BAB 5 - Lindungan kesatria

739 34 0
                                    


Kalung berbentuk bulan sabit itu digenggam kuat. Laila Dahlia menjerit di dalam hati, meminta pertolongan daripada yang maha Esa untuk menghantar bantuan kepada mereka yang tidak putus-putus bergantung harap kepadaNya.

Sejurus itu, satu cahaya muncul dari kalung sakti itu. Terang benderang sehingga Andika terpaksa menutup pandangannya dengan lengan. Angin kuat bertiup dan membentuk satu pusaran mengelilingi Laila Dahlia. Bebola cahaya itu membaluti seluruh tubuh Laila untuk seketika sebelum di hadapan matanya, muncul susuk tubuh gadis rupawan yang pernah ditemuinya sebelum ini. Sayap makhluk ini dikembangkan seluasnya, merembeskan sinaran debu-debu emas yang kemudiannya menyembuhkan segala luka dan lecur di badan Laila, Salmi dan pemandu lelaki itu.

Laila melopong melihat kebesaran TUHAN itu. Benar lah, rahsia alam itu masih luas. Selautan ilmu yang ada, setitik pun belum tentu manusia sudah habis terokai. Di dalam ketakjuban itu, dia malafazkan SubhanALLAH berulang-ulang kali.

"Tuan puteri," sapa Elfa yang muncul di hadapan Laila.

"Elfa...awak...betul-betul wujud?"

Elfa tersenyum, pusaran angin itu masih belum berhenti mengelilingi mereka. Makhluk berwujud pari-pari itu lantas menoleh ke arah Andika.

"Tuan puteri tidak perlu bimbang, patik ada di sini."

Sebaik sahaja kata-kata itu terkeluar dari mulutnya, cahaya dan pusaran angin itu menghilang sekelip mata. Andika dan dua orang hulu balangnya dipernampakkan dengan susuk tubuh Elfa.

"Kau..."

Belum sempat Andika menghabiskan ayatnya, Elfa menampar udara di tepinya dan menghasilkan satu terjahan angin yang sangat kuat! Ketangkasan Putera Raja itu sempat mengelak serangan pantas itu dengan melompat ke udara. Angin hasil tamparan Elfa itu menerjah bangkai kereta yang sudah hangus dijilat api itu dan menghilangkan nyalaan apinya serta-merta. Furqan dan Fazli memasak tombak mereka ke jalan raya, menghalang mereka dari terpelanting akibat tamparan kuat itu.

"Tuan putera! Itu Elfa! Puteri asuhan Sultan Sina!"

Andika berkerut dahinya, dia mendarat kembali ke jalan raya dan merenung tepat ke arah Elfa.

Laila Dahlia yang sudah sembuh segala lukanya terkejut melihat kejadian itu. Dia bangun dan mendapatkan Salmi lee di sebelahnya. Ajaib, luka-luka dan lecur Salmi juga sudah sembuh sepenuhnya. Begitu juga dengan luka di kaki Salmi, hilang bagaikan tak pernah tercucuk besi. Tetapi gadis remaja itu masih tidak membuka mata. Dia pengsan akibat letupan kuat tadi. Dari jauh, Laila Dahlia boleh melihat pemandu kereta yang mereka naiki tadi perlahan-lahan bangun dan memegang kepalanya. Alhamdulillah, mereka semua selamat.

"Puteri asuhan? Macam mana boleh terlepas turun ke sini?" gumam Andika dalam keadaan marah.

Tatu api pada lengan kanannya menyala lagi, menandakan rantai besi yang membaluti lengan kirinya akan berubah bentuk. Kali ini, ianya mencair dan perlahan-lahan membentuk sebilah kapak. Kemas dalam genggaman putera raja itu.

"Malam ni, kau dan puteri muda kau aku kuburkan sekali. Cuma aku yang boleh buat macam tu!"

Kapak hitam itu dilempar laju, membelah angin menuju ke arah mereka dan terbenam ke belakang badan Elfa saat makhluk itu bertindak memeluk Laila Dahlia untuk melindunginya dari Andika.

"Elfa!" jeritnya Laila.

"Jangan risau, tuan...puteri..." ujar Elfa lemah. Wajahnya berkerut menahan sakit.

Andika melompat setinggi boleh dan mendarat di belakang Elfa yang sedang memeluk Laila Dahlia dengan erat. Sayap sesiburnya menyelimuti Laila Dahlia. Wajah Puteri muda itu pula disembam ke dadanya, mengelakkan dari dilihat Andika.

Dengan kuat, Andika menarik kapak yang terlekat di belakang tubuh Elfa. Terpancut darah segarnya membasahi jalan. Namun biar direntap sakratul maut sekalipun, dia tidak akan melepaskan Laila Dahlia. Sudah menjadi tanggungjawabnya untuk melindungi puteri muda itu.

