Bab 16 Tiga bulan saja

Start from the beginning
                                    

"Eh...tak apa, Nara. Nara duduk aje. Auntie nak Nara juga yang kerja kat sini. Auntie dah cakap yang auntie tak percayakan orang lain jaga Daz. Auntie percayakan Nara je."

"Baguslah dia tak nak, ma. Buat apa nak paksa-paksa dia lagi?" Haq cantas cakap mamanya sambil menjulingkan mata ke arah aku.

"Habis tu Haq nak terus hantar Daz ke nurseri? Tak ingat ke apa yang terjadi pada Daz dulu?" Tajam mata Auntie Yasmin menombak mata Haq.

Haq terdiam. Nampak sedang berfikir keras. Mungkin dia tengah mengingati kejadian yang menimpa Dazrin sebelum ini.

"Auntie nak jaga Daz ke?" Tak semena-mena Dazrin yang tadi hanya diam mendengar perbualan kami, membuka mulut. Fokus soalannya tentulah kepada aku.

"Err..." Tak tahu nak menjawab apa jadi aku biarkan kata-kataku tergantung di situ.

"Daz nak Auntie Nara jaga Daz tak?" Auntie Yasmin mengumpan cucunya.

"Nak.... Daz tak suka duduk school. Budak-budak besar selalu pukul Daz. Kakak-kakak kat situ pun selalu marah Daz. Daz tak nak pergi school lagi." Petah Dazrin berkata dengan kepala tergeleng-geleng.

Comel sangat aku tengok dia. Melimpah rasa sayangku terhadapnya. Gatal tangan aku mahu menarik dia ke dalam pelukan tapi aku sedar siapa diriku. Aku ni cuma pengasuh tak jadi dia.

Aduhai...sukar bagi aku mahu menyembunyikan naluri keibuanku ini. Mungkin keinginan untuk punya anak sendiri membuak-buak hingga aku sukar membendung perasaan sayang terhadap si comel ini.

"Hah...dengar tu, Haq? Daz sendiri tak nak duduk nurseri. Dah macam-macam yang terjadi pada Daz pun Haq masih nak hantar dia ke sana?" Auntie Yasmin menggunakan jawapan cucunya untuk mendesak Haq.

Haq berjeda beberapa detik. Kepalanya diangkat. Kali ini fokusnya terarah kepadaku. Tepat matanya menikam muka aku. Gerun aku membalas tatapan sinisnya.

"Baiklah. Saya benarkan awak kerja di rumah saya. Saya beri awak masa tiga bulan sebagai tempoh percubaan. Selama tiga bulan tu kalau ada perkara yang saya tak puas hati atau apa-apa perkara berlaku pada Daz, saya akan berhentikan awak serta merta." Jari Haq naik menuding muka aku.

Terkebil-kebil mata aku menelan ugutan Haq. Aku telan air liur. Semangatku mencair. Aku mahu bekerja di rumah Haq tapi aku ngeri mendengar syaratnya. Macam mana jika aku lakukan kesilapan sepanjang tempoh percubaan? Masa tiga bulan itu bukannya sekejap.

Tapi...aku dah buat keputusan mahu bekerja sementara di rumah Haq. Berjaya atau tidak, aku tetap kena cari pekerjaan lain. Mustahil aku nak bekerja di rumahnya sampai tua? Dia juga suatu masa nanti akan berkahwin lain. Tak manis kalau aku terus bekerja di rumahnya. Isteri baharunya tentu tak mengizinkan aku terus jadi pengasuh Dazrin.

"Macam mana? Nara setuju?" Auntie Yasmin tak sabar menunggu keputusanku.

"Saya setuju." Aku angguk. Tak berani memandang muka Haq tapi aku terdengar dia mendengus macam tak berpuas hati dengan jawapanku.

Auntie Yasmin tarik nafas lega. Jam di dinding dijelingnya. Menyedari sudah terlewat ke pejabat, pantas dia bangun dari sofa.

"Kalau macam tu, hari ni Nara dah boleh mula kerja. Pasal gaji semua tu, nanti auntie bincangkan dengan Haq. Auntie dah lewat ni."

"Tapi...hari ni saya kena buat apa?" Aku menggelabah. Tak pasti skop tugas sebagai pembantu rumah merangkap pengasuh Dazrin. Manalah tahu jika Haq tak benarkan aku sentuh apa-apa barang di dalam rumahnya.

Perlu ke aku memasak, cuci pakaian dan mengemas rumah? Semua ini aku kena tahu. Nanti mengamuk pula tuan rumah kalau aku pandai-pandai buat sendiri.

"Nara buat apa yang patut. Haq balik nanti dia akan jelaskan semuanya. Apa yang Nara boleh dan tak boleh buat." Auntie Yasmin berpesan bagi pihak Haq.

Aku pandang Haq. Haq nampak kebingungan. Seketika kemudian dia melangkah ke kabinet di tepi dinding, mengambil beg bimbit dan kunci keretanya.

"Babah pergi kerja dulu. Daz jaga diri baik-baik." Haq berpesan kepada anaknya. Tubuh Dazrin dicempung dan dibawanya ke dalam pelukan. Kedua belah pipi anaknya dicium bertalu-talu.

"Okey, babah." Dazrin mengangguk.

Haq meninggalkan Dazrin tanpa menoleh ke arahku. Aku serba salah. Terasa diri macam tetamu yang tak diundang di rumah Haq.

Sabar ya duhai hati. Tak lama mana aku bekerja di sini. Kalau orang membenci, aku akan segera angkat kaki. Diam-diam aku memujuk hati sendiri. 


*************************************************************************

Terima kasih sudi baca, komen dan vote. Sayang semua ketat-ketat!

GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now