02

1K 53 0
                                    

JAD ketuk pintu kuat. Sudah beberapa kali jarinya menekan loceng. Namun hampa. Tiada tanda-tanda pintu akan dibuka. Bibir diketap rapat. Geram sungguh.

“Ally!” Suaranya kuat memanggil.
Tubuhnya ditampang dengan lengan di tepi pintu. Tangannya naik sekali lagi. Tidak dihiraukan dengan keadaan sekeliling. Biarlah ada yang terganggu dengan perbuatannya ini.

Klak!

Pintu dibuka dari dalam saat tangannya hampir mencecahkan permukaan pintu. Perlahan-lahan pintu terbuka sehingga menampakkan susuk tubuh di sebaliknya.

Jad pandang wajah yang muncul tanpa riak. Pandangan wanita itu sukar ditafsirkan.

Tanpa suara, Jad masuk ke dalam. Matanya galak memerhati segenap ruang. Masih dalam keadaan seperti sebelumnya.

“Kenapa lambat sangat buka pintu? Buat apa?” Soalan ditanya.

“I…”

Bicara Ally terhenti di situ. Hatinya gusar mendengar suara Jad yang agak dingin. Lagi pula kediaman ini bukan miliknya.

“Tadi dalam tandas.” Jawapan dengan nada datar. Suaranya sama dengan riak yang terpamer pada wajah. Tidak dia pamerkan gusar di hatinya.

Jad berpusing tubuh dan berdiri saling menghadap.

Tangan Ally naik membetulkan bathrobe yang dipakai, menutup bahagian dada yang terdedah.

“Kalau orang ketuk tu, buka pintu cepat-cepat.” Suara Jad naik memecah hening.

Ally diam. Dia dengar loceng ditekan tadi. Malah, dia juga dengar pintu diketuk orang. Tetapi punggungnya berat. Dia malas mahu bangun. Namun loceng yang berbunyi nyaring buatkan dia menapak ke muka pintu.

“Tidur lah tadi. Penat.” Jawabnya masih datar. Tidak tahu alasan apa yang boleh dilontarkan sebenarnya.

Jad bercekak pinggang sambil rahangnya diketap. Ally buat dia bimbang. Risau jika wanita ini sudah melarikan diri dari rumah. Satu hal lagi dia mahu mencari.

“Tadi kata dalam tandas, lepas tu kata tidur. Mana satu ni?”

“Dua-dua. Tidur, lepas tu bangun masuk tandas.” Ally membetulkan jawapan. Bangun sahaja dari tidur, tubuhnya sedikit terhuyung-hayang. Kepalanya juga pening.

“You nak apa?” Dia bertanya kemudiannya. Entah apa yang lelaki ini mahukan. Wajah Jad dipandang tepat.

“Tukar baju. Kita pergi makan.” Jad beri arahan. Matanya juga ikut berbalas pandang dengan mata bundar Ally.

Ally telan liur. Lelaki ini lupa agaknya bahawa dia hanya sehelai sepinggang datang ke sini.

Ally masih lagi statik. Perasaannya kosong. Kemudian dalam kiraan tiga, kakinya sudah melangkah ke sisi meja. Jarinya mula menarik tali bathrobe di pinggang. Mahu menukar pakaian seperti yang diarahkan.
Tiba-tiba tangannya dipegang dari tepi. Matanya melirik ke sisi. Memandang Jad.

“Bukan di sini.” Hampir sahaja buntang mata Jad melihat Ally yang menarik tali bathrobe yang dipakainya. Hampir nak tercabut dan terbuka.

Ally jongket kening. Wajah yang sedari tadi tidak beriak perlahan-lahan berubah. Ada senyuman sinis yang disembunyikan.

“Oh, I ingatkan you dah biasa tengok.” Tangan lelaki itu dipegang. Dielus lembut. Sengaja.

“Jangan naif sangat, Jad.” Nada suaranya masih lagi sama. Dia pun tidak ingin menukar pakaian di hadapan lelaki ini. Ingat dia apa?
Ally mula ikat kembali tali bathrobe yang dipakainya.

Jad pandang wajah Ally. Tajam. Bicara wanita ini sinis, membuatkan hatinya berlahar. Pergerakan tangan Ally ditahan.

“I tak senaif yang you sangka. You pun tahu.” Kedua-dua hujung tali bathrobe dipegang oleh tangan kasarnya. Badannya dirapatkan buatkan Ally berundur setapak.
Ally kawal riak wajahnya. Mujur simpulan pertama tali itu belum terlerai.

“I boleh jadi sebaliknya.” Jad ketatkan simpulan pertama. Matanya dilirik pada wajah Ally. Cantik. Seindah namanya. Tapi sayang, hati tidak secantik nama dan wajah.

“Jangan main-main.” Kali ini simpulan kedua diikat reben, dicerut kuat. Seketika matanya jatuh pada tulang selangka Ally.

Ally ketap bibir. Perutnya sakit menahan senak jerutan. Sehingga dirasakan tidak mampu bernafas.

“Lepaslah! Sakit!” Tangan Jad ditepis dan pantas simpulan dileraikan. Nafasnya tertahan. Dadanya naik turun.

Tangannya sekali lagi membetulkan bathrobe yang dipakai, lebih-lebih lagi pada bahagian atas. Dia perasaan akan anak mata Jad yang melirik pada bahagian tersebut.

“Siap sekarang.” Tegas Jad. Dia malas mahu melayan drama yang entah apa-apa. Perutnya lapar.

“I tak ada baju.” Ally peluk tubuh. Dia mahu duduk sahaja di dalam kondo ni, malas mahu keluar.

“Baju semalam kotor.” Sambungnya lagi. Memang dia hanya ada sepasang baju yang dipakai semalam sahaja.

Apa yang berlaku, di luar jangkaannya. Tak menyangka Jad akan bawa dia ke sini. Baju yang dipakai pun bukan baju santai tetapi blaus tanpa lengan dan midi skirt.
Wajah Jad tegang. Nampak sangat Ally sengaja melengahkan masa. Apa yang kotor sangat?

“Kotor je, tak koyak pun.” Beritahu Jad. Hatinya masih berapi mengenangkan peristiwa yang berlaku. Lagi-lagi melihat wajah Ally, hatinya makin panas.

“I minta orang bawakan baju.” Telefon bimbit dikeluarkan dan nama Razin dicari.

“Tak payahlah Jad. Jangan nak paksa.” Jelingan tajam diberikan.

“You tak nak makan, lepas tu kebulur dekat sini?” Jad mendengus geram.

“I tak lapar.” Ally menolak. Perutnya tidak terlalu lapar. Hatinya juga bungkam seribu. Mengapalah Jad tidak bawa sahaja makanan ke sini? Menyusahkan!

“I tak ada masa nak melayan kerenah you lah.” Wajah Jad berkerut-kerut. Kedua-dua tangannya sudah naik mencekak pinggang. Begini rupanya perangai wanita ini. Sudah ditolong, masih tidak tahu dek untung.

Ally menjeling. Hatinya sakit dengan perangai Jad. Geram dirasakan saat ini. Kalau dilawan, pasti dia tidak akan menang. Dia sudah jadi tawanan di rumah ini.

“Tu, pakai sweater I. Tutup apa yang you rasa perlu.” Arahan diberi lagi. Pandangan Jad terarah pada sweater kelabu yang diletakkan di belakang kerusi. Renungan tajam diberikan pada Ally. Nak minta Razin bawa pakaian baru, mungkin lambat.

Ally ketap bibir. Pandangannya dilarikan. Terasa malas mahu menapak dengan kasut tumit tinggi di kaki. Benci.

“Pergi siap. Makan. Lepas tu baru I fikir nak buat apa.” Jad labuhkan punggung di atas sofa. Mendepakan kedua-dua belah tangannya.

Ally mendengus. Tubuhnya berlalu menjauhi Jad.

Mengapa dia mesti ikut kata-kata lelaki ini?

USAI bersarapan, Ally ditinggalkan bersendirian lagi. Suaminya turun semula sebaik menukar pakaian.
Suami?

Terbit senyuman sinis pada ulas bibir Ally. Atau boleh dia katakan senyuman kecewa.

Entah! Perasaannya bercampur baur. Keadaannya seperti terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau. Baru satu hari, hidupnya serupa cacing kepanasan. Dia mahu keluar dari sini.

Stuck!

Epal yang berada di atas meja diambil. Ally bergerak ke arah tingkap. Langsir diselak sedikit. Pandangannya jatuh pada kolam renang yang berada di bawah.
Matanya mengecil memandang sesuatu yang berada di kolam tersebut. Yang ada hanya seorang sahaja. Tiada pengunjung lain. Yang boleh hatinya kata, dia kenal orang itu. Namun dia tidak mahu yakin sangat, takut tersalah orang.

Ah! Tak mungkin dia salah. Yang di bawah itu pasti dia. Hatinya berkata begitu. Bebola matanya mengikut ke mana tubuh itu bergerak. Hujung kanan sehingga ke hujung kiri kolam. Begitulah sebaliknya.

Epal dikunyah lagi. Ally masih lagi memerhati sebelum matanya tiba-tiba terpejam rapat. Wajahnya berkerut seribu menahan sakit.

Dia ketap bibirnya kuat. Lantas Ally henyakkan tubuh di atas kerusi. Hatinya kosong. Sekosong suasana di sekitarnya. 






Dia SebenarnyaWhere stories live. Discover now