BAB 11 - Kesatria dan Pari-pari

586 31 0
                                    


Bilik bawah tanah King William Institution

Rizal Khairi hanya ditemani cahaya lampu minyak tanah yang dipasang di setiap penjuru rak buku. Dia yang baru selesai giliran menjaga Laila Dahlia daripada pagi tadi langsung ke ruang bawah tanah sekolah menengah itu untuk mencari fail-fail lama yang disimpan di arkib rahsia. Ini kerana awal bulan ini, cawangan mereka menerima berita tentang kes pembunuhan bersiri yang berlaku secara sembunyi di Semenanjung Malaysia. Khabarnya dilakukan oleh sekumpulan pengamal ajaran hitam. Rizal Khairi selaku Laksamana Muda untuk skuad kelima Majlis Kesatria Cawangan Pulau Sri Kemboja dikhendaki memeriksa dokumen-dokumen lama berkenaan kes terdahulu yang menyerupai modus operandi kumpulan ajaran hitam tersebut. Dengan harapan ianya dapat membantu cawangan pantai barat dan utara yang sedang giat menyiasat kes ini.

"Bukan bawah jurisdiction kita pun masih kena buat kerja lebih masa, masalah di pulau ni pun belum selesai lagi." gumam remaja bercermin mata itu.

Dia duduk di atas kerusi. Membelek satu per satu dokumen lama itu. Dengan setiap satunya dikategorikan sebagai rahsia sulit. Wajah-wajah manusia yang terselit di dalam rekod usang ini ditandakan pangkah besar, melintang pada mukanya. Mungkin ini adalah mangsa-mangsa pembunuhan kejam yang berlaku 20 tahun lalu.

Jam dilihat sudah menjengah ke 2 pagi. Rizal Khairi diulit mengantuk. Walaupun waktu tidur pelajar sekolah itu cuma dua jam setiap hari, dia masih bijak menguruskan masanya dengan baik. Dan walaupun sekarang bertambah kerja dia dan unitnya yang lain kerana terpaksa bergilir menjaga Laila Dahlia tanpa henti untuk 40 hari, dia tidak pernah mengeluh di hadapan orang atasan. Kalau ada membebel pun, seorang diri sahaja seperti tadi.

Buk!

Bunyi sesuatu yang kecil terjatuh, menghilangkan buaian mengantuk Rizal Khairi. Matanya segar tiba-tiba. Melihatkan tikus kecil yang berlari masuk ke celah-celah rak buku usang itu, dia menghela nafas lega. Dokumen itu disambung baca lagi. Namun, tidak berapa lama bahunya pula yang terasa ditepuk. Dia segera menoleh ke belakang. Aneh, tiada orang. Hantu ke? Bisik hati Rizal Khairi. Tidak mustahil, arkib di ruang bawah tanah sekolah ini pun sudah hampir seratus tahun usianya. Dibina sewaktu British bertapak di pulau ini dahulu. Kalau ada satu, dua hantu British yang mengacaunya pada lewat pagi itu pun, tidak hairan.

"Fokus nampak?"

Rizal Khairi hampir menjerit. Dia sudah mengangkat sundang lipasnya ke udara. Hampir-hampir membuka sarung pedangnya dan memancung kelibat gadis yang tiba-tiba muncul di sebelahnya itu.

"Sayang? Awak buat apa kat sini?" melihatkan Elfa, Rizal Khairi meletakkan kembali pedangnya di atas meja.

"Ingatkan berani, rupanya takut jugak." Elfa tersenyum sipu. Dia terapung-apung di sebelah Rizal Khairi, namun sayapnya hilang entah ke mana. Badan dan baju kurungnya juga tidak bersinar seperti sediakala, dia nampak biasa-biasa sahaja. Dan entah kenapa, seluruh tubuhnya seakan-akan lut cahaya.

"Mana...sayap awak?" tanya Rizal Khairi, menyedari hakikat Elfa pada pagi itu terlihat sedikit ganjil.

"Badan fizikal saya masih dalam kalung bulan sabit yang dipakai tuan puteri. Yang awak nampak ni...mungkin apa yang orang panggil astral projection. Saya baru sedar yang saya boleh buat macam ni tadi, jadi saya datang jenguk awak." terang Elfa.

"Projeksi roh? Saya tak pernah tahu perkara tu boleh buat orang sekitar nampak awak terapung-apung macam hantu dalam Harry Potter ni." komen Rizal Khairi, kagum. Dia cuba menyentuh tangan Elfa tetapi gagal. Tangan mereka berdua hanya melepasi satu sama lain, seolah-olah Elfa cuma hologram. Mungkin ini salah satu kebolehan yang dianugerahkan kepada pemakai rantai kebesaran diraja Purnama Sari itu.

"Saya risau sangat malam tu. Bimbang kalau saya kehilangan awak." gumam Rizal Khairi, perlahan.

Dengan wajah sayu, Elfa merenung wajah remaja lelaki itu dari pandangan sisi. Kemudian dia melilau memandang persekitaran mereka. Cahaya malap lampu minyak tanah perpustakaan bawah tanah itu sedikit sebanyak membina suasana romantis yang tiba-tiba hadir.

"Siapa yang jaga tuan puteri?" aju Elfa, ringkas. Sebelum datang ke sini, habis satu rumah diperiksanya, tidak pula terjumpa mana-mana ahli Majlis Kesatria yang bersembunyi.

"Malam ni, Fakhri dan Zaeem. Cuba periksa rumah seberang jalan. Rumah depan tu dah dibeli dengan harga tak masuk akal untuk kami perhatikan tuan puteri 24 jam." terang Rizal Khairi, membuat Elfa terangguk-angguk. Remaja lelaki itu tidak mengangkat wajahnya. Sepenuh perhatian diberikan untuk memeriksa dokumen-dokumen itu.

"Apa yang awak baca tu?"

"Bukan masalah pulau kita pun, sayang. Kes yang berlaku di Semenanjung."

"Bukan masalah kita?"

"Ya. Tak related dengan konflik Puak Bara Pawaka dan Kerajaan Purnama Sari pun. Kepala awak dah ada banyak benda nak fikir, saya tak nak tambah macam-macam lagi. Kerja saya ni memeningkan kepala."

"Ya tak ya...masalah pulau ni sekarang, kita terlalu terlibat dengannya. Waktu yang teruk kan?" Elfa memalingkan kepala, melayang dalam bentuk tak berjasadnya itu dan berpura-pura memeriksa beberapa buah buku di atas rak yang tinggi.

Rizal Khairi menjeling ke arah Elfa seketika. Dia faham kerisauan yang dialami kekasih hatinya itu. Sebulan sebelum kejadian ini berlaku, mereka mengikat tali pertunangan. Ikatan hasil perkenalan selama beberapa tahun itu diperkenankan oleh keluarga dari kedua belah pihak. Elfa, adalah salah seorang daripada puteri asuhan Sultan Sina. Rizal Khairi pula adalah seorang Laksamana Muda dari Majlis Kesatria, sebuah majlis pengawal elit yang ditugaskan untuk melindungi keluarga utama diraja. Walaupun Rizal Khairi dua tahun lebih muda daripada Elfa, tetapi perwatakan dan ketegasan remaja lelaki itu berjaya memikat hatinya. Menjadi kebiasaan di dalam masyarakat Purnama Sari untuk berkahwin di usia muda.

Namun siapa sangka yang Sultan Sina masih punyai waris yang sah. Disorokkan pula kewujudannya kerana bimbang Puak Bara Pawaka mengamuk kerana tidak inginkan seorang raja dari kalangan manusia biasa. Elfa diangkat menjadi Pemangku Mahkota Diraja dan dihantar berjumpa dengan Laila Dahlia untuk menyampaikan kalung kebesaran istana. Sementara Rizal Khairi yang mengepalai skuad kelima Majlis Kesatria pula ditugaskan untuk melindungi waris Sultan Sina itu. Lihat dari sudut mana sekalipun, Elfa dan Rizal Khairi memainkan peranan penting dalam memastikan Laila Dahlia berjaya ditabal menjadi Ratu dalam tempoh empat puluh hari ini.

"Selepas tuan puteri bertabal, kita kahwin." ujar Rizal Khairi, serius.

"Ya, InsyaALLAH." Elfa mengganguk. Dia tertunduk senyum menghadap rak-rak buku yang tebal itu.

"Sayang tahu? Awak nampak cantik dengan sayap dan serbuk emas yang bercahaya tu." puji remaja bercermin mata itu. Tetapi dilempar pula dengan pandangan masam mencuka oleh Elfa.

"Kenapa? Yang selalu awak tengok tak cantik?"

"Ha ha ha ha...tak lah. Cuma bukan selalu boleh tengok tu. Sayap dan semua kuasa tu disalurkan melalui rantai kebesaran tu kan? Bayangkan kalau kuasa tu berpindah sepenuhnya kepada tuan puteri nanti, mesti lagi hebat."

Kata-kata Rizal itu, membuatkan Elfa tersenyum tawar. Perasaan bimbang kepada Laila Dahlia, sekali lagi menebal di dada. Di dalam empat puluh hari ini, akan ada satu hari di mana dia akan berpisah dengan Laila Dahlia. Hari itu adalah hari di mana Laila Dahlia sudah menelan sepenuhnya kuasa yang dipindahkan kepadanya oleh Elfa menerusi rantai bulan sabit itu. Ketika itu, Laila Dahlia sendiri yang harus melindungi dirinya dari ancaman Putera Andika yang ingin membunuhnya. Tiada lagi bantuan yang mampu diberikan oleh Elfa disaat kecemasan. Sudah bersediakah puteri muda itu? Hati Elfa diselubung resah menanti hari di mana semua ini akan berakhir dengan aman.

"Jangan risau. Bila hari tu tiba, saya janji akan lindungi tuan puteri bagi pihak awak jugak." faham dengan sekadar membaca air muka kekasihya itu, Rizal Khairi cuba menenangkan Elfa dan berjaya membuat gadis muda itu tersenyum kembali.

"Tapi boleh tak sayang jangan melayang sana sini macam tu? Saya rasa seram pulak."

Puteri Bunian BulanTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang