Bab 4

1.5K 30 0
                                    

"SIAPA tu? Segak sungguh aku tengok." Sariah mula memancing umpan. Kalau ada rezeki, adalah. Mek Badariah tersenyum. Memang tajam mata orang tua ni. Dah berumur pun, mata macam orang muda. Asal ada anak dara, mata Sariah yang nampak dulu. Sikit pun tak bagi peluang orang lain mencaras.

"Berapalah umur budak Jimin tu... 35, kan?"

Mek Badariah cuba meneka. Sariah ketawa mengekek sambil menampar bahu sahabatnya itu. Macam tau-tau agenda dia. Mesti Mek Badariah dah boleh hafal setiap tindak-tanduk dia.

"Tua dah aih... Umur macam dia patut dah ada dua tiga orang anak."

Mata Sariah terus memerhati gelagat si gadis yang tekun mengisi baulu ke dalam bekas. Elok dan santun si gadis membuat kerja. Memang sesuai sangat kalau dijodohkan dengan cucunya. Sejuk hatinya memerhati gelagat gadis yang lemah lembut dan gemalai tu.

"Anak siapa tu?" Sariah ingin kepastian. Kalau kena dengan cara dan tahu siapa empunya anak, bolehlah Sariah bertindak segera. Rugi kalau terlepas. Budak perempuan tu nampak elok sangat budi pekertinya.

"Kesian betullah aku tengok kau ni... Kempunan nak tengok cicit ke... Sebelum ni dah ramai anak dara dah kau risik... Aku tengok tak menjadi juga. Dahlah tu, entah-entah Si Jimin tu dah ada yang dia berkenan, cuma belum sampai seru," tukas Mek Badariah.

Sariah menggeleng kepala. Kalau benar apa yang Mek Badariah katakan, dialah insan yang paling gembira. Dia kenal sangat cucunya itu. Dia dan arwah suaminya yang membesarkan Jimin selepas anak sulung lelakinya, Zahrain dan menantunya Fauziah ditimpa kecelakaan di jalan raya. Mujur Zahrain tinggalkan Jimin di kampung semasa dia dan isteri bertolak ke Batu Pahat. Ketika itu, usia Jimin baru enam tahun.

Bermula dari episod hitam itulah Sariah dan Ziyadi menjaga Jimin. Dia ditatang bagai minyak yang penuh. Zabidi, adik lelaki Zahrain cukup memanjakan Jimin. Perkahwinannya dengan Yati bahagia seperti orang lain cuma tiada rezeki untuk ada zuriat sendiri. Zabidi la orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Jimin dengan dunia kimpalan. Banyak masa Jimin dihabiskan di bengkel Zabidi untuk mempelajari ilmu dari pak langnya itu. Jimin dan dunia kimpalan memang tidak boleh dipisahkan.

"Aku takut kalau aku ni mati dulu... Sebelum aku tutup mata, aku nak tengok dia kahwin. Ada orang yang jaga makan minum dia. Barulah aku boleh tutup mata dengan tenang," terang Sariah panjang lebar.

"Janganlah cakap macam tu... Sedih pula aku dengar." Mek Badariah menepuk paha Sariah. Dah lama mereka berkawan, dia tahu Sariah mesti bimbangkan cucunya. Tapi dari mata kepalanya, budak Jimin tu elok saja hidup walaupun tak ada bini. Kereta besar, rumah pun besar, sihat pun sihat. Terbalik pula dengan keadaan di sini, ada yang dah menikah dan beranak pinak, tapi haru-biru juga jadi. Suami malas bekerja, anak-anak ramai sampai terbiar... Macam-macamlah.

"Aku balik dululah... Nanti lepas asar, aku singgah pula. Kalau sedih, cepat-cepatlah hang berdoa supaya Jimin tu dapat jodoh."

Sariah bangun sambil memegang lutut. Asal fikir pasal Jimin, mesti lutut pun sibuk nak rasa sakit. Agaknya kalau bagi selutut kepada Jimin, baru hilang rasa sakit barangkali. Sariah tersenyum kecil.

"Amiiin." Mek Badariah menguntum senyuman. Mudah-mudahan dalam tahun ini juga orang kampung boleh pakat merasa nasi minyak cucu Hajah Sariah pula.

Dari kejauhan Sariah menayang muka gembira. Toyota Hilux berwarna biru gah diparkir di bawah pohon manggis. Patut la mata kanannya asyik berkedip, rindu nak menyapa cucu kesayangan. Budak setan balik pun bukan nak bagi tahu Sariah. Selalu macam tu.

"Assalamualaikum." Daun pintu ditolak perlahan. Suasana sepi. Jimin tiada. Sariah mengeluh pendek. Boleh diagak ke mana budak setan itu pergi, mesti singgah ke bengkel Zabidi. Bukan nak singgah cari dia di rumah Pak Ucop. Sibuk nak mengendeng ke bengkel itu sejak dari kecil.

Single Terlalu Lama!Donde viven las historias. Descúbrelo ahora