Baru sahaja dia ingin mengetuk pintu, bunyi   tombol pintu dipulas membuatkan dia jadi terkaku seketika. Dia genggam erat tali beg kertasnya tadi.

Semua itu barang yang dibeli oleh Engku Raid untuknya.

"Kamu buat apa berdiri depan pintu ni, Mawar?" Suara garau Tuan Qash jelas terngiang di pendengaran Mawar.

Bibir Mawar sudah terbuka ingin menjawab, namun terkatup kembali. Dia tersengih sahaja. Pantas lengan Tuan Qash dirangkulnya manja.

"Mawar rindu papa..." lain yang bermain di fikiran, lain yang disuarakan.

Berkerut dahi Tuan Qash melihat tingkah manja anak gadisnya itu. Dia sekadar tersenyum kecil. Puncak kepala Mawar digosok lembut.

"Papa pun rindu anak papa ni..."

Mawar senyum dalam diam. Selepas beberapa minit tiada sesiapa yang bersuara, akhirnya Mawar melepaskan lengan Tuan Qash. Dia pandang tepat ke dalam anak mata papanya.

"Papa, ada sesuatu yang Mawar nak cakap dekat papa."

Sebelah kening Tuan Qash ternaik. Melihatkan Mawar yang menekur lantai itu membuatkan dia rasa hairan tiba-tiba. Gadis itu terlihat seperti memendam sesuatu.

Tuan Qash menunggu Mawar menyambung kata. Kesunyian yang melanda membuatkan  Mawar jadi gugup. Berulang kali dia menghembuskan nafas panjang.

Mawar sudah bertekad. Kali ini dia mahu memberitahu segalanya kepada Tuan Qash. Dia tidak boleh menanggung semua itu seorang diri. Mawar takut 'duri' itu akan membunuhnya secara perlahan-lahan.

"Papa, sebenar—"

Kata-kata Mawar terhenti saat mendengar deringan telefon Tuan Qash. Dia mengeluh lemah. Kepala ditundukkan kembali seraya mengetap bibir.

"Takpalah. Papa busy. Mawar masuk bilik dulu. Assalamualaikum." Mawar terus berlari anak masuk ke dalam biliknya.

Tuan Qash yang ditinggalkan di situ sekadar mengerutkan dahi, menghantar pemergian Mawar dengan seribu tanda tanya. Kening yang tidak gatal digaru. Pantas dia masuk kembali ke dalam bilik kerjanya dengan telefon yang dilekapkan ke telinga.







Ops! Esta imagem não segue nossas diretrizes de conteúdo. Para continuar a publicação, tente removê-la ou carregar outra.







Engku Raid melabuhkan punggung di atas sofa kulit itu. Nafas dihela panjang seraya memejamkan mata. Tubuh disandarkan, menyelesakan kedudukan.

Mawar Milik Raid[C]✅Onde histórias criam vida. Descubra agora