pertama, Jimin mempunyai daya penarik. Walaupun sedikit kasar, sisi romantik Jimin tetap ada. Tak perlu bunga atau hadiah, satu renungan pun dah buat hatinya cair!

"Awak bagi saya masa sikit. Hmmm... Saya sayang awak. Tapi takkan saya nak pinang awak dengan air liur? Kalau saya minta awak tunggu saya setahun, awak sanggup?"

Soalannya terbiar. Tidak terjawab. Hanim diam. Jimin melayangkan tangan ke wajah kesayangannya itu. Fikiran Hanim dah melayang entah ke mana.

"Hanim, awak dengar tak? Saya serius ni... Sanggup tak tunggu saya setahun?"

Dia pandang wajah Hanim dengan penuh harapan.

"Setahun? Kenapa saya kena tunggu lagi... Telinga ni kena setahun la menadah dengar bebelan mak." Hanim menunjukkan muka tidak berpuas hati.

"Hanim, awak pun ada lagi setahun lebih kan sebelum posting... Sementara tu, awak tunggulah saya. Saya janji saya akan ikhtiar sesuatu untuk menghalalkan hubungan kita."

Single Terlalu Lama!Where stories live. Discover now