Bab 3

1.4K 27 0
                                    

Mata Jimin tidak berkedip memandang Honda Civic hitam yang elok diparkir di depan pintu pagar rumah Hanim. Hatinya mula berdebar. Hanim tak bagi tahu pula ada tetamu di rumahnya. Kalau dia tahu Hanim sibuk nak melayan tetamu, mesti dia akan balik rumah terus tadi.

"Kereta siapa pula ni?"

Jimin mengomel sendirian. Matanya melilau melihat kawasan sekeliling. Honda Civic yang diubahsuai dengan cita rasa anak muda. Jimin mengeluarkan telefon untuk menghantar pesanan ringkas kepada Hanim. Baru jari galak nak menaip, ada suara menyeru dari belakang.

"Jimin." Hanim bersuara perlahan sambil melangkah keluar menghampiri lelaki itu. Jimin mengukir senyuman. Setelah setahun, wajah cantik itu masih sama seperti dahulu. Eh! Bertambah cantik sebenarnya. Dalam gambar yang Hanim hantar, memang cantik. Hilang rindunya. Tapi bila tengok di depan mata, lagi bertambah rindu adalah. Manis sangat bakal cikgu sorang ini. Untungnya Jimin!

"Kita ke sana..."

Hanim terus melangkah menuju ke kerusi batu berdekatan dengan kolam ikan. Jimin mengekor tanpa sepatah kata. Bibirnya tak lenguh melebarkan senyuman. Rasa melurut rindu yang lama bersarang dalam jiwa.

"Isy... Buat apa datang sini? Kan esok kita dah berjanji untuk berjumpa?" soal Hanim kehairanan. Tiba-tiba Jimin nak juga datang. Payah kalau jenis tak faham bahasa. Inilah contoh lelaki yang buat-buat tak faham, lepas tu muncul di depan, tayang muka sekupang!

Jimin terdiam. Mendengar nada suara daripada Hanim sudah tidak semesra mana menyapa cuping telinganya. Kalau dia separuh nyawa terlalu rindukan Hanim, tentu Hanim pun sama! Jari-jemari runcing itu ligat mengetuk perlahan meja batu... Wajah Hanim nampak lain seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Semalam okey saja bila bercakap menerusi telefon, ingatkan Hanim nak melompat menepuk langit kalau nampak dia di depan mata macam sekarang. Ternyata andaiannya tersasar jauh.

"Saya terus ke sini... Cari awak, belum balik rumah pun. Rindu sangat! Awak sihat?"

Jimin cuba berlagak biasa walaupun dalam hatinya sudah tersepit dengan pelbagai andaian rasa yang tidak enak. Namun dia cuba pujuk hati sendiri dengan segera. Mungkin Hanim penat melayan tetamu atau Hanim ada banyak assignment kena hantar. Whateverlah, janji Hanim dah ada di depan mata sekarang, gunakan peluang yang ada.

"Kalau rindu sekalipun, sabarlah. Macam mana kalau mak nampak tadi? Jenuh tau saya nak menjawab... Janganlah bagi saya naik angin." Hanim bersuara tanpa memandang langsung kepada Jimin.

"Saya datang ni nak tunai janji... Lupalah tu... Last saya telefon semalam, saya ada cakap kan, nak datang jumpa mak. Saya nak sembang panjang lebar dengan dia pasal kita," beritahu Jimin.

Sepi.

Hanim diam. Jimin masih menunggu reaksi daripada si dia. Hanim menunduk memandang meja batu. Eh! Lain macam perangai Hanim. Tengok dia pun tak mahu. Apa cerita ni? Dia ada buat silap ke? Rasanya tak ada. Sepanjang ikut kapal, dialah yang paling behave perangai walaupun mulut tu memang macam longkang. Bukan tak ada perempuan yang cuba mengendeng kepadanya, tetapi semua Jimin tolak sebelah mata sebab berpegang kuat dengan janjinya kepada Hanim.

"Hanim, kita kahwin nak? Sekarang pun saya boleh jumpa mak. Kalau pasal duit, awak jangan risau..."

