Bab 3

170 20 0
                                    

Mak Rahmah yang baru saja hendak keluar dari pintu masjid ternampak kelibat seseorang yang sangat dikenalinya. Laju saja dia mendapatkan orang tersebut.

"Assalamualaikum, Saedah!" Tegur Mak Rahmah sambil menepuk perlahan bahu Saedah, anak jiran sebelah. Suka dia melihat si anak dara seorang ini. Rajin betul dilihatnya ke sana ke mari menolong makcik-makcik bayanya menuruni tangga masjid.

Saedah menoleh saat dia sedar seseorang menegurnya dari belakang. Terus senyuman terukir dibibir saat melihat Mak Rahmah tersenyum ke arahnya.

"Waalaikumsalam, Mak Rahmah. Nak Saedah tolong pimpin mak Rahmah turun dari tangga masjid juga ke?" Gurau Saedah yang sudah memegang kemas pergelangan tangan Mak Rahmah. Tergelak dia melihat reaksi mak Rahmah.

"Hish, kamu ni. Mak Rahmah kuat lagi nak turun pun. Ada pula dia ni bergurau dengan kita ya?"

"Bukan selalu nak bergurau. Mak Rahmah seorang saja ke masjid ini?" Saedah bertanya bagi memanjangkan lagi perbualan antara mereka berdua.

"Taklah. Mak Rahmah datang dengan suami mak Rahmahlah. Si Khai pun ada sekali. Tengah tunggu mak Rahmahlah kut dekat kereta. Kamu ni, seorang saja ke? Tak nampak pun mak kamu?"

"Mak lama dah balik. Saya aje yang tinggal sekarang. Saja nak buat 20 rakaat untuk tarawih pertama ni. Lepas ini, entah boleh atau tidak nak buat sampai 20 rakaat," balas Saedah penuh sopan dan senyuman yang sentiasa terukir dibibirnya.

"Oh, begitu. Nak tak balik dengan kami? Kesian pula mak Rahmah nak tengok kamu balik seorang diri."

"Eh, tak mengapa. Saya balik naik motor. Mak Rahmah baliklah dulu. Saya ada urusan kejap nak kena selesaikan sebelum balik. Saya pergi dululah ya? Takut lambat pula selesai urusannya nanti. Assalamualaikum. Hati-hati tau Mak Rahmah masa nak turun tangga ni. Takut tergelincir pula."

"Iyalah Saedah. Mak Rahmah balik dululah ya? Waalaikumsalam. Kamu pun sama, hati-hati sikit. Ingat, awak tu perempuan," pesan Mak Rahmah saat Saedah mencium tangannya. Suka dia tengok Saedah. Kasar bagaimana pun perangainya, adab dengan orang tua tetap dijaga.

"Baik. Pergi dulu Mak Rahmah. Babai!" Ujar Saedah dan berlalu pergi masuk ke dalam masjid semula. Tergesa-gesa dia sehingga tidak perasan ada seorang lelaki sedang berjalan menghampiri tempat dia dan Mak Rahmah berborak tadi.

"Kenapa Saedah tu ibu? Asal masuk dalam masjid semula?" tanya lelaki itu saat melihat Saedah berlari anak masuk ke dalam masjid.

Mak Rahmah menoleh. "Dia ada urusan katanya. Yang kamu ni, sudah kenapa ke mari? Bukan ke ibu cakap tunggu aje ibu dekat kereta?"

"Khai memang tunggu dekat kereta tadi tapi abah tu. Suruh Khai tengokkan ibu. Katanya takut ibu melencong berborak dengan kawan-kawan ibu pula," balas Khai sambil bibirnya dijuihkan ke arah keretanya berada.

"Abah kamu tu. Bukannya sebab itu. Dia suruh ibu balik awal nak suruh ibu buatkan kopilah itu untuk dia balik nanti. Macamlah ibu tak tahu," mak Rahmah berkata meluat. Kononnya takut dia berborak, padahal nak mengopi sebelum masuk tidur! Orang tua tu, tua-tua makin bertambah mengada-ngada!

Khai tertawa. Ada sajalah ibu dan abahnya ini! Mesti ada aje benda yang nak digaduh dan dibalahnya. Dia terasa terhibur dengan gelagat ibu dan abahnya itu.

"Abah, biasalah ibu. Sebelum tidur mesti ada kopi! Khai pun nak makan kuih ibu buat tadi. Jom, ibu kita balik. Sini Khai tolong. Nanti tergelincir pula," ujar Khai dan dia sudah mula memapah ibunya. Risau juga dia kalau-kalau ibunya jatuh. Sudahlah hanya dia aje anak yang ada. Hendak mengharapkan abangnya Ramadhan, jauh panggang dari api! Sejak-sejak duduk luar negara tu, berapa kali aje abangnya itu menelefon mereka sekeluarga. Lupa daratanlah tu! Apa seronok sangat duduk luar negara sampai tak nak jejakkan kaki ke Malaysia beberapa tahun. Awek seksi ramailah kut penyebab tak nak balik! Dasar miang, kutuk Khai dalam hati, melepaskan rasa geramnya terhadap Ramadhan.

"Kamu ini... sama aje dengan Saedah tu. Risau betul ibu terjatuh," ujar Mak Rahmah mengingati keprihatinan Saedah terhadapnya sebentar tadi.

"Ibu, mestilah risau. Khai ada seorang aje ibu dalam dunia ni melainkan kalau abah kahwin baru. Dapatlah ibu lebih dari satu," ujar Khai bergurau kasar dengan Mak Rahmah. Dia tersengih memandang Mak Rahmah.

"Mulut tu, ada yang kena cabai balik nanti! Anak beranak sama aje gatal!" marah Mak Rahmah terjegil matanya memandang Khai. Berani anaknya nak ibu baru lagi? Khai hanya ketawa aje mendengar marah ibunya itu.

"Okey, Khai gurau aje. Mestilah Khai risau. Ibu saja yang Khai ada selain abah. Lagipun, ibu dah berumur kena jaga kesihatan. Nanti Khai yang menangis kalau tengok ibu sakit," luah Khai kali ini, sememangnya jujur dari hati. Anak mana yang tidak risau dengan keadaan ibu dan ayahnya? Lagi-lagi apabila mereka sudah meningkat usia.

"Kamukan ada abang Adan kamu juga. Apa pula hanya ada abah dengan ibu saja."

Khai diam. Ibunya ini, si anak itu sudah lama tinggalkan mereka sekeluarga, masih lagi nak dikenang orang itu. Tidakkah ibunya itu terasa atau berjauh hati dengan Ramadhan? Sudahlah abangnya itu saja yang sering dibanggakan semenjak dulu. Kononnya, anak aku pandai sebab dapat belajar diluar negara. Siap ambil Master lagi. Tahulah dia ini hanya graduan diploma sahaja.

"Abang Adan? Dia bukan sesiapa pun. Biarkan ajelah dia tu dekat sana. Bukannya dia ingat kita pun. Telefon semata-mata benda lain."

Mak Rahmah mengeluh dalam diam. Dia tahu yang Khai mesti berjauh hati dengan semua benda yang terjadi. Salahnya juga kerana terlalu melebihkan Ramadhan sehingga Khai sendiri diperlekehkannya. Hendak merubah keadaan, dia sudah terlambat. Khai memang betul-betul sudah membencikan abangnya sendiri.

Ibu harap sangat semuanya akan kembali seperti sedia kala. Ibu harap sangat yang keluarga kita macam dulu-dulu sebelum ibu mula berat sebelah dengan Khai, luah Mak Rahmah dalam hati. Sayu hatinya tiba-tiba.

"Eh, jomlah ibu. Kita balik. Kesian abah tunggu kita tu. Lagipun, Khai tak sabar nak makan kuih ibu buat tu," ujar Khai dan terus mengiring langkah Mak Rahmah ke keretanya.

Selamat Datang Ramadhan! [ C ]Where stories live. Discover now