"Ya. You cantik. Semuanya tentang you sangat cantik." Hairul memuji.

Terasa tangan kirinya diusap lembut. Dibiarkan sahaja seketika sebelum tangannya ditarik perlahan.

Kedua-dua belah tangan memegang kepala. Kepalanya sakit. Tidak mahu dia ingat. Dia mahu hapuskan suara Hairul. Entah berapa banyak air mata yang mengalir turun saat itu. Mata Ally terpejam rapat. Keningnya berkerut, merasakan dia bukan wanita terpelihara.

Sakit! Sakit! Sakit! Hatinya sakit. Ally peluk tubuh. Digosok kedua-dua bahunya. Mengapa begini hidupnya? Mahu disalahkan siapa? Takdir? Diri sendiri? Atau orang sekeliling?

Saat ini dia teringat akan Jad. Ally gigit bibir. Wajah yang sentiasa tegang itu sentiasa menghantui dirinya ke mana sahaja dia pergi. Tetapi mengapa jasad itu tidak muncul lagi di sini? Sedikit sebanyak dia lega kerana merasakan dia punyai seseorang untuk berlindung.

Tapi... Ah! Lelaki semuanya sama. Tak guna.

JAD peluk tubuh. Wajah lelaki yang berdiri tidak jauh darinya dipandang. Sedaya upaya dia cuba berlagak tenang, mengawal rasa amarah yang kian membuak mahu melepaskan diri.

"Kau Hairul?" Jad bersuara. Daripada maklumat yang dia perolehi daripada Razin, dia yakin sememangnya lelaki ini adalah Hairul. Lelaki yang punyai hubungan dengan Ally.

"Kau nak apa?" Hairul bersuara. Nadanya datar. Dia rasa dia tahu apa yang lelaki ini inginkan.

"Jadi kau memang Hairul?" Jad bertanya lagi. Kedua-dua tangannya dibawa bersembunyi dalam poket seluar. Selangkah kaki dibawa menapak ke hadapan. Perlahan-lahan dia mahu merapatkan jurang antara mereka. Tikaman anak mata Jad tepat pada anak mata Hairul buatkan hatinya dicengkam rasa sakit.

"Kau yang hantar video Ally pada aku?" Sekali lagi Jad bertanya. Dia pasti inilah orangnya daripada apa yang Razin siasat. Dan dia nampak sendiri lelaki ini pernah datang mendekati Ally. Tapi dia tidak pasti di mana Hairul dapatkan nombor telefonnya.

"Tak tahu. Ally ke tu?" Hairul menyoal semula.

"Tak perlu berpura-pura sekarang ni." Ujar Jad tegang. Hairul sekadar memprovokasi. Tak perlu dia takut.

"Huh!" Bibir Hairul cunggit. Patutlah ada dua orang lelaki datang padanya. Berbual seperti tiada apa yang berlaku sebelum dia ditarik masuk ke dalam kereta. Patutlah dia dibawa ke kawasan kolam renang hotel ini. Tempat ini pasti sudah ditempah awal. Sungguh dia terasa bodoh dengan kelekaannya.

"Kenapa? Best tak?" Bibirnya senyum sinis. Memprovokasi lagi sekali. Dia kenal lelaki ini. Dia tahu 'jerung' yang berada di depannya ini. 'Jerung' Ally. Dan disebabkan lelaki ini dia terlepas Ally daripada dakapan. Sekelip mata Ally menjadi milik orang lain.

Jad ketap rahang. Selangkah lagi dia mara ke hadapan. Hairul masih lagi tidak berganjak. Berani menanti. Ini baru jantan.

"Handphone." Jad hulurkan tangan. Dia mahukan telefon bimbit Hairul. Dia tidak kisah apa yang disimpan Hairul. Dia hanya mahukan video Ally dihapuskan segera.

"Semudah itu?" Hairul jongket kening. Kedua-dua tangan dibawa bersilang di tengah dada. Dia pasti Jad mahukan video yang disimpan kemas. Berseronok tanpa mengambil video, bukanlah keseronokan nyata. Hujung-hujung dia juga yang untung.

"Kau tak rasa ke kau kena bagi sesuatu untuk aku bagi video tu pada kau?" Tangan dibawa menyeluk pada kocek seluar. Mengeluarkan telefon bimbit lalu ditayangkan. Riak sinis terpamer pada wajahnya.

"Kau nak apa?" Jad ikut rentak permainan Hairul.

"Duit." Kakinya tetap dipakukan tatkala tubuh Jad sudah hampir dengan dirinya. Dia tidak takut.

Dia SebenarnyaWhere stories live. Discover now