"Teruk betul motto kelab tu." Jimin tak mahu kalah. Asyik-asyik kena perli... Mana tahan!

"Bukan bangang... Buncit ni tanda bahagia seorang suami... Cukup pakai, cukup makan... Bini sedia semua. Hang tu mana ada bini. Jadi, mana hang tau bila kami cerita bab bahagia," balas Farid.

Jimin mencebik. Phui... Masa bahagia sibuk nak canang. Masa bergaduh laki bini, zink pun boleh terbang. Temberang kuat kawan-kawannya tu. Dengar boleh, percaya jangan!

"Jom... Kita lepak tempat biasa. Pakat ada ramai boleh tolong ni. Kita tak ada pun no hal la." Umar memberi cadangan. Jimin lagi suka. Kalau tadi dia tidak tahu mahu ke mana, asalkan dapat cilok dari geng tok. Pelawaan Umar disambut baik. Bila lagi boleh duduk bersembang, bergelak tawa dengan kawan lama. Mengimbau kenangan kut!

Mereka berdua ikut sekali panjat atas Toyota Hilux member lama. Untungnya kenduri-kendara ini bila dapat berjumpa balik geng-geng satu sekolah dulu. Ya Allah, dia punya feeling tu memang best. Penuh dengan mengimbau cerita lawak dan akhirnya masing-masing penat pakat lawan gelak.

"PERGI mana tadi? Tok tak nampak hang langsung... Singgah bengkel pak lang lagi?" Sariah ingin tahu. Hampir maghrib baru nampak Toyota Hilux biru membelok masuk. Bertuah punya cucu.

"Jumpa Umar dengan Farid tadi. Lepas tu kami pun lajak la sembang di tempat lain. Lama tak jumpa depa, kan... Jadi panjanglah bercerita. Tok masak apa? Lapar la pula." Jimin mula mengusap perut.

"Tak masak... Nanti kita pergi makan di rumah Pak Ucop," jawab tok.

Aduhai... Pak Ucop lagi. Bila agaknya bab kenduri Pak Ucop ni akan tamat? Sengaja Sariah tak masak. Kalau ikutkan, dia sendiri malas nak ke sana sekali lagi. Tapi salah Jimin juga, pandai cari peluang mengelak. Padan muka kau, Jimin! Natijahnya tok akan usung dia lagi ke tempat sama. Sariah mana pandai putus asa. Perkataan itu tak pernah timbul dalam kamus hidupnya.

"Lekas. Nanti habis lauk. Tukar pakai kain pelekat... Baju Melayu," gesa Sariah apabila melihat Jimin masih meniarap di atas tikar sambil melayan telefon. Ingatkan Jimin dah siap, rupa-rupanya sibuk membelek benda alah tu.

"Malaslah, tok. Malu tau dua tiga kali pergi rumah orang."

Sariah yang masih bertelekung mula menjeling. Ha... Bab menjeling ni, siapa pun tak boleh lawan tok Jimin. Dia punya jeling tu, ayam pun boleh terbang. Sebab itu arwah tok wan jarang nak membalas cakap. Jelingan tok tu boleh membunuh perasaan. Ampun!

"Hang pi tukar baju la ni juga," arah Sariah. Suara perlahan tetapi ada ketegasan.

Jimin bingkas bangun, mengenakan baju T Pagoda dan berkain pelekat. Baju Melayu? Memang Jimin tak bawa balik... Nak ke kenduri esok pun Jimin hanya sediakan kemeja dengan jean. Ala, singgah makan aje pun, buat apa nak segak sangat. Entah-entah, mak cik-mak cik lain pun terbang dengan baju kelawar.

"Tok, jangan lama-lama sangat... Lepas kita makan, balik terus tau," bisik Jimin. Sariah melajukan langkah. Dia pantang betul bila cucu pula yang bagi arahan.

"Tak payah sibuk nak ajar aku. Ikut sajalah." Sariah menarik lengan Jimin ajak ikut jalan sekali. Kalau dia lari lagi sekali, lagi susah nak cari! Jimin, Jimin. Sabar, okey!

Suasana malam di rumah kenduri memang meriah. Macam nak sambut raya. Orang-orang tua di sini cukup menjaga ukhuwah sesama mereka. Pagi pun jumpa, petang pun ada dan malam pun menjamu selera sekali. Bayangkan kalau Jimin yang kahwin, memang meriah macam ni kut agaknya.

Jimin menapak ke bahagian kanopi kumpulan lelaki. Makanan dalam dulang siap tersedia. Jimin menelan air liur... Rezeki jangan ditolak. Malam-malam macam ni ada sambal ayam, gulai ikan temenung sekali acar limau dan sambal belacan dengan ulaman... Pergh! Perut memang dah lama minta diisi.

"Jemput makan, Abang Jimin... Mak suruh hantar nasi tambah. Kalau sedap, tambahlah," tegur mesra Aulia, bakal pengantin. Jimin mengangkat wajah. Hanya senyuman dilemparkan. Besar dah budak hingus hijau ni. Masa kecik nampak hodoh, bila anak dara terbitlah juga kemanisan.

Aulia menolak pinggan nasi tambah dekat dengan Jimin. Mesti ada yang memerhati tengok dia melantak tadi, sebab tu cepat-cepat suruh hantar nasi tambah. Elok jugalah, tak payah dia berjalan sendiri pergi ambil.

"Abang Jimin." Aulia masih tidak berganjak. Sekali lagi Jimin mengangkat wajah memandang gadis itu. Nak makan sekali ke? Isy, takkan kut pengantin nak makan dengan jantan lain? No! No!

"Abang Jimin bila nak kahwin?" tanya Aulia, tersedak Jimin dibuatnya. Mujur tak tersembur nasi ni, kalau tidak, berjeragat wajah tu esok. Ya ampun, dik... Soalan tu membuatkan Jimin rasa tercekik. Kenapa tak tanya saja soalan bila nak mati? Mentang-mentanglah jodoh dia sampai esok, sibuk bab orang lain.

Jimin berkira-kira apa jawapan paling sesuai. Pantang betul dia kalau orang asyik tanya benda yang sama. Manalah dia tau bab jodoh ni. Kalau dia tahu, dah lama Toyota Hilux dia boleh buat ofis kecil untuk menilik jodoh. Jimin tersenyum. Saat otaknya masih mampu merencanakan sesuatu...

"Aulia sudi ke kalau abang ajak nikah?" Soalan Aulia dibalas dengan soalan. Nah, Jimin mula menggatal.

"Eh, abang ni... Aulia kan dah nak kahwin esok. Gatal la abang ni." Aulia mula menunjukkan rasa kurang senang. Ha! Tahu pun. Masa orang tengah makan sibuk bertanya itu ini. Masa tadika dulu, memang tak belajar pasal adab ke?

"Eh... Kalau abang yang gatal, dah lama abang kahwin tau. Bini abang boleh tolong garukan... Ini Aulia yang jalan dulu... Esok-esok hilanglah gatal tu kalau cik abang hang tolong garu." Jimin sengaja bertentang mata dengan Aulia sambil tersengih sinis.

"Patutlah tak ada orang nak... Muka aje handsome... Mulut tak ada insurans... Sengal!" ujar Aulia yang terus mengambil semula pinggan nasi tambah yang diletakkan di tepi meja. Meluat!

Jimin menyimpan ketawa. Dalam rasa puas hati, sakit juga hati bila nasi tambah tadi dibawa lari orang.

Buruk siku kau, Aulia. Padan muka juga sebab kena hambur tadi. Itulah, lain kali jangan beria-ia sangat nak tunjuk mesra. Umur baru setahun jagung sibuk hal orang tua. Eh! bukan tua, cuma terlebih sikit aje.

Jimin tengok nasi dah habis, lauk ada lagi... Ah, ratah lauk sajalah. Tiba-tiba memikirkan hingus Aulia masa budak dulu membuatkan tekaknya meloya. Wekkk!

Itulah Jimin, depan Sariah, dialah cucu terbaik dari ladang. Kalau di belakang, memang sesuai gelaran budak setan melekat rapat kepadanya. Tutur katanya akan menyakitkan hati. Tidak kira lelaki atau perempuan, Jimin akan basuh kaw-kaw.

Single Terlalu Lama!Where stories live. Discover now