BAB 7 - Waris raja

716 26 0
                                    




12 jam sebelum itu...

Puncak Gunung Mengambang

Selepas paluan beduk yang mengejutkan seisi Pulau Sri Kemboja, rombongan besar Puak Bara Pawaka dari Gunung Bakar datang untuk meraikan Sultan Sina turun takhta di puncak Gunung Mengambang. Mereka datang secara besar-besaran. Jalan utama naik ke gunung itu dipenuhi kuda-kuda hitam yang menjadi tunggangan laksamana-laksamana dan hulu balang istana mereka.

Yang ditemani mereka ialah Putera Arjuna, pemerintah besar di Gunung Bakar. Ayahanda kepada Putera Andika. Lelaki berusia 150 tahun itu kelihatan garang dengan misai dan janggutnya yang mencecah lantai. Sebentuk paip emas dihisap pemerintah berdarah raja itu. Gondola-gondola besar mereka tiba ke istana besar Kerajaan Purnama Sari. Disambut baik oleh Sultan Sina yang baru sahaja turun daripada takhta. Pertemuan mereka, diadakan secara sulit di dalam balairung istana.

Persembahan tarian diadakan untuk menyambut rombongan besar itu. Dayang-dayang istana berpakaian serba cantik, menari dengan penuh lemah gemalai dikelilingi oleh para tetamu dan pembesar-pembesar istana.

"Apa khabar, kanda?" tegur Putera Arjuna.

"Baik adinda, baik juga kanda." jawab Sultan Sina.

"Tentu sekali kanda ingin tahu maksud kehadiran adinda ke sini bukan?"

Soalan itu, membuatkan Sultan Sina yang sudah beruban dan berjanggut itu terdiam seketika. Tentu sahaja dia faham maksud saudara semoyangnya itu. Sultan Sina tidak mempunyai cahaya mata, bagaimana mungkin beduk dipalu sebanyak lapan kali? Sepatutnya keturunan raja Mengambang telah habis, itu yang semua orang tahu. Termasuk rakyat-rakyat mereka sendiri. Di Pulau ini, raja baru harus dilantik apabila raja lama sudah memerintah selama seratus tahun. Tidak perlu mangkat dahulu seperti kerajaan-kerajaan lain. Namun syaratnya, harus lah memiliki anak, cucu atau cicit yang boleh menjadi penyambung takhta.

Dari tepi balairung, leka pembesar-pembesar istana dan putera puteri muda dari Puak Bara Pawaka menikmati persembahan tarian oleh dayang-dayang istana yang cantik jelita. Namun tidak Putera Andika. Dia cuba memasang telinga, mendengar setiap butir perbualan antara dua pemerintah besar itu.

"Kanda punyai waris." ucap Sultan Sina, membuat Putera Arjuna berubah riak.

"Bagaimana mungkin, kanda? Adakah diam-diam adinda permaisuri mempunyai anak?" tanya Putera Arjuna lagi. Setahu dia, Permaisuri Zulaikha tidak mempunyai cahaya mata.

"Kanda mempunyai waris, namun bukan dengan adinda permaisuri. Tetapi dengan rakyat biasa yang kanda kahwini."

Putera Arjuna tersentak. Dia menahan marah yang membuak tiba-tiba. Laknat! Tidak pernah ada di dalam keturunan mereka selama ribuan tahun, seorang raja memperisterikan rakyat biasa. Apatah lagi ingin menjadikan anak hasil perkahwinan itu sebagai raja? Tidak mungkin! Dia tidak akan biarkan!

"Apa kanda sedar apa yang kanda bicarakan sebentar tadi? Ini boleh menggangu gugat kesucian darah raja!" bentak Putera Arjuna.

"Sejak bila ada di dalam perjanjian lama dengan Maharani Duyung yang seorang raja tidak boleh dilahirkan rakyat biasa? Kanda menikahi dia, dan waris puterinya itu akan menjadi penerus keturunan kanda." terang Sultan Sina, menjelaskan fakta.

"Puteri? Kanda ingin mengangkat seorang puteri menjadi raja?" tanya Putera Arjuna lagi, tidak percaya.

"Apa masalahnya adinda?" Sultan Sina berubah nada. Dia tidak senang disoal sebegitu rupa. Seolah-olah, Putera Arjuna mempersoalkan kewibaannya sebagai seorang raja.

"Di mana puteri itu? Di mana kanda sorokkan waris kanda itu?" Putera Arjuna bertanya. Merah mukanya ingin menahan marah.

"Itu bukan urusan adinda. 7 hari dari sekarang, waris kanda itu akan tiba dan ditabal menjadi ratu baru Kerajaan Purnama Sari."

"Kalau begitu permainan kanda, nampaknya adinda tidak boleh berdiam diri sahaja. Langkah mayat adinda dan seluruh keturunan adinda dahulu, baru lah boleh pulau ini beratukan seorang puteri. Sepatutnya takhta ini berpindah kepada Andika, putera sulung adinda."

Atas kecuaian pemilihan bahasa oleh Sultan Sina, sedarlah Putera Arjuna yang pewaris takhta Sultan Sina itu tidak berada di puncak Mengambang. Putera Arjuna bangun dari singgahsana. Baginda mengarahkan seluruh pembesar dan laksamana-laksamana yang menemaninya dalam pertemuan itu untuk segera bangun dan beredar dari situ. Maka terkejutlah seluruh isi istana, tidak pernah tetamu berlalu pergi seawal persembahan diadakan untuk meraikan raja turun takhta.

"Putera Arjuna! Apa maksud tindakan mu ini?" laung Sultan Sina dari singgahsananya.

Putera Arjuna yang sudah hampir keluar dari balairung itu sambil diapit laksamananya berpaling semula ke arah Sultan Sina.

"Mulai malam ini, selama 40 hari, akan aku perintahkan setiap hulu balang dari Puak Bara Pawaka berkawal di kaki gunung mengambang! Maka tiada siapa yang boleh keluar masuk. Supaya waris kanda itu tidak boleh ditabalkan secara rasmi menjadi ratu. Dalam 40 hari itu juga, putera sulung ku Andika akan mencari siapa waris kanda itu dan akan membunuhnya! Di dalam syarat persuratan dengan Maharani Duyung seribu tahun lalu, cuma yang berdarah raja sahaja yang boleh bertikam sesama sendiri. Sekiranya Andika gagal membunuh waris puteri kanda, tetapi waris puteri kanda itu gagal ditabalkan menjadi raja dalam tempoh 40 hari itu, seluruh pulau ini akan ditimpa bencana!"

"Cis! Kalau begitu mengapa engkau tidak bunuh sahaja aku sekarang? Bukankah dengan cara itu juga Andika boleh menjadi raja?"

"Kerana kanda harus hidup untuk melihat kerajaan kanda yang lemah ini diperintah dengan cara Bara Pawaka yang kuat!"

Sumpah keramat itu didengari seluruh isi istana. Mereka diingati dengan perjanjian lama yang termeterai di antara dua puak itu dan Maharani Duyung Laut Cina Selatan. Saat itu, Sultan Sina diserang sakit jantung. Dia rebah serta-merta di singgahsananya. Seisi istana menjadi gamat dengan Putera Arjuna dan rombongannya keluar dan segera turun dari Gunung Mengambang.

Beberapa jam selepas itu, Elfa yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi Pemangku Mahkota Kerajaan Purnama Sari pergi bertemu dengan waris Sultan Sina untuk segera memberikan alat kebesaran diraja kepadanya. Ketika itu juga, Puteri Bunian Bulan ke-3 diberi mandat. Pada malam itu juga lah, Laila Dahlia diberikan tugas sebagai penyambung mahkota diraja.

Laila Dahlia, menanti empat puluh hari untuk ditabal menjadi ratu.

Andika, menggunakan empat puluh hari untuk membunuh waris sah raja.

Di dalam pertembungan dua keturunan raja di pulau ini, siapa yang akhirnya memperoleh kemenangan? Yang dipaksa menjadi ratu? Atau yang ingin menjadi raja? Kesudahan kisah mereka akan menggegarkan seluruh alam raya. Mengubah hieraki dan status beraja.

Puteri Bunian BulanWhere stories live. Discover now