"Tak payah la jumpa mak... Hari ni ada tetamu," celah Hanim laju. Gila, mengamuk emaknya kalau tahu Jimin datang. Hanim memuncungkan mulut ke arah kereta Honda Civic hitam. Dia malas nak cakap banyak. Hari ini dia tak rasa nak melayan Jimin. Serius, dia bukan dalam mood yang baik.

"Kereta siapa tu... Saudara ke?" soal Jimin.

"Hmmm... Saudara sebelah mak. Eh... Awak pergi balik sekarang. Nanti kita sembang dalam telefon," tingkah Hanim membuatkan Jimin terkedu. Dia dihalau balik ke? Kali ini Jimin merasakan ada sesuatu yang berlaku. Hanim sudah tidak seperti dulu. Pandangan Hanim lebih terarah ke kawasan sekitar berbanding melihat dirinya. Orang kalau jiwanya membuak rasa rindu, lain caranya.

Sekarang ini tingkah laku Hanim nampak sangat mengelak daripada bertembung mata dengannya.

Penat pun belum habis, kena halau pula.

"Kenapa ni? Hanim macam tak suka saja saya datang sini. Tahu tak... Orang lain turun saja dari kapal, masing-masing terus balik rumah. Saya terus singgah sini sebab nak berjumpa dengan awak."

"Saya tak suruh pun, kan? Awak yang nak datang juga!" balasnya.

Entah kenapa ayat tadi merobek hati lelakinya. Dia cuba bersabar tapi jangan melampau sangat mulut tu bila menyusun kata. Orang yang penat akan lagi teruk terganggu moodnya. Jimin menahan geram. Matanya merenung Hanim sedalam-dalamnya. Hanim baru tersedar dek keceloparannya tadi.

"Ya... Tahu! Tapi saya tak boleh lama di sini. Nanti tetamu cari... Awak balik dululah... Nanti malam saya telefon... Janji."

Hanim terus mengangkat punggung. Jimin meraup wajah berkali-kali. Setahun mereka tidak berjumpa, hanya berhubung melalui telefon sekali-sekala untuk melepaskan rindu, kenapa hari ini bukan menjadi sesuatu yang menggembirakan mereka?

Saat Jimin menyertai kru lain di atas kapal, berdepan pelbagai cabaran di lautan, hanya Hanim yang menjadi kekuatan untuk dia terus bertahan. Belayar di waktu malam menelusuri lautan umpama berada di dasar laut dalam. Tiada yang indah selain bertemankan kerdipan bintang di hamparan langit. Jimin menarik nafas dalam.

"Hanim..." Jimin bangun dari tempat duduk, segera melangkah menghampiri Hanim.

"Saya boleh balik sekarang... Tak jadi masalah.. Tapi susah sangat ke nak tanya saya okey ke tak? Dah makan belum? Dari tadi asyik suruh balik. Saya ni, kan... Dari tadi, otak hanya ingat awak aje... Betapa saya rindu sangat-sangat!"

"Saya nampak awak okey aje... Macam berisi sikit... Awak pergi bekerja ke atau berseronok lebih ni?"

Hanim cuba bergurau. Jimin menyembunyikan senyuman. Gurauan yang sekadar untuk membuang rasa canggung antara mereka. Otak Jimin belum mampu mentafsir punca sikap dingin Hanim.

"Okeylah... Saya balik dulu." Jimin terus mengatur langkah ke pagar utama. Dia masih berharap ada suara yang memanggil dirinya dari arah belakang. Namun hampa! Jimin menoleh sekali, mata tertumpu pada nombor plat kereta tadi... WLK 939!

Jimin terus pulang ke rumah dengan hati yang sebal!

Hisyam masih lena dibuai mimpi. Kalau tadi, Jimin tepis jauh-jauh rasa penat sebab ingin berjumpa kekasih hati, bila kaki melangkah masuk ke dalam rumah bujang, segala lelah dan penat mula dirasai. Jimin merebahkan badan di atas sofa. Perlahan-lahan, mata dipujuk untuk berehat seketika. Jimin terus terlena. Di bahagian poket depan seluar jean, masih tersimpan elok cincin emas putih yang dibelikan untuk Hanim.

Single Terlalu Lama!Where stories live. Discover now