Bab 5

1.4K 23 1
                                    

Petang itu, Sariah segera mencari kelibat Mek Badariah. Rasanya Mek dah dapatkan maklumat yang dia mahukan. Jimin mengekor Sariah dari belakang membawa bersama dua beg plastik besar berisi kuih bakar. Kalau kenduri-kendara di kampung, tak perlu bimbang soal makan minum, ada saja yang sudi menaja untuk mereka yang sedang membantu. Jimin mengekor Sariah dari belakang. Banyak mata memandang bila Sariah datang usung bodyguard.

"Amboi, Yah... Makin segak cucu hang. Jimin, kan?" Kamariah menegur mesra.

Sariah tersenyum lebar. Huh! Memang Jimin segak, tampan tapi tak tahulah kenapa jodoh sukar melekat. Jimin kena mandi bunga kut!

"Sebab cucu dia segak la dia simpan senyap. Mana dia tunjuk sangat... Kalau ada kenduri aje, baru dia tayang," seloroh Mek.

"Isy... Mana ada. Kebetulan dia cuti, dia baliklah jenguk aku.. Dah aku nak ke sini, Jimin pun nak ikut sekali... Boleh tolong mana yang patut," jawab Sariah.

Eh! Pandai sungguh tok susun ayat. Bila masa dia janji nak tolong bagai? Dia cuma tolong bawa kuih bakar ini saja sebab kasihan pula nak biar tok yang bawa. Hebat tok... Dalam diam dia cuba mempromosikan cucunya di depan kawan-kawan. Marketing terbaiklah.

Jimin membuang pandang ke arah lain. Rasa janggal kalau semua mata 'gadis-gadis bertaraf nenek' memandang ke arahnya. Tok memang pandai ambil kesempatan, bermula dengan cucur bawang akhirnya ke kuih bakar. Serius, Jimin kena beredar cepat ke tempat lain. Jatuh saham wei kalau dicop cucu manja tidur bawah ketiak tok lagi. Jimin cari akal. Lagi lama duduk di sini, memang nayalah!

"Tok... Nak letak mana kuih-kuih ni?"

Sariah menjeling ke arah Jimin. Baru nak promosi cucu, empunya badan dah cari akal untuk lari. Sariah diam. Sengaja nak biar Jimin berdiri lama di situ. Barulah ramai sempat tengok dan belek. Ah, sudah. Jimin kena pandai cilok.

Jimin terus berlalu pergi usai meletakkan kuih bakar di tepi dinding yang ada seraga lagi kuih. Setiap tahun, Jimin berusaha mengelak dari situasi seperti tadi. Kalau lagi lama di situ, lagi banyaklah keluar cerita macam-macam. Sariah kalau bab up cucu, memang tak boleh blah, semua yang terbaik adalah Jimin.

"Hoi Jimin, hoi... Tunggu..."

Jimin menghentikan langkah bila dengar namanya dipanggil. Jimin berpaling ke belakang. Teman lama mula berlari mendekatinya. Terkedek-kedek berlari usung sekali perut buncit.

"Bila kau balik? Tak bagi tahu aku pun." Farid menepuk-nepuk bahu sahabat lama ketika di sekolah rendah. Susah betul nak jumpa Jimin. Kalau ada kenduri, baru nampak muka dia dalam kampung.

"Pagi tadi. Tok suruh balik... Tapi kejap saja ni. Lusa aku balik la sebab banyak kerja. Kau apa cerita? Ni apa ni? Hahaha!" Jimin menumbuk perlahan perut Farid yang sedikit buncit. Farid menekup mulut dan turut ketawa. Bab buncit jangan sebut kuat-kuat.

"Inilah harga yang perlu kau tanggung kalau dah berkahwin." Umar datang mencelah. Masing-masing melepaskan tawa. Bengong depa tak pernah habis walaupun masing-masing sudah jadi bapa.

Dulu masa di sekolah rendah, mereka bertiga berkawan rapat. Siapa lagi nak teman dia ke surau kalau bukan budak dua ketul itu. Bila malam raya, depa jugalah yang sibuk dengan meriam buluh. Mujur tak putus kat mana-mana. Kalau tok wan tau, teruk kena libas. Lepas kena dengan tok wan, Zabidi mesti mai ambil dia dengan kawan-kawan bawa mandi di belakang bengkel. Ya Allah, indah sungguh kenangan lalu. Kalau diberi pilihan, biarlah dia lalui zaman seronok itu sekali lagi.

"Mujur aku tak masuk kelab tu. Tak boleh bayang kalau aku pun ada macam ni," sambung Jimin.

"Rugi la kau... Sebab kelab ni hanya betul-betul lelaki saja berani jadi ahli." Umar dan Farid ketawa mengekek. Seronok dapat membahan member. Mentang-mentang dia saja belum tercemar, sibuk berpakat nak kenakan dia.

Single Terlalu Lama!Where stories live. Discover now