"Mari, tunjukkan kepada aku wajah waris Sultan Sina. Biar dia lihat wajah orang yang benar-benar layak menjadi raja di pulau ini!"

Sebaik sahaja dia ingin menghayun kapak itu untuk menetak Elfa sekali lagi, satu objek tajam berupa pedang muncul dan terpacak di hadapannya. Serentak itu juga, kedengaran lagi bunyi tapak kaki beberapa orang lelaki sedang meluru laju ke arah mereka.

"Lindungi tuan puteri dan Pemangku Mahkota!"

Mereka berbusana hitam. Walaupun tidak bertanjak, namun gaya ikatan sampin biru di pinggang masing-masing sudah cukup untuk memberi amaran kepada musuh . Masing-masing juga sudah mengeluarkan keris dari selitan pinggang, bersedia untuk menerima tentangan dari lawan.

Seorang lelaki berbadan sasa mendarat betul-betul di antara Elfa dan Andika. Dia menarik pedangnya yang tertusuk ke jalan itu dan melibasnya ke arah Andika sebelum Putera Raja itu pantas melompat ke belakang. Mereka bersua muka.

Empat orang lagi pendekar itu melompat dan mengelilingi Fuqran dan Fazli. Pertempuran singkat berlaku di antara mereka, menonjolkan kepakaran masing-masing dalam menghunus senjata.

"Kau...dari Majlis Kesatria?"

Andika yang mengecam jata berbentuk burung merak pada bahu baju lelaki itu mengangkat kain cindai yang dibelit di lehernya dan menutup sedikit wajahnya. Dia seolah-olah mengenali wajah lelaki berbadan sasa yang muncul di hadapannya itu. Bercermin mata dan rambut tersikat ke tepi, dia ialah seorang pelajar di King William Institution, Rizal Khairi.

"Putera Andika, hentikan semua ni!"

Dua orang lagi pendekar dari Majlis Kesatria muncul di hadapan pemandu lelaki dan juga Salmi Lee yang masih pengsan.

"Tuan, mereka okay." ujar salah seorang dari mereka.

Rizal Khairi menoleh ke belakang. Terlihat Elfa sudah melepaskan pelukannya ke atas Laila Dahlia. Wajah Rizal Khairi yang serius itu dipandang Laila Dahlia.

"Awak..." Laila Dahlia terpaku di situ, tidak percaya.

"Kita bercakap nanti, tuan puteri." potong Rizal.

"Buat apa kau orang ke sini, Majlis Kesatria? Kau orang tak boleh bunuh aku, kau orang tahu peraturan kan? Tapi aku boleh bunuh puteri raja yang entah daripada mana datangnya tu dan menjadi raja baru untuk pulau ni!" terang Andika, angkuh.

"Tidak boleh, tuan putera. Waris Sultan Sina masih ada. Kami berkhidmat pada raja kami yang sah!" laung Rizal Khairi.

Andika tersenyum. Dia mengangkat kapak hitam di tangannya itu dan menjilat darah Elfa yang masih melekat padanya. Matanya bersinar kemerahan.

"Kalau macam tu, aku cacatkan kamu semua dan bunuh dia sekarang juga..."

Kapak hitam itu mencair dan berubah bentuk menjadi sebilah pedang panjang. Andika meluru pantas ke arah Rizal Khairi. Pertempuran singkat berlaku di antara mereka. Rizal Khairi tidak menyerang, pergerakannya hanya bersifat bertahan dan menyanggah segala serangan putera raja itu. Andika pula, menghayun pedang itu dengan niat untuk memotong badan Rizal Khairi.

"Cepat! Bawa semua ke mari dan bukak kotak muzik tu!" arah Rizal Khairi. Lalu sekumpulan pendekar itu melompat menghampiri Elfa dan Laila Dahlia yang masih terduduk di atas jalan raya itu. Salmi Lee dan pemandu kereta itu juga dibawa setempat dengan mereka. Salah seorang dari mereka pantas membuka sebuah kotak muzik kecil di atas jalanraya.

"Tuan!" laung salah seorang dari mereka.

Rizal Khairi yang mendengar panggilan itu bertindak menerajang Andika dan membuat putera raja itu tergelongsor ke belakang sebelum Rizal Khairi melompat dan mendarat tepat di hadapan kotak muzik kecil itu. Dengan laungan kuat, dia menyucuk kotak muzik itu dengan mata pedangnya yang tajam dan dalam sekelip mata sahaja, mereka semua menghilang dari situ. Yang tinggal bersama-sama Andika dan dua orang hulu balangnya itu adalah sebuah kotak muzik sahaja.

Puteri Bunian BulanTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang