"Mawar pergilah."

Mawar tersedar saat Engku Naima menyentuh kekura tangannya. Dia mengangguk sekali. Tanpa sepatah kata, dia ikut saja langkah Engku Raid yang sudah menunggu di luar.

Angin dingin mula menggeletek ketika dia berdiri di hadapan Engku Raid. Merasakan perubahan atmosfera, dia tahu bahkan langit juga marah kepadanya.

"Engku Raid,"

"Duduk."

Mawar tersentak lalu terus melabuhkan punggung di ruang kosong bersebelahan Engku Raid. Bebola mata memandang ke langit, menangkap bayang hujan yang akan tiba tak lama lagi.

Engku Raid menghela nafas. Memejamkan mata buat seketika, dia biarkan angin sepoi-sepoi bahasa menampar kulit pipi dengan penuh kelembutan.

"Beri saya masa. Saya—"

"Masa? Untuk apa? Untuk apa kau buang masa untuk memilih sedangkan kau tahu, jawapannya hanya ada satu." Engku Raid membuka mata lalu pandangannya dikalihkan ke sebelah.

Menatap Mawar seolah-olah tubuh gadis itu sudah berada dalam pelukannya. Andai hati mampu berbicara, mahu saja dia jerit kepada dunia bahawa Mawar adalah miliknya.

Bibir Mawar sudah bergerak-gerak. Gadis itu menghela nafas panjang.

"Kau masih nak berfikir? Jadi isteri aku atau selamanya jadi hamba aku."

Embun jernih yang bertakung di tubir mata, Mawar tumpahkan beberapa titis. Bibir diketap rapat, menangis tanpa suara. Untuk beberapa saat, kedua-duanya saling berpandangan, hanyut dalam kebisuan yang melemaskan.

"Baiklah. Saya ikut je apa yang awak nak buat. Cuma saya ada satu permintaan." renungan penuh berharap Mawar membuatkan Engku Raid lemas dalam melayan perasaan.

Akhirnya, Engku Raid mengangguk. Kali ini dia akan cuba memenuhi permintaan Mawar. Jika Mawar mendengar cakap, pasti dia akan melayan gadis itu selayaknya.

"Perkahwinan kita. Saya tak nak ada sesiapa pun tahu kecuali keluarga terdekat. Dan, seminggu sebelum perkahwinan kita, saya tak nak awak ganggu saya. Jangan cuba jumpa, call atau mesej saya. Itu saja saya harapkan."

Air muka Mawar jelas melukis kepedihan yang maha dalam. Tetapi bibir gadis  itu masih mengukir sepenggal senyuman ketika dia bercakap. Embun jernih yang terkumpul di tubir mata, dia hapus menggunakan lengan baju.

"Kalau tak ada apa-apa, saya masuk dulu. Nanti saya cakap dengan mama dan papa."

"Mawar, jadi isteri aku tak bermakna hidup kau musnah. Aku janji akan bahagiakan kau, trust me." Tangan Mawar sempat dipegang.

Mawar menarik kembali tangannya seraya melontarkan senyuman kelat. Usai itu, dia terus melangkah pergi.

Meninggalkan Engku Raid yang rasa terhenyak melihat senyuman Mawar. Senyuman yang penuh dengan emosi kedukaan.

Lelaki itu akhirnya mengeluh lemah. Melalui ekor mata, dia lihat Mawar yang mengelap mata. Mata dipejamkan lalu wajah didongakkan ke arah langit.

Terasa semakin kasar bayu menghentam wajah. Tidak lama kemudian, ada rasa titisan cecair yang menitis di wajah. Mata dibuka kembali.

Di dada langit, awan cerah sudah menyelinap di sebalik awan gelap ketika beredar. Bayang hujan yang tadinya sekadar bayang, kini sudah menjadi nyata.

Engku Raid tersenyum segaris. Mengelap wajah, punggung terus dijauhkan daripada kerusi. Nafas dihela berat lalu kaki melangkah ke dalam rumah.

Meskipun baru berada di muka pintu, telinganya sudah dapat mendengar suara tawaan keluarganya di ruang tamu. Mawar sudah memberitahu keputusannya.

Syukurlah.






Mawar Milik Raid[C]✅Nơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