Bab 4 Anak angkat

5.4K 390 81
                                    


"NARA dari mana? Jaz tak datang sekali?"

Aku baru matikan enjin motosikal, mak mentuaku dah bertanya. Soalan mak aku biarkan dulu. Aku sorong motosikal ke dalam porch dan tanggalkan topi keledar. Awning tudung yang senget-benget aku betulkan sambil memandang ke cermin sisi. Selepas itu baru aku fokuskan pandangan ke muka mak mentuaku.

"Tadi Nara pergi kedai beli barang dapur. Balik dari kedai Nara singgah sini. Abang Jaz keluar tadi. Ada kerja sikit kat ofis." Alasan bernas kuberi untuk menutupi kecurangan Jazlan.

Pagi-pagi lagi Jazlan dah keluar. Katanya mahu menyiapkan tugasan di pejabat. Aku tak banyak bertanya. Cukup hanya mengangguk. Memang itu rutin suamiku selama tiga bulan ini. Asal hari Sabtu aje hilang. Hari minggu tak nampak muka. Kemana lagi tujuan dia kalau tak berjumpa bakal isteri mudanya? Dulu memang aku percaya bulat-bulat yang dia sibuk. Sekarang tak lagi.

"Hari minggu pun kerja jugak?" Terangkat kening mak mentuaku. Tentulah dia tak percaya.

Aku senyum pahit. Aku pun tak percaya. Orang lain hari minggu boleh bersantai dengan keluarga tapi suamiku? Entahlah aku tak nak cakap lebih-lebih. Hati aku rasa pedih.

Aku tak pasti samada mak mentuaku tahu atau tidak pasal Jazlan mahu bernikah satu lagi. Rasanya dia belum memaklumkannya kepada mak dan keluarganya. Nak kena basuh dengan maknya? Mak mentuaku memang anti poligami.

Pernah sekali ayah mentuaku mahu berkahwin dengan seorang janda beranak enam tapi mak membangkang keras. Mak kata kami anak beranak pun ayah tak mampu nak jaga, ini kan pula mahu menyara anak-anak janda itu yang seramai enam orang. Akhirnya ayah tak jadi bernikah. Ayah putus terus dengan janda itu setelah mak mengugut mahu minta cerai. Sampai sekarang ayah tak berani buka mulut mahu bernikah lain. Serik.

Aku pula? Aku tak mampu menjadi sekuat mak. Aku tak berdaya nak melenting dan mengugut minta diceraikan. Sebab apa? Sebab aku sangat sayangkan Jazlan. Hanya dia satu-satunya lelaki yang menghuni hatiku selama bertahun tahun. Tak mudah bagi aku mahu menyingkirkan dia dari hatiku ni. Sebab tu aku reda Jazlan bernikah satu lagi. Jazlan pun mampu. Justeru, siapalah aku mahu mempertikaikannya?

"Pokok orkid mak dah berbunga." Bimbang mak bertanya lagi pasal Jazlan, aku terus larikan fokusnya kepada pokok-pokok orkid yang berbaris di tepi porch. Lama mataku memandang pokok orkid jenis Cattleya yang merah menyala warnanya. Hari tu ketika aku datang ke sini, pokoknya belum mengeluarkan bunga. Sekarang lebat pula bunganya.

Mak mentuaku rajin menanam pokok orkid di dalam pasu. Banyak yang diatur di penjuru rumah atau digantung di porch. Ada di antaranya dah mengeluarkan bunga pelbagai warna. Cantik sangat.

"Ha'ah. Nara suka?" Mak tersenyum memandang aku.

"Suka. Cantik sangat." Fokus aku masih ke arah pokok orkid Catleyya.

Aku dan mak mentuaku punya minat yang sama. Gilakan pokok orkid. Biasanya mak akan beri aku anak pokok orkid yang dah siap ditanam di dalam pasu dan diletakkan sabut sebagai mediumnya.

"Nanti boleh bawa balik sepokok. Mak dah tanamkan dalam pasu. Ada kat tepi tu. Balik nanti jangan lupa ambil." Mak mentuaku berpesan.

"Baik, mak." Senyuman aku melebar. Sukanya aku dengan pemberian mak. Maknanya aku dah tak payah buat apa-apa pada pokok orkid tu. Tinggal jaga saja.

"Hari ni Nara makan tengahari kat sini ya?" Mak mempelawa aku.

Aku berjeda. Berfikir. Tadi waktu aku datang ke sini aku belum sempat memasak. Aku tak tahu bila Jazlan akan balik. Takut bila dia balik nanti tak ada apa yang boleh dimakan. Lapar pula dia nanti.

"Masak kat sini. Nanti bawa balik lauk sikit."

Pantas aku mengangguk. Setuju sangat aku dengan cadangan mak. Balik nanti aku tak payah susah-susah memasak. Dah ada lauk untuk makan tengahari aku dan Jazlan. Kami tinggal berdua saja. Tak perlu nak sediakan makanan penuh satu meja. Lagi pun entah-entah balik nanti Jazlan dah kenyang. Makan bertemankan si buah hati mana tak kenyangnya?

Aku ikuti langkah mak ke dapur. Sambil berjalan mak merungut pasal perangai Nazri, adik iparku. Aku mendengar saja. Malas nak campur sangat hal mereka sekeluarga. Apa pun aku masih orang luar walaupun dah lima tahun aku berhijrah ke dalam keluarga Jazlan.

Aku dan mak mentuaku memang rapat. Mungkin lebih rapat daripada keluargaku sendiri. Mungkin sebab rumah kami berdekatan. Apa-apa hal, aku akan lari dulu ke rumah mak untuk mengadu. Rumah ibu pula letaknya di luar Kuala Lumpur. Jauh sedikit dari rumahku. Aku balik ke rumah ibu sebulan atau dua bulan sekali tapi aku jengah rumah mak seminggu sekali. Sebab tulah aku sangat dekat dengan mak mentuaku.

"Jaz macam mana sekarang? Dah lama mak tak nampak dia."

"Err....Abang Jaz okey je." Tiba-tiba mak menyebut pasal Jazlan, anak sulungnya. Aku dah mati akal mahu menjawab. Mak macam tahu-tahu saja aku dan Jazlan ada masalah. Ke memang Jazlan ada sebut bunga-bunga mahu berkahwin lagi satu kepada mak?

"Orang lelaki ni bukannya boleh percaya. Senyap-senyap buat kerja kat luar. Dulu boleh je dia ikut Nara datang rumah mak. Sekarang nak tengok muka dia bukan main susah. Kalau dia buat perangai beritahu mak. Biar mak basuh dia." Mak mentuaku mula memetir.

Aku diam. Walaupun apa yang dibebelkan mak memang tepat, aku tak nak buka mulut mengadu pasal kecurangan Jazlan. Jika suatu hari nanti pekung itu pecah, aku tak nak mak tahu dari mulut aku. Aku tak nak mengadu domba kepada keluarganya. Bimbang Jazlan akan membenci aku. Aku masih mahu kekal sebagai isterinya. Sampai Tuhan menentukan jodoh aku bukan dengan dia lagi.

"Mak tahu kamu berdua ada masalah. Orang lelaki ni ego kalau bini dia tak boleh beranak. Tu yang sibuk nak pasang dua tiga. Jangan diam aje kalau Jazlan cakap nak kahwin lagi satu. Bangkang cakap dia. Pertahankan hak Nara tu. Jangan biar orang lain senang-senang rampas."

Aku telan liur. Mak macam tahu-tahu saja apa yang terjadi dalam rumah tangga aku.

Macam mana Nara nak pertahankan hak ini, mak? Jazlan dah tak boleh berpisah dengan perempuan tu. Kalau berpisah mungkin Jazlan akan jadi gila. Habis...macam mana aku nak suruh Jazlan lupakan perempuan tu?

"Nara tak terfikir ke nak ambil anak angkat? Mungkin kalau Nara dan Jaz ambil anak angkat, boleh selesaikan masalah. Mak tahu Jaz nak sangat anak." Mak belum mahu berhenti daripada bercakap soal anak.

"Nara ada bincang dengan Abang Jaz pasal ni." Aku menjawab tenang.

"Habis apa kata Jaz?"

Aku berjeda. Kepala kuangkat memandang mak. "Abang Jaz tak nak ambil anak angkat."

Dah berkali-kali aku memujuk Jazlan supaya mengambil anak angkat tapi Jazlan yang tak mahu. Katanya susah kalau ambil anak angkat. Seboleh-bolehnya dia mahukan anak sendiri. Dia yakin aku mampu hamil. Sebelum ini memang kami ada bertemu doktor pakar. Doktor kata, aku dan dia tak ada masalah untuk punya anak sendiri. Sebab tu Jazlan yakin sangat aku mampu mengandung.

Tapi, di waktu kami bakal punya anak sendiri, Jazlan sudah beralih kasih. Kasihnya bukan seratus peratus untuk aku lagi. Mungkin hanya tinggal 30 peratus dan selebihnya dah dibolot si janda beranak dua. Sayunya hati aku. Aku usap perutku yang kini berisi. Zuriat ini terbentuk ketika ayahnya sibuk main cinta dengan perempuan lain. Hal itu akan aku ingat sampai bila-bila.

Mak mentuaku mengeluh. "Susahlah kalau macam tu. Nara kena usaha juga supaya boleh mengandung." Pandangannya tertumpu ke wajahku. Ada riak sedih terpancar di matanya.

"Nara tahu, mak." Aku tunduk. Tanganku tak lepas daripada memegang perut.

Nara dah mengandung, mak. Hatiku berbisik. Walaupun anak ini tercipta ketika kasih ayahnya sudah terbahagi dua namun aku tetap bersyukur. Aku berharap sangat zuriat yang bakal lahir ini dapat mengikat kembali kasih Jazlan. Insyaa-Allah. 


GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now