Bab 16 Tiga bulan saja

5.4K 437 99
                                    


MASUK ke dalam rumah, Auntie Yasmin pantas menuju ke sofa.

"Duduklah, Nara." Tangan aku ditarik agar duduk di sisinya. Dazrin pula awal-awal dah menempah tempat duduk di riba neneknya.

Mata si kecil itu sejak tadi terpaku di mukaku. Aku pula yang rasa serba tak kena. Nak sahaja aku peluk dan cium pipi Dazrin untuk melepaskan rindu tapi bimbang babahnya mengamuk. Dahlah aku datang tanpa dijemput. Selepas itu sesuka hati buat anaknya macam anak aku sendiri.

"Mama tak cakap lagi sebab apa mama datang rumah Haq pagi-pagi ni." Haq yang berdiri memeluk tubuh tak jauh dari sofa, menghantar soalan.

"Nara ni maid yang mama ceritakan pada Haq." Auntie Yasmin memahami masing-masing sedang mengejar masa untuk ke tempat kerja. Justeru, dia enggan bertangguh. Terus kepada tujuan utamanya datang ke rumah si anak.

"Dia?" Kening Haq bertaut. Daripada pandangan menghinanya, aku tahu dia tak bersetuju dengan cadangan mamanya.

"Mama rasa Nara orang yang paling sesuai untuk jaga Daz. Dan mama yakin Nara akan jaga Daz dengan baik. Nara...."

"Haq tak setuju. Haq tak suka ada orang lain tinggal di rumah Haq. Lebih-lebih lagi dia ni." Haq menjeling sambil memuncungkan bibir ke arahku.

Aku dah tak senang duduk. Terasa nak angkat kaki dari sini tapi rasa macam tak sopan. Susah payah Auntie Yasmin carikan aku kerja. Sanggup menjemput aku sedangkan dia sendiri mengejar masa ke pejabat. Nampak seperti aku tak menghargai usahanya.

"Nara ni bukan tinggal terus kat rumah Haq. Gila apa nak suruh Nara tinggal sekali dengan Haq? Nara cuma jaga Daz masa Haq kerja je. Bila on call Haq boleh hantar Daz kat rumah mama macam biasa." Auntie Yasmin memujuk.

"Haq tak naklah. Haq lebih rela hantar Daz ke nurseri daripada suruh orang asing yang jaga." Haq mencemik muka. Meluat agaknya nak pandang muka aku.

Aku tarik nafas. Orang asing? Ya...aku memang orang asing. Bertemu dia pun baru sekali. Tapi...tak perlulah Haq menyebutnya seolah-olah macam aku ni orang jahat.

"Tapi hari tu Haq juga yang minta mama carikan maid untuk jaga Daz kan?" Auntie Yasmin membantah.

"Haq nak mama carikan maid yang dah berumur. Bukan macam dia."

"Haq ingat senang ke nak cari maid yang dah berumur? Nak cari maid orang tempatan pun susah sekarang tau!"

Tak tenang hati aku mendengar mereka berbalah anak beranak. Terasa seperti aku yang menjadi punca pertengkaran mereka.

"Err...auntie...tak apalah kalau Dr Haq tak nak saya kerja kat sini. Saya faham."

Aku capai beg sandang dan bangun dari sofa. Aku mahu segera pulang ke rumah. Tak sampai hati nak membiarkan mereka terus bertengkar. Nanti lambat pula mereka pergi kerja.

"Nanti dulu, Nara. Biar auntie pujuk Haq." Auntie Yasmin pegang lengan aku mengajak duduk semula.

Serba salah aku dibuatnya. Kalau aku duduk, nampak macam aku terhegeh-hegeh mahu bekerja di sini sedangkan si tuan rumah memandang sebelah mata pun tak sudi. Aku terus berdiri macam patung di sebelah Auntie Yasmin. Teragak-agak untuk membuat keputusan samada mahu menunggu atau terus berlalu.

"Tak apalah, auntie. Saya balik dululah. Auntie tak perlu risaukan saya. Pandailah saya cari teksi atau grab nanti." Sopan aku menolak.

Aku bercadang mahu singgah di mana-mana kilang atau pusat beli belah sebelum pulang ke rumah. Alang-alang dah keluar ada baiknya aku habiskan masaku untuk mencari kerja di tempat lain.

GERIMIS (Terbit)Där berättelser lever. Upptäck nu