"Ohh..." Wajah lelaki yang menegur tadi perlahan-lahan bertukar riak.

"Diorang ok tu. Saja buat kecoh kejap. Maaf." Ujar Razin sambil tersenyum nipis. Tangannya menepuk-nepuk perlahan bahu lelaki itu. Dikerling seketika ke arah Jad yang masih berwajah tegang.

"Zin! Tahan pintu ni!" Jad bergerak ke tempat duduk pemandu apabila Razin datang mendekat.

Tadi cubaannya mengurung Ally di dalam, gagal. Pantas wanita itu mahu meloloskan diri. Memang tidak sempat dia kuncikan pintu.

"Beres, bos." Razin mengikut arahan. Pintu ditahan dari luar. Tak sampai hati sebenarnya dia tengok Jad lakukan perempuan sebegitu rupa. Hakikatnya, dia sendiri tidak tahu pucuk pangkal cerita.

Sebaik sahaja pintu dikunci, kereta Jad meluncur laju. Meninggalkan dia keseorangan di situ.

Razin melihat daripada kejauhan. Kepalanya digelengkan. Dia sendiri tidak faham sebenarnya dengan Jad. Apa yang dimarahkan sangat?

SKRIN telefon dipandang sekilas dan stereng kereta dihentak kuat. Berkali-kali.

"Setan mana yang hantar ni? Kau jawab!" Kuat suara Jad melantun. Seiring dengan kelajuan kereta yang semakin bertambah.

Ally angkat muka. Badannya menggigil saat telefon dicampak ke atas riba.

"Kau tengok apa dalam tu! Tengok!" Tangannya juga ikut tunjuk pada telefon di atas riba Ally.

Lagi sekali bahu Ally terangkat dengan tengkingan Jad. Dia cukup takut. Apa salahnya?

Telefon dibuka. Skrin menyala terang. Terus terpampang video.

Tangannya menekan butang, memainkan tayangan itu. Nafasnya terhenti. Wajah Ally memerah tatkala video dimainkan. Tangannya menggigil begitu juga dengan mulutnya yang terlopong. Dia nampak wajahnya. Dia tak sanggup nak lihat lagi. Pantas telefon dicampak ke bawah.

"Dah tengok? Siapa dalam tu?!" Suara Jad masih kuat. Tiada tanda-tanda dia akan sejuk. Tidak sama sekali.

"Bu... bukan." Ally gelengkan kepala. Anak tekaknya terasa kesat. Matanya berkelip-kelip cuba membuang aksi yang terakam.

"Bukan kau? Kau buta? Tu muka kau!" Jad menjerkah.

Marahnya tidak dapat ditahan. Lampu isyarat diberi lantas kereta diberhentikan di bahu jalan. Nyaris tubuh Ally tercampak ke hadapan apabila kereta berhenti secara mengejut.

Ally ketap bibir. Dia kecut perut dengan amarah lelaki di sebelahnya ini. Tiada kata yang mampu dia luahkan pada saat ini. Tangan kirinya dibawa ke dada, memegang leher baju, menutup belahan dada yang terdedah. Terasa maruahnya terobek. Kasar sekali. Terasa dia tanpa seurat benang sekarang ini.

Jad kacip giginya, membentuk rahang tajam. Nafasnya laju. Muka diraup kasar. Tangannya digenggam. Khuatir jika dia hilang kawalan.

"Siapa yang hantar?" Ally membuka mulut. Lambat-lambat pandangannya dibawa melihat wajah di sebelahnya. Dia takut untuk melihat wajah Jad.

"Nak tanya aku lagi, kau yang dalam tu! Memang kau tahulah kan." Bergetar suara Jad.

Bahasanya bertukar. Dia teramat berang saat ini. Telefon di bawah kaki Ally dicapai. Dia sendiri tidak tahu siapa pengirim video tersebut. Private number. Tapi dia yakin bahawa dia bakal bersemuka dengan pengirim itu tidak lama lagi. Tunggu dan lihat. Pasti!

Ally menunduk. Bohonglah kalau dia berkata tidak. Sudah terang lagi bersuluh. Dia lah perempuan di dalam video itu. Ini mesti kerja Hairul. Jantan tak guna! Hati Ally mendongkol geram.

Dia SebenarnyaWhere stories live. Discover